You are currently viewing OVERSUPPLY DALAM PENYUSUAN.

OVERSUPPLY DALAM PENYUSUAN.

Kebiasannya selepas melahirkan wanita mengalami penghasilan susu yang agak berlebihan. Namun dengan kekerapan bayi menyusu pada payudara ibu, susu dapat dikeluarkan dengan efisien dan payudara akan lebih lembut dari sebelum bayi disusukan. Selepas beberapa minggu melahirkan penghasilan susu ibu dapat disesuaikan mengikut keperluan bayi.

Berbeza dengan wanita yang mengalami Oversupply, dimana penghasilan susu mereka berlebih-lebihan atau terlalu banyak dari yang bayi perlukan dan ia berlarutan walaupun sudah beberapa minggu atau beberapa bulan usia bayi.

PUNCA OVERSUPPLY.

Terdapat beberapa faktor berlakunya Oversupply, contohnya jika ibu terlalu awal memerah dengan kerap pada payudara kerana khuatir akan penghasilan susu akan berkurangan walaupun dalam masa yang sama ibu masih menyusukan bayi pada payudara. Ini menyebabkan terlalu banyak ransangan pada payudara ibu sekaligus menghasilkan penghasilan susu yang berlebihan.

Namun terdapat juga beberapa masalah kesihatan atau pengambilan ubat-ubatan yang boleh memberi kesan penghasilan susu yang berlebihan.

APA TANDA OVERSUPPLY?

Tanda Pada Bayi.

  • Semasa menyusu, bayi seakan penat.
  • Bayi menarik-menarik payudara sambil menangis terutama apabila aliran susu ibu laju atau semasa Let Down Reflex.
  • Bayi mengetap gusi atau bibir sebagai cubaan untuk mengurangkan aliran susu yang laju.
  • Bayi kerap tersedak semasa menyusu.
  • Tempoh penyusuan menjadi lebih pendek tetapi sangat kerap berikutan bayi menerima lebih susu yang terdapat di awal sesi penyusuan yang mengandungi kurang lemak(Foremilk) serta tidak mendapat susu yang mempunyai lebih banyak lemak yang berada di akhir penyusuan(Hindmilk).
  • Bayi kerap kembung.
  • Najis bayi berwarna hijau dan berbuih.

Tanda Pada Ibu.

  • Payudara ibu sentiasa berasa penuh walaupun selepas menyusukan bayi.
  • Ibu kerap mengalami bengkak susu.
  • Ibu perlu memerah keluar susu walaupun bayi sudah disusukan.
  • Ibu perlu menukar baju dengan lebih kerap akibat susu keluar dengan sendiri.
  • Ibu kerap mengalami saluran susu tersumbat(block duct)
  • Sesi penyusuan yang agak mencabar kerana perlu menenangkan bayi yang mungkin terkesan dengan oversupply ibu.

Bagaimanapun tanda-tanda ini perlu dilihat secara menyeluruh kerana adakalanya ia adalah normal dan adakalanya boleh juga disebabkan oleh punca atau masalah penyusuan yang lain. Tanda Oversupply juga perlu dilihat lebih dari satu tanda.

Bagi sesetengah wanita, mempunyai banyak susu adalah sesuatu yang sangat diimpikan. Namun tinjaun mendapati adakalanya situasi Oversupply membuatkan penyusuan menjadi lebih sukar. Dapatkan bantuan serta bimbingan dari Kaunselor Laktasi untuk mengenalpasti atau menguruskan Oversupply.