Mengapa Doa Saya Tidak Dimakbulkan?

Assalammualaikum w.b.t
Alhamdulillah, dengan ilham yang diberikan oleh Allah, hari ini saya ingin menulis entry tentang Hukum Tarikan atau pun dikenali sebagai Law of Attraction untuk menjawab soalan di atas. Entry ini sudah terbuku dalam fikiran saya sejak 2012 lagi tapi baru ini saya punyai kesempatan, ilham, dan sumber rujukan yang bakal menjadi titipan untuk mengukuhkan entry ini. In shaa Allah.
Saya mula mengenali buku-buku yang menulis tentang Hukum Tarikan ini sejak ujian yang berlaku dalan hidup saya dan Edy pada tahun 2011. Ujian itu tidak berhenti di situ, saya terus diuji ketika kali pertama berhijrah di tempat sendiri selama hampir 7 bulan. Hanya air mata dan doa pengharapan agar segalanya pulih menjadi peneman hidup saya tika itu. Dan untuk menguatkan jiwa saya yang hampir rapuh, saya telah banyak menghabiskan masa meneliti tulisan pakar-pakar hebat berkenaan The Law of  Attraction. 
Buku-buku yang berkaitan dengan Hukum Tarikan
Hasilnya? Teruskan membaca entry ini 🙂
Jika kalian yang pernah membaca entry saya ketika saya ingin menyambung pengajian di peringkat sarjana, saya banyak memfokuskan cerita saya itu kepada kekuatan doa. Boleh rujuk entry ini. Untuk meyakinkan seorang ketua bukan Islam dan membenarkan saya untuk menyambung pelajaran menuntut saya membina kekuatan melalui doa, solat dhuha dan keyakinan hampir 3 minggu lamanya. Bukan sehari saya berdoa, tapi 3 minggu kerana saya hanya ingin mendengar perkataan ‘Ya’ dari majikan saya itu. Dan sukar dipercayai apabila akhirnya majikan saya akur dan menurunkan tanda tangan sedangkan pada tahun yang sama, rakan sekerja saya yang sama bangsa dan agama dengannya juga memohon perkara yang sama, tetapi tidak diluluskan. Bila saya ditanya oleh rakan sekerja saya itu bagaimana permohonan saya boleh diluluskan, sangat sukar untuk saya menjawabnya kerana saya tidak tahu untuk menerangkan tentang ‘doa yang telah dimakbulkan Allah’ kepadanya. Saya tak nak kawan saya itu salah sangka dengan konsep amalan saya ini. Jadi, saya merahsiakan jawapan saya itu kerana saya tiada kekuatan untuk memberi penjelasan padanya tentang apa yang saya yakini.
Tanpa saya sedar, sudah 3 tahun saya mengamalkan hukum tarikan ini dalam mengecapi impian saya. Tapi sejujurnya, hukum tarikan ini adakalanya terganggu dek emosi yang tidak stabil atau gangguan pemikiran negatif oleh saya sendiri. Untuk mengembalikannya, saya perlu menumpukan ‘tenaga’ agar hukum tarikan ini dapat dikembalikan dan dapat diaplikasikan dalam hidup saya.
Apa itu sebenarnya Hukum Tarikan?
Mungkin ramai yang telah tahu tentang hukum ini. Yang masih lagi tidak jelas, saya akan cuba jelaskan semudah dan seringkas mungkin.
Pernah tak kita alami keadaan seperti ini, sewaktu kita hendak keluar simpang atau sedang menyusur jalan untuk memasuki jalan utama yang padat dengan kereta, rasa berdebar kerana kereta belakang sudah mula menghimpit dan saat itu kita sangat berharap kalau-kalau ada pemandu yang ingin memberi laluan, dan tiba-tiba ada sebuah kereta yang berhenti memberikan laluan masuk kepada kita.
 
Atau keadaan seperti ini, sewaktu kita sedang asyik mencari parking di sebuah shopping mall yang sesak dengan kereta, tiba-tiba sahaja ada sebuah kereta yang mahu keluar dari parking dan kereta tersebut betul-betul di hadapan kita yang sedang menunggu dan sibuk melilau mencari kalau-kalau masih ada parking kosong yang terhampir. “Ada parking!”, tentu itulah yang terdetik atau terpacul keluar dari mulut kita saat itu.
Dua contoh yang saya berikan ini sebenarnya adalah hukum tarikan yang sering berlaku tanpa sedar dalam hidup kita. Allah izinkan ia berlaku kerana saat itu kita sangat menumpukan perhatian terhadap sesuatu yang kita harapkan itu. Dua situasi ini membuatkan fikiran kita tidak memikirkan hal lain dan fikiran serta hati seiring memikirkan dan berharap agar kita diberi laluan atau mendapat parking hingga akhirnya kita benar-benar memperolehinya.
Saya percaya kawan-kawan pernah alaminya. Ini yang berlaku tanpa sedar kerana saat itu kita memberikan tumpuan ‘tenaga’ kita kepadanya. Jadi bagaimana untuk alaminya secara sedar?
Latihan yang saya lakukan biasanya bermula dengan perkara kecil. Contoh, saya berdoa dan berharap agar perjalanan saya lancar, saya mendapat parking yang termudah dan terbaik, serta urusan saya dipercepatkan. Sebagai contoh, saya ingin membuat urusan di pejabat kerajaan. Dari pagi lagi sewaktu subuh saya telah memikirkan ‘kejayaan’ menghadapinya. Jadi, apabila kita menumpukan tenaga dan keyakinan kita pada kemudahan yang Allah akan beri itu, kita akan berjaya melaluinya. Dan sepanjang perjalanan, trafik menjadi lancar, saya bertemu traffic light hijau, mendapat parking yang mudah, dan dapat berurusan dengan pegawai yang baik dan memudahkan. Syarat utamanya mudah, BERASA YAKINLAH!
Tapi sekiranya kita telah berdoa tapi masih lagi tidak menemui trafik yang lancar, jalan sesak, parking yang sukar dan jauh serta pegawai yang irritating, kembali semula pada doa kita. Adakah kita telah berdoa dengan yakin dan dalam masa yang sama hati kita yakin dengan apa yang kita fikirkan? Adakah fikiran dan hati kita seiring? Contohnya, kita telah berdoa agar Allah memudahkan segalanya, tapi selepas berdoa, hati atau ucapan kita menggambarkan ketakutan seperti, “biasanya waktu macam ni jem @ traffic light banyak nak kena tempuh dan tak ada jalan lain @ pegawai kat kaunter tu selalu marah-marah orang, kalau dia marah aku nanti macam manalah…” Bila ada rasa hati yang mengganggu fikiran kita seperti ini, percayalah ia sukar untuk berjaya.. Jadi kita kena pastikan tumpuan sinergi keduanya adalah selari.
Seperti berdoa untuk mendapat anak juga, sekiranya kita telah berdoa setiap hari agar Allah kurniakan kita zuriat, tapi dalam masa yang sama, hati kita selalu merasa bahawa kita tidak subur, adakah boleh kita mengandung, kita sudah kahwin 5-6 tahun tapi susah untuk hamil sedangkan orang lain hanya ambil masa 2-3 bulan sahaja. Pernah tak ia berlaku dalam diri kawan-kawan? Sejujurnya, ia pernah berlaku dalam hidup saya sebelum ini kerana saya gagal memfokuskan keduanya; hati dan fikiran. Dan kerana itu, mungkin sebahagian permintaan kita tidak dimakbulkan kerana badan kita seolah-olah keliru dan tidak tahu dengan apa yang kita inginkan sebenarnya.
Dan segalanya berubah apabila latihan pertama saya berjaya pada tahun 2012, atau lebih spesifik saya katakan latihan tersebut ialah ketika saya ingin mendapatkan kebenaran majikan saya untuk menyambung pelajaran. Dan selepas itu, sebenarnya ada suatu kejadian lain yang berlaku dan masih segar dalam ingatan saya hingga kini. Kerana keyakinan doa saya pada-Nya, hal itu terjadi penuh keajaiban. Berikut kisah saya seterusnya…
Selepas saya selesai menguruskan segala pendaftaran, saya perlu ke pejabat bendahari untuk membuat pengesahan bayaran pengajian dan berpatah balik semula ke sekolah pascasiswazah dan mengambil gambar kad matrik. Waktu itu sudah pukul 3 petang dan saya ada kelas pertama pada pukul 4 petang. Saya berdoa dengan penuh keyakinan agar Allah mempermudahkan urusan saya pada hari itu. Setibanya saya di pejabat bendahari, rasanya bukan puluhan malah ratusan pelajar sedang bersesak-sesak menunggu giliran untuk membuat pembayaran. Saya mahu mengambil nombor tetapi saya diberitahu oleh seorang pelajar di situ, nombor telah habis sejak pukul 8 pagi lagi dan saya perlu datang semula pada hari esok! Saya terkejut dan termangu sendiri di tepi kaunter nombor dan merasa sedikit kecewa kerana seolah-olah target saya pada hari itu seperti tidak akan dapat dicapai. Saya berdoa kuat-kuat dalam hati, “Ya Allah, tolonglah aku! Kasihan Edy sudah 3 hari berulang-alik menemani aku ke UTM. Biarlah segalanya selesai hari ini…”. 
Dan tiba-tiba seorang pegawai lelaki dalam lingkungan awal 30-an, keluar dari pejabat dan menuju pintu utama seperti mahu keluar. Waktu itu saya sedang tercegat, berdiri tegak di pintu utama tersebut. Dan tanpa diduga, pegawai lelaki tersebut menegur saya dan bertanya kenapa? Seperti disorongkan bantal, saya terus jelaskan bahawa saya hanya mahu mengesahkan pembayaran kerana saya telah membuat pembayaran online. Tapi nombor giliran sudah kehabisan! Pegawai tersebut terus mengambil borang di tangan saya dan tiba-tiba berkata, “ikut saya..”. Saya menyusul dari belakang masuk ke pejabat utama di dalam. Pegawai tersebut menghilang masuk ke sebuah bilik. Saya bingung dan tertanya-tanya apa yang berlaku. 
Selepas beberapa minit, pegawai tersebut keluar dan menghulurkan semula borang itu pada saya sambil berkata, “Dah selesai, boleh pergi ambil gambar”. Saya terkejut dan macam tak percaya. Berkali-kali saya mengucapkan terima kasih padanya hingga saya sedar pegawai itu mengerutkan dahinya barangkali kehairanan dengan sikap saya itu. Dan pegawai itu terus beredar. Bila saya keluar dari pejabat utama, pelajar yang memberitahu tentang nombor sudah habis tadi bertanya saya, dan saya bilang urusan saya sudah selesai. Pelajar itu sangat terkejut urusan saya selesai dalam beberapa minit kerana dia juga hanya ingin mengesahkan pembayaran dan telah menunggu sejak pagi lagi. Subhanallah! Hanya kuasa Allah yang mengizinkan hal itu terjadi kepada saya pada hari itu. Pegawai itu langsung tidak mengenali saya, tetapi boleh menegur saya di kalangan ratusan pelajar di situ malah membantu saya menguruskan pengesahan pembayaran saya. Inilah kuasa doa. Bila keluar, saya terus meluru kepada Edy. Edy tak sempat parking pun lagi. Alhamdulillah, saya selesai mengambil gambar untuk kad matrik pada pukul 3.45 petang dan sempat untuk ke kelas pertama saya iaitu kelas Dynamic and Leadership.
Ini hanyalah beberapa contoh yang mungkin pernah saya lalui dan berkaitan dengan Hukum Tarikan. Pada pandangan saya, Hukum Tarikan memerlukan latihan, fokus, dan istiqamah. Paling penting, keyakinan pada Allah. Melalui beberapa buku Law of Attraction yang saya baca, kebanyakan tokoh yang telah berjaya juga mengamalkan Hukum Tarikan dalam hidup mereka. Sejak 2012, saya banyak bergantung pada Hukum Tarikan dalam menentukan keputusan-keputusan besar seperti sambung belajar, beli rumah, menunaikan umrah dan memohon Allah menentukan sesuatu yang terbaik untuk saya. Segala keputusan saya, banyak bergantung kepada gerak hati selepas saya memohon petunjuk daripada Allah. Saya hanya minta Allah berikan yang terbaik untuk saya. Sebagai contoh, dalam membeli rumah yang saya duduki kini, sejujurnya sebelum menemukan rumah ini, sudah 10 buah rumah yang menjadi idaman saya terpaksa diketepikan, kerana mungkin rumah-rumah itu bukan yang terbaik untuk saya. Dan rumah yang saya beli kini sejujurnya tidak termasuk dalam senarai rumah impian saya, tetapi inilah rezeki saya, inilah rumah terbaik untuk saya dan keluarga saya.
Rasanya, untuk menerangkan tentang Hukum Tarikan ini, boleh jadi hingga satu jilid buku baru habis penerangan saya tentangnya. Mungkin akan ada beberapa bahagian lagi yang akan saya tuliskan tentang Hukum Tarikan. Untuk hari ini, mungkin sampai di sini dahulu PENDAHULUAN yang saya tulis tentang kelebihan Hukum Tarikan dalam menjamin kehidupan yang lebih positif.
Berbalik kepada tajuk entry, “Mengapa Doa Saya Tidak Dimakbulkan?”, sebenarnya ada kaitan dengan Hukum Tarikan yang saya ceritakan ini. Ianya bergantung kepada kualiti dan keyakinan doa itu sendiri.
Saya memohon maaf kepada yang mungkin bertanya melalui email atau whatsapp seperti, “saya telah berusaha itu dan ini, tapi hasilnya tetap sama…” atau “Saya tak pernah berputus asa, tapi kawan saya boleh, kenapa saya tidak?”
Selalunya saya hanya akan mendiamkan diri selepas beberapa balasan email atau mesej apabila diaju soalan berkenaan. Saya tiada kekuatan untuk terus memberikan nasihat positif dan membina kerana bukan semua orang boleh menerimanya. Saya bukan pakar motivasi, saya hanya seorang manusia biasa yang menulis atau berkongsi cerita berdasarkan rasa hati. Saya bina diri saya semula setelah beberapa kali jatuh rebah. Saya meneliti tulisan pakar-pakar motivasi untuk menjadikan diri saya seorang yang positif dan redha dengan ketentuan-Nya. Dan proses pembinaan diri saya semula bukanlah ambil masa sehari-dua, tapi adakalanya berbulan-bulan malah masuk bertahun-tahun juga. Dan bukan mudah untuk meminta orang lain memahami erti ‘redha’ itu. Sejujurnya, jika saya tidak diuji dengan kehilangan Najla dahulu, saya rasa saya masih lagi seorang yang berfikiran negatif dan sukar untuk menerima sesuatu kegagalan.
Dan buat pertama kalinya, saya akhirnya mendapat kekuatan membalas keluhan seorang hamba Allah yang lebih kurang begini bunyinya, “kawan-kawan saya semua dapat, sebab tu saya tak faham kenapa saya tak dapat sebab saya bukan mudah putus asa, lagi pun keadaan saya lebih baik dari mereka, dan saya akan buat sesuatu dengan terbaik…”. Saya yakin hamba Allah ini seorang yang gigih, kuat berusaha dan tidak lelah dengan putus asa. Cuma mungkin dia agak sukar untuk menerima sedikit ujian dan kepayahan dan sukar untuk menerima takdir yang telah ditentukan buatnya. Pada mulanya, saya hanya biarkan sahaja persoalan itu tanpa reply. Saya mohon kekuatan dan ilham daripada Allah agar saya dapat ‘menegur secara hikmah’ pernyataannya itu. Dan akhirnya, saya membalas begini,
“Allah dah tentukan yang terbaik buat kita semua. Terbaik itu bagi manusia sangat subjektif. Mungkin terbaik yang Allah berikan pada kita belum tentu yang terbaik menurut firasat kita. Setiap orang ada bahagian rezekinya masing-masing. Alhamdulillah saudari punyai rezeki yang lain seperti kerja yang baik, keluarga, tempat tinggal dan kesihatan. Mungkin itu sahaja bahagian rezeki kawan-kawan saudari dan saudari telah mendapat rezeki yang lebih banyak daripada mereka. In shaa Allah ada hikmah di sebalik ujian ini. Allah ingin tambah nikmat rezeki dengan beri sedikit kepayahn dan ujian agar selepas berpenat lelah kita cuba mendapatkannya dan dengan izin-Nya kita benar-benar memperolehinya, nikmat rezeki itu akan lebih dirasai dan disyukuri. Seperti dalam ayat At-Thalaq yang bermaksud, “Barangsiapa bertaqwa kepada Allah, nescaya Dia menjadikan baginya jalan keluar. Dan memberi rezeki kepadanya tanpa di duga, dan barangsiapa bertawakkal kepada Allah, nescaya Dia akan mencukupkannya, sesungguhnya Allah melaksana urusan yang dikehendakiNya, Allah telah mengadakan ketentuan bagi setiap sesuatu.” (Surah At-Thalaq: 2 -3).

Ada tiga keadaan doa yang tidak dikabulkan.
Pertama : Barangkali kita lalai dalam menunaikan perintah Allah SWT.
Kedua : Allah menunda permintaan kita dan mengabulkannya pada masa yang lebih tepat.
Ketiga : Kerana doa yang kita ucapkan tidak seiring dan seirama dengan isi hati kita.
(Rusdin S. Rauf, 2011 dalam bukunya Quranic Law of Attraction)
In shaa Allah dalam entry akan datang saya akan ulas lebih lanjut ketiga-tiga keadaan ini.
Bagaimana dengan Hukum Tarikan dalam usaha TTC? Bisakah berhasil?
Jawapannya, tentu YA. Bergantung kepada fokus tenaga seseorang itu. Mungkin ada yang mengambil masa beberapa bulan. Dan mungkin ada yang memerlukan bertahun-tahun untuk menfokuskan tenaga ke arah kehamilan itu sendiri. In shaa Allah, saya akan tuliskan satu entry khas untuk Hukum Tarikan dalam usaha TTC ini.
Semoga percisan entry ini menjadi ilham bagi tahun 2015 kepada semua rakan-rakan TTC dan kepada sesiapa sahaja yang sudi membaca entry saya. 
Sekian, wassalammualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

This Post Has 3 Comments

  1. Bouncing and Cherubic

    Tak sabar nak tunggu tulisan awaknyang seterusnya..

    Saya juga pembaca buku-buku yang awak tunjukkan as above, tapi masih mencari kekuatan dalam mempraktiskannya.

  2. Feed by Ummi Najla

    Tq sangat sebab sudi baca n comment.. Ya saya faham keadaan susah nak pratiskan itu sbb byk kali berlaku dalam hidup saya sbnrnya… tapi skurang2nya, awak dibukakan hati nak baca juga buku-buku ni kan? sebab sebelum hati saya 'terbuka' dulu, kawan baik saya selalu beri buku-buku seperti ini utk dibaca, tapi sejujurnya saya tidak berminat. Bila dah mula kenal rapat dengan buku-buku seperti ini, barulah tahu kemanisannya… Praktikkan tu satu lagi step yg lain.. hehe… in shaa Allah nnt berkelapanhan, saya akan tulid entry seterusnya ya 🙂

  3. Nour Leeman

    Trima kasih sharing..ini yg sy cari..syukur Allah tunjukkan jalan..tak sabar nk tunggu next entry

Comments are closed.