You are currently viewing Panduan untuk Penyimpanan dan Pengendalian Susu Perahan dari The Academy of Breastfeeding Medicine.

Panduan untuk Penyimpanan dan Pengendalian Susu Perahan dari The Academy of Breastfeeding Medicine.

Sekarang sudah terlalu banyak tips dan info di media sosial dikongsikan sehingga tak tahu mana satu nak ikut.Kali ini kami kongsikan sedikit info dari Protokol nombor 8 yang dikeluarkan oleh Academy of Breastfeeding Medicine sebagai panduan untuk mengendalikan dan menyimpan susu perahan yang betul semasa di rumah dan sesuai untuk bayi yang dilahirkan matang.

Susu berkhasiat dan bagus, pasti anda dah tahukan? Tapi tahukah anda yang susu ibu ni mengandungi zat-zat hidup didalamnya, kaya dengan Antioksida, Antibakteria, Prebiotik, Probiotik dan nutrien yang menggalakkan pembentukan sistem imun lebih baik untuk bayi.

Namun zat-zat ini boleh berubah sepanjang ia disimpan, jadi sangat penting untuk anda tahu cara pengendalian yang betul supaya perubahan zat ini tidak berlaku terlalu banyak supaya susu ibu diperah dan disimpan masih boleh menjadi Makanan yang menepati GOLD STANDART untuk bayi!

Walaupun kebanyakan wanita mahir menyimpan susu perahan seperti yang disarankan, namun dalam satu kajian menunjukkan 12% darinya menghangatkan susu perahan didalam ketuhar gelombang mikro(microwave), manakala 17% darinya hanya membilas puting dan botol bayi hanya menggunakan air tanpa mencucinya dan terus menggunakan semula.Kesan dari praktis ini mampu merubah kelebihan susu ibu dan meningkatkan risiko pencemaran.

Satu kajian lagi juga menunjukkan walaupun Jururawat yang bertugas di Wad Neonatal mempunyai pengetahuan dan mempraktiskan cara memerah susu dan penyimpanan, namun masih terdapat kekurangan pada cara untuk melupuskan, menyimpan dan mencairkan susu perahan.

PERSEDIAAN UNTUK PENYIMPANAN SUSU PERAHAN.

1. Sebelum anda mengendalikan susu perahan, jadikan amalan untuk mencuci tangan menggunakan air dan sabun.Tangan yang tidak dicuci boleh memindahkan kotoran dan kuman pada susu perahan serta boleh menyebabkan susu perahan dicemari. Kajian menunjukkan susu perahan yang mengandungi kurang bakteria menghasilkan kurang pembiakan bakteria dan lebih kandungan Protein berbanding yang sebaliknya. Memadai dengan cucian tangan sahaja, tidak perlu rutin pembersihan tangan ekstra atau yang tidak perlu.

2. Sama ada memerah menggunakan tangan mahupun pam susu, data menunjukkan tiada perbezaan ketara kesan pencemaran pada susu perahan bagi keduanya. Anda perlulah mencuci tangan dengan bersih sebelum memerah menggunakan tangan manakala sebelum memerah menggunakan pam susu, ia perlulah dibersihkan mengikut saranan dari pihak pengeluar pam susu. Pada awal sesi perahan juga anda tidak perlu membuang susu yang pertama keluar kerana ia tidak kotor atau tercemar.

Satu tinjauan juga menunjukkan susu yang diperah di rumah mengandungi lebih banyak kandungan bakteria berbanding yang diperah di hospital, ia mungkin berkait dengan peralatan yang digunakan di rumah dan tiada kaitan dengan aspek kebersihan seseorang.


3.  Beberapa kajian telah dilakukan bagi menilai beberapa jenis bekas penyimpanan.
Terdapat pengurangan ketara dalam peratusan lemak dan peningkatan jumlah kepekatan Protein dan Karbohidrat sama ada pada botol atau bag bagi jenis Gelas, Polyethylene(PE), Polypropylene(PP), Polycarbonate(PC) dan Polyethersulfone(PES).

Gelas dan PP menunjukkan kesan yang sama pada ketetapan zat larut-lemak pada, kepekatan Immunoglobulin A(IgA) dan bilangan daya hidup darah putih dalam susu perahan.Penggunaan bekas PE pula dikaitkan dengan penurunan IgA sebanyak 60% dan keupayaan antimikrob menyerang bakteria berbanding penggunaan bekas kaca Pyrex. Bekas dari material Besi pula dikaitkan dengan penurunan ketara dalam bilangan sel dan daya tahan sel berbanding bekas PE dan Gelas. Satu kajian juga menunjukkan tiada perbezaan pencemaran dan susut lemak berlaku apabila susu disimpan dalam bekas PP.

Kebimbangan mengenai beg plastik dari bekas PP ialah ia berisiko tercucuk dan berlaku pencemaran pada susu semasa proses penyimpanan. Plastik yang menyimpan susu juga haruslah kukuh, ditutup dengan baik dan disimpan di kawasan yang boleh meminimakan kerosakan pada plastik.

Bekas yang dibuat atau mengandungi Bisphenol A(BpA) mesti dielakkan, terdapat bukti kukuh kesannya yang menjadi pengganggu Endokrin pada bayi. Begitu juga dengan bahan pengganti BpA iaitu Bisphenol S(BpS) yang memberi kesan merosakkan pada tubuh seseorang jika menggunakannya.

Susu perahan tidak sepatutnya disimpan dalam plastic yang digunakan di hospital, seperti yang digunakan untuk air kencing atau bendalir badan, kerana tiada data kukuh berkaitan keselamatan kimia dan kesannya pada kesihatan bayi. Lebih selamat jika gunakan hanya bekas yang mempunyai gred untuk makanan sahaja.

4. Semasa peralatan pam dicuci ia  perlu dileraikan sepenuhnya, dibasuh dengan air bersabun dan dibilas atau dibasuh dalam mesin pencuci automatik dan seharusnya dikeringkan sepenuhnya atau dikeringkan dengan tisu. Jika tidak mempunyai sabun, anda juga boleh menggunakan air panas untuk cucian. Penggunaan pencuci pembasmi kuman berasaskan kimia tidak sesuai digunakan pada bahagian pam susu, kerana dikhuatiri kurang keberkesan serta berisiko meninggalkan sisa jika tidak dibersihkan dengan betul.

PENYIMPANAN SUSU PERAHAN.

1. Susu yang baru diperah sesuai disimpan di suhu bilik(pada suhu 10-29°c) untuk satu tempoh. Kajian menunjukkan perbezaan waktu untuk penyimpanan susu perahan di suhu bilik bergantung pada keadaan, kebersihan teknik memerah dan suhu semasa. Suhu semasa yang lebih hangat meningkatkan pembiakan bakteria pada susu lebih pantas.

Untuk suhu bilik 27-32°c, tempoh 4 jam bersesuaian, manakala bagi susu perahan yang diyakini bersih teknik memerah dan kurang kandungan bakterianya, 6-8 jam mungkin bersesuaian. Namun amat digalakkan untuk susu terus disimpan ke dalam peti ais jika ia tidak digunakan.

2. Penggunaan pek ais adalah selamat digunakan untuk menyimpan susu perahan, ia dibuktikan dalam beberapa kajian yang menunjukkan susu yang disimpan pada suhu 15°c untuk tempoh 24 jam mempunyai peningkatan bakteria yang rendah.

3. Manakala dalam beberapa kajian lain menunjukkan susu ibu selamat disimpan pada suhu 4°c seperti di dalam peti ais dan khasiatnya mungkin ada sedikit penurunan apabila disimpan melebihi 2-3 hari.

Satu kajian lain pula menunjukkan komposisi Lemak dan aktiviti enzim Lipase kekal stabil apabila susu disimpan hingga 4 hari manakala tahap Laktoferin pula kekal stabil hingga 5 hari.

Kajian pada Kolostrum pula menunjukkan zat seperti Immonuglobulin A, Cytokines, dan factor Tumbesaran tidak berkurangan walaupun ia disimpan sehingga 2 hari.

4. Membekukan susu perahan selama 3 bulan adalah selamat. Namun kandungan seperti Lemak, Protein dan Kalori didalamnya kelihatan berkurangan berbanding susu yang baru diperah manakala terdapat peningkatan keasidan akibat aktiviti Lipase.

Susu beku haruslah disimpan di bahagian paling dalam peti beku dan bukannya di bahagian pintu atau yang berdekatan dengannya bagi mengelakkan perubahan suhu yang mendadak pada susu akibat buka dan tutup peti ais.

5 Susu yang telah disejukkan atau dibekukan mungkin mempunyai bau yang berbeza dari susu yang baru diperah. Ia berlaku akibat aktiviti enzim Lipase yang membebaskan Asid Lemak dan bau ini terhasil dari pengoksidaan Asid Lemak. Walaupun mungkin agak berbau, namun proses ini memberi kesan yang menghalang pembiakan mikroorganisma pada susu yang telah dicairkan.

Menghangatkan susu melebihi 40°c untuk menyahaktifkan enzim Lipase adalah tidak digalakkan kerana ia boleh memusnahkan banyak zat-zat hidup dalam susu ibu.

6. Semasa menyimpan susu perahan, tinggalkan sedikit ruang kerana cecair akan mengembang apabila ia dibekukan.

7. Untuk mencampurkan susu, sebaiknya susu yang baru diperah haruslah disejukkan terlebih dahulu sebelum ia dicampurkan dengan susu yang berada di dalam peti ais bagi mengelakkan susu yang telah sejuk Kembali hangat.

MENGGUNAKAN SUSU YANG TELAH DISIMPAN

1. Peralatan memerah, peralatan untuk penyimpanan dan pemberian susu haruslah dicuci dengan air dan sabun kemudian dikeringkan sebelum atau selepas ia digunakan.

2. Gunakan susu yang baru diperah dahulu kerana ia lebih mempunyai lebih zat berbanding susu yang telah dibekukan. Susu yang baru diperah mengandungi antibodi yang diperlukan oleh bayi sesuai dengan keperluan semasanya. Susu baru diperah tinggi dengan antioksida, vitamins, protein, lemak dan bakteria probiotik serta lebih nilai nutrisi dari susu yang lain.

3. Terdapat pelbagai cara untuk mencairkan susu yang telah beku, sama ada meletakkan susu beku didalam peti ais bawah atau meletakkannya di bawah aliran air suam. Namun mencairkan susu beku secara perlahan menunjukkan lebih kurang kehilangan lemak berbanding menggunakan air suam.

4. Bayi boleh minum susu yang sejuk, di suhu bilik atau yang telah dihangatkan, ia bergantung pada kehendak bayi itu sendiri. Suhu yang sesuai untuk menghangatkan susu perahan ialah suhu yang paling hampir dengan suhu badan manusia, 40°c dan ke bawah kurang dari 20 minit. Menghangatkan susu melebihi suhu sepatutnya akan menyebabkan penyusutan Lemak dalam susu perahan.

5. Penggunaan mikrowave untuk menghangatkan susu adalah tidak digalakkan kerana sukar untuk mengawal suhu selain pemanasan menjadi tidak sekata. Pemanasan menggunakan mikrowave juga akan membuatkan penyusutan faktor Imunologi dalam susu sekaligus mengurangkan nilai khasiat didalam susu.

6. Apabila susu beku telah dicairkan, kemudian diletakkan ke suhu bilik ia perlulah tidak melebihi 2 jam, sama ada ia perlu digunakan dalam tempoh tersebut atau dilupuskan jika mencapai 2 jam.

7. Susu yang telah dicairkan kemudian tidak digunakan, tidak disaran untuk dibekukan semula kerana masih kekurangan maklumat untuk membekukan susu perahan sekali lagi.

8. Jika bayi anda telah minum susu perahan dan masih mempunyai baki perahan yang tidak habis diminum, sebaiknya ia dihabiskan dalam tempoh 1-2 jam kerana apabila mulut bayi mula menyentuh susu perahan tersebut ia akan mencemarkan atau memindahkan kuman dari mulut bayi ke susu perahan. Bagi mengelakkan pembaziran, disarankan untuk menyimpan susu perahan atau memberi bayi minum dengan amaun yang rendah seperti 15, 30 atau 60 ml.

9. Untuk mengendalikan susu perahan ia tidak perlukan teknik pengendalian yang istimewa. Ibu yang memerah susu ibu boleh sahaja menggunakan peti ais yang berkongsi makanan bersama rakan sekerja yang lain di tempat kerja. Digalakkan untuk ibu melabelkan susu perahan.

10. Susu yang bersih atau tidak tercemar secara semulajadinya mengandungi ‘nonphatogenic bacteria’-yang tidak boleh menimbulkan penyakit, yang penting untuk kesihatan usus bayi  . Ia bertindak mewujudkan keadaan yang tidak sesuai untuk pertumbuhan organisma berbahaya.

Jika ibu mengalami kesakitan pada puting atau payudara akibat bakteria atau jangkitan kulat, tiada bukti menunjukkan yang ibu perlu melupuskan susu yang diperahnya. Susu ibu yang kelihatan telah bergumpal. Busuk atau bernanah perlulah dilupuskan dan tidak diberikan pada bayi.