You are currently viewing KELIRU PUTING.

KELIRU PUTING.

Keliru puting atau lebih dikenali dengan ‘nipple confusion’ adalah istilah yang merujuk pada ragam bayi yang menolak payudara apabila mula diperkenalkan pada botol susu bayi sebelum bayi dan ibu mahirkan diri untuk menyusu pada payudara.

Bayi menggunakan teknik yang berbeza semasa mengeluarkan susu dari payudara dan botol, membuatkan sesetengah bayi mula menolak payudara apabila diperkenalkan botol susu. Tiada cara yang tepat untuk mengetahui bayi yang mana akan mengalami keliru puting atau tidak. Namun bayi yang lahir lebih awal serta mengalami kesukaran untuk melekap atau belum menguasai teknik penyusuan pada payudara adalah lebih berisiko untuk alami situasi ini.

LANGKAH BAGI MENGELAK KELIRU PUTING DARI BERLAKU.

1. Tangguhkan penggunaan botol susu sehingga sekurangnya bayi berusia 4 minggu atau setelah ibu dan bayi dapat menguasai teknik penyusuan pada payudara sehingga mahir.
2. Jika bayi perlu diberikan susu perahan atau susu rumusan, pilih pemberian melalui sudu, tiub, picagari atau cawan (cup feeding).
3. Maklumkan pihak hospital yang anda memilih untuk menyusukan bayi pada payudara setelah lahir atau gunakan alternatif lain seperti pemberian melalui cawan (cup feeding) jika bayi memerlukan pemberian susu tambahan atas faktor kesihatan.


BAGAIMANA JIKA BAYI TELAH MENGALAMI KELIRU PUTING?

  • SKIN TO SKIN semula dengan bayi, jadikan ia rutin supaya bayi biasa dengan payudara ibu dan proses untuk memujuk bayi kembali pada payudara lebih mudah.
  • Fokus untuk MENAMBAH BAIK TEKNIK PENYUSUAN hingga mahir. Contohnya perlekapan bayi, posisi ibu dan posisi bayi, tanda bayi ingin menyusu (feeding cue), cara memegang bayi dan pelbagai lagi yang boleh membantu bayi untuk kembali ke payudara ibu.
  • Lihat TANDA BAYI INGIN MENYUSU (feeding cues). Susukan bayi sebelum bayi menangis, bayi lebih tenang ketika ini. Apabila bayi menangis sebenarnya sudah terlalu lambat untuk bayi disusukan dan ibu lebih mudah panik apabila bayi menangis.
  • PERAH SUSU, ada beberapa situasi yang mungkin anda boleh gunakan cara ini. Perah sedikit susu dahulu, kemudian berikan bayi sedikit susu sehingga bayi lebih tenang. Kemudian suakan payudara anda, semasa ini bayi akan lebih tenang dan mudah menerima payudara anda. Ataupun perah sedikit susu anda, kemudian suakan payudara pada bayi. Rasa dan bau susu yang diperah dan berada di hujung payudara tadi akan menarik minat bayi untuk menyusu sekaligus mendorong bayi untuk mendapatkan payudara.
  • DAPATKAN BIMBINGAN dari Pembimbing Susu Ibu Bertauliah berhampiran anda. Pandangan dan bimbingan professional mereka yang lebih arif dapat membantu anda untuk menangani isu keliru puting pada bayi.
  • ORAL STIMULATION, ia bagi meransang lidah dan otot mulut bayi anda bagi menggalakkannya menghisap pada payudara kelak.
  • Periksa juga jika bayi anda mengalami masalah Tongue Tie, ia juga boleh mengganggu perlekapan bayi pada payudara.