You are currently viewing APA ITU LET DOWN REFLEX?

APA ITU LET DOWN REFLEX?

Sedang anda menyusukan bayi,tiba-tiba rasa seperti menyucuk-nyucuk dari dalam payudara,manakala payudara sebelah lagi pula mengeluarkan susu secara tiba-tiba.Pernah anda merasainya?

Oh,jangan panik!

Situasi ini adalah normal,ia adalah Let Down Reflex(LDR),dikenali juga sebagai Milk Ejection Reflex(MER) atau Refleks Ejeksi Susu.LDR adalah tindak balas yang berlaku dengan sendirinya pada tubuh anda apabila bayi anda menyusu pada payudara.Semasa bayi anda melekap pada payudara dan mula menghisap,ia memberi signal pada otak anda untuk merembeskan hormon Prolaktin dan Oksitosin.Fungsi Prolaktin ialah untuk menghasilkan lebih banyak susu manakala Oksitosin akan meransang Refleks Ejeksi Susu atau LDR.

Apabila bayi menghisap pada payudara rangkaian saraf pada puting dan areola akan menghantar signal pada otak ibu,hormon Oksitosin akan dirembeskan dari Kelenjar Pituitari di bahagian otak yang berfungsi untuk menecutkan otot di sekitar payudara sekaligus membantu untuk mengeluarkan susu dari payudara.

TANDA-TANDA LET DOWN REFLEX.

  • Rasa menyucuk-nyucuk dalam payudara.
  • Payudara rasa penuh atau padat.
  • Payudara rasa hangat.
  • Susu memancut atau aliran susu menjadi laju.
  • Susu keluar dari payudara dengan sendirinya.
  • Kedengaran bayi menelan.
  • Sakit pada bahagian rahim terutama pada ibu yang baru melahirkan bayi.
  • Ibu yang memerah akan dapat melihat pancutan susu semasa LDR.

LDR boleh berlaku semasa anda sedang menyusukan bayi atau berlaku secara tiba-tiba sewaktu anda tidak menyusukan bayi.Contohnya apabila anda terdengar tangisan bayi,semasa mandian hangat atau semasa berhubungan intim bersama pasangan.

PENGHALANG LET DOWN REFLEX.

  • Penat.
  • Sedih.
  • Stress.
  • Rasa sakit semasa menyusukan atau melibatkan masalah kesihatan.
  • Kurang yakin untuk menyusukan bayi.
  • Pengambilan alkohol,merokok atau ubat-ubatan tertentu.

CARA UNTUK MERANSANG LET DOWN REFLEX.

  • Sebelum menyusukan bayi,berikan urutan lembut di sekitar payudara.
  • Mandi dengan air hangat atau gunakan tuala yang dituam hangat dan tekapkan pada payudara.
  • Dapatkan posisi dan kedudukan yang selesa sebelum anda menyusukan bayi.
  • Malapkan lampu dan tetapkan suhu bilik mengikut kesesuaian anda.
  • Peluk erat bayi atau skin to skin sebelum memulakan penyusuan.
  • Bagi ibu yang bekerja dan memerah di tempat kerja,tonton video bayi comel anda juga dapat meransang LDR berlaku.
  • Elakkan pengambilan alkohol atau merokok.

LDR adalah penting kerana ia meransang pengeluaran susu dari payudara untuk bayi.Apabila LDR berfungsi dengan baik, bayi akan mendapat susu yang mencukupi untuk pertumbuhan dan kenaikan beratnya.

Biasanya LDR berlaku beberapa kali dalam satu sesi penyusuan,namun biasanya ibu hanya menyedari LDR yang pertama kali sahaja.Bagi sesetengah wanita,sensasi LDR mungkin membuatkan mereka berasa tidak selesa,ada pula yang merasakan LDR sangat menyakitkan,namun ada juga wanita yang tidak merasai apa-apa semasa LDR berlaku,ia juga adalah normal.