You are currently viewing CARA PANASKAN SUSU BADAN.

CARA PANASKAN SUSU BADAN.

Seperti yang kita tahu kebaikan susu ibu didalamnya terkandung zat hidup yang sangat baik untuk bayi dan hanya ada didalam susu ibu. Jadi cara suamkan susu juga perlulah tepat untuk menjaga dan mengekalkan zat-zat susu ibu ini supaya dapat diberikan pada bayi.

Susu yang dipanaskan terlalu lama atau menggunakan suhu yang terlalu tinggi boleh menyebabkan susu menjadi ‘overheat’ atau terlebih pemanasan. Ia boleh mengurangkan kadar lemak dalam susu ibu, disamping boleh mengurang atau memusnahkan zat-zat yang ada dalam susu ibu.

Sayanglah kan? Sebab tu penting ya proses suamkan susu ini sebab kita nak kekalkan kebaikan susu ibu ini supaya bayi dapat sepenuhnya.

BAGAIMANA CARANYA?

Suhu yang digalakkan untuk suamkan susu ibu adalah 37-40°c. Dipercayai untuk meniru paras suhu tubuh manusia.

Sebelum suamkan, susu perlulah dicairkan terlebih dahulu. Proses ini digalakkan dibuat secara perlahan bukan secara drastik.

1. Malam sebelum susu digunakan, susu beku dari peti beku dikeluarkan mengikut sistem FIFO (First In First Out)

2. Lalukan dibawah air atau rendamkan susu didalam semangkuk air, kemudian masukkan ke bahagian sejuk dingin peti ais semula.

3. Jika menggunakan plastik penyimpanan susu (plastic storage), digalakkan untuk pindahkan susu ke dalam botol susu apabila susu sudah cair.

4. Suamkan susu menggunakan nisbah 1:2

1 bahagian air panas didih dicampurkan dengan 2 bahagian air paip. Nisbah ini sangat bersesuaian dan anda akan dapat air dengan suhu sekitar 37°c, suhu yang disarankan untuk suamkan susu ibu.

Atau boleh gunakan penghangat susu(warmer) yang banyak dijual di pasaran kini. Tetapkan pada suhu 40°c dan ke bawah.

MENGHANGATKAN SUSU MENGGUNAKAN MICROWAVE.

Susu ibu TIDAK BOLEH dihangatkan di dalam microwave. Ini kerana,

  • Penggunaan microwave semasa menghangatkan susu membuatkan susu tidak disuamkan dengan sekata. Terdapat bahagian yang panas secara berlebihan (hot spots) dan sebaliknya. Hot spot berisiko mengakibatkan lecur pada mulut bayi.
  • Agak sukar mengawal suhu menggunakan microwave dan boleh mengakibatkan Overheat berlaku.

APA ANDA PERLU TAHU?

  • Susu yang telah disuamkan hanya boleh digunakan SEJAM saja selepas disuamkan. Jika bayi tidak minum atau menghabiskannya, susu perlu dibuang. Jadi suamkan dan kuantiti yang diperlukan sahaja ya.
  • Susu beku yang sudah dicairkan di dalam peti sejuk bahagian dingin (chiller) TIDAK BOLEH DIBEKUKAN semula, perlu dihabiskan dalam tempoh 24 jam selepas dicairkan. Kerana itu digalakkan simpan susu mengikut amaun bayi minum bagi satu sesi atau 2 ke 3 kali sesi bayi minum mengikut keperluan bayi. Jadi cairkan,terus bahagi dan habiskan susu yang telah dicairkan.
  • Susu yang telah disuamkan, TIDAK BOLEH DISUAMKAN SEMULA.
  • Anda juga boleh mencuba berikan bayi susu perahan yang tidak disuamkan.