You are currently viewing SENTUHAN KULIT KE KULIT.

SENTUHAN KULIT KE KULIT.

Indahnya bila dikenang semula saat pertama kali dipertemukan dengan bayi yang dikandung selama ini.Mendengar rengekan dan tangisannya,apatah lagi apabila berpeluang mendukung dan mengusapnya.Sentuhan kulit ke kulit sewaktu itu terasa asyik sekali hingga hiruk-pikuk Kamar Bersalin tiba-tiba seakan terhenti dan sunyi,kesakitan yang dirasai sewaktu proses melahirkan seolah-olah terus direntap hilang.Bayi yang awalnya seolah menangis ketakutan akhirnya tenang di dalam pelukan hangat wanita yang baru bergelar ibu.

Begitulah kesan Sentuhan Kulit ke Kulit yang dapat dirasai oleh ibu dan bayi,bagaikan magis.Namun tahukah anda asal usul serta kelebihan Sentuhan Kulit ke Kulit?

SEJARAH AWAL.

Mula diperkenalkan di Bogota,Colombia pada tahun 1979.Ia bermula apabila lebih 70% kematian berlaku dikalangan bayi pramatang akibat kemudahan perubatan yang amat daif hingga memaksa Doktor untuk menghantar bayi pramatang pulang ke rumah tanpa rawatan inkubator.Antara penyumbang pada kadar ini ialah masalah pernafasan,jangkitan kuman dan lain-lain masalah lagi.

Kadar kematian yang tinggi memaksa Doktor disana untuk mengambil inisiatif dan kaedah Sentuhan ke Kulit menjadi pilihan mereka.Pengkaji mendapati bayi yang menjalani Sentuhan Kulit ke Kulit kelihatan lebih stabil suhunya,lebih bersedia untuk memulakan penyusuan susu ibu dan kadar kematian dikalangan bayi pramatang ini turun dengan mendadak setelah Sentuhan Kulit ke Kulit dipraktiskan.

Sejak itu Sentuhan Kulit ke Kulit mula diperkenalkan dengan lebih meluas ke seluruh dunia,bukan saja untuk bayi pramatang malahan disyorkan untuk bayi yang cukup bulan yang sihat juga termasuklah di negara maju dan tidak ketinggalan juga Malaysia.

Sentuhan Kulit ke Kulit sedang dilakukan oleh seorang ayah pada bayi pramatangnya.

APA ITU SENTUHAN KULIT KE KULIT?

Sentuhan Kulit ke Kulit(Skin To Skin) atau juga dikenali sebagai ‘Kangaroo Care’,kerana ia menyerupai seperti Kanggaru menggendong bayi di dalam kantungnya.

Untuk melakukannya bayi tanpa pakaian diletakkan ke atas dada orang dewasa yang terdedah kemudian diselimutkan bagi mengekalkan kehangatan.Biasanya ia dilakukan oleh ibu namun tiada halangan jika ayah ingin melakukannya.Bayi boleh dipakaikan dengan lampin atau topi.

Sentuhan Kulit ke Kulit bukan saja boleh dilakukan sejurus bayi dilahirkan,malahan ia juga boleh dilakukan selepas bayi pulang ke rumah.Bagi ibu dan bayi yang tidak berpeluang melakukannya selepas bayi dilahirkan atas faktor kesihatan,rebutlah peluang untuk melakukannya pada bila-bila masa setelah bayi anda stabil.Sentuhan Kulit ke Kulit juga amat membantu untuk ibu dan bayi yang sedang dalam proses untuk menyusu kembali ke payudara atau keliru puting(nipple confused) kerana ia menggalakkan bayi untuk selesa serta menerima dengan persekitaran payudara ibu yang akhirnya menggalakkan bayi untuk menyusu kembali ke payudara ibu.

Bayi Kanggaro di dalam kantung ibunya yang mengilhamkan pada Sentuhan Kulit ke Kulit.

MANFAAT SENTUHAN KULIT KE KULIT.

Banyak manfaat yang didapati dari Sentuhan Kulit ke Kulit,antaranya ialah,

Untuk Bayi.

  • Bayi rasa selamat dan tenang serta mengurangkan tangisan bayi.
  • Menstabilkan denyutan jantung dan pernafasan bayi.
  • Membantu menstabilkan suhu tubuh bayi.
  • Menggalakkan kenaikan berat yang baik.
  • Menyediakan bayi bagi proses penyusuan susu ibu.
  • Meransang bayi untuk melekap dengan betul tanpa bantuan.
  • Membantu bayi mendapatkan rutin tidur lebih baik.
  • Merendahkan hormon stress hingga 74%.
  • Menstabilkan paras glukos.
  • Meransang perkembangan otak bayi.

Kesan biasanya dapat dilihat lebih ketara pada bayi pramatang,namun digalakkan ia dilakukan pada bayi cukup bulan juga.

Kesan Pada Ibu dan Ayah.

  • Menambah keyakinan ibu atau ayah sebagai ibu bapa baru.
  • Mengurangkan stress.
  • Menggalakkan hubungan rapat dengan bayi(bonding).
  • Meningkatkan paras Oksitosin(hormone penting dalam penyusuan bagi ibu)
  • Meningkatkan penghasilan susu ibu yang mencukupi.
  • Mengurangkan risiko untuk ibu mendapat kemurungan selepas melahirkan.

Jika anda berkesempatan ambillah peluang untuk melakukan Sentuhan Kulit ke Kulit ini pada bayi anda,banyak manfaat untuk anda dan juga bayi.