Musibah Yang Berganti Nikmat

Saya selalu ingat pada maksud Surah Al-Syarh atau sebahagian ulama menyebut surah ini sebagai Surah Al-Insyirah dan Surah Alam Nashrah. Surah ini hanya mengandungi 8 ayat. Teristimewanya surah ini adalah kerana Allah SWT telah menjanjikan kebahagiaan dan kemudahan kepada setiap hamba-Nya yang dihimpit kesusahan.

“1. Bukankah kami telah melapangkan dadamu (Muhammad)?.
 2. Dan kami telah menurunkan beban daripadamu.
 3. Yang memberatkan tanggunganmu.
 4. Dan Kami tinggikan sebutan (nama)mu bagimu.
 5. Maka sesungguhnya bersama kesulitan ada kemudahan.
 6. Sesungguhnya bersama kesulitan ada kemudahan.
 7. Maka apabila engkau telah selesai (daripada sesuatu urusan),
tetaplah bekerja keras (untuk urusan yang lain).
8. Dan hanya kepada Tuhanmulah engkau berharap.”
[Al-Syarh : 1-8]
Cuba lihat pada ayat 5 dan 6. “Maka sesungguhnya bersama kesulitan ada kemudahan. Sesungguhnya bersama kesulitan ada kemudahan.”

Dua kali Allah SWT telah mengulangi janjinya. Janji bahawa selepas sesuatu kesulitan itu pasti ada kemudahan. Lihat sahaja dahulu perjuangan Nabi Muhammad SAW dalam menghadapi kesulitan untuk menyebarkan syiar Islam.  Baginda diherdik, dimaki, dicaci, dan ajaran yang disampaikan baginda tidak diterima. Masya-Allah. Namun, berkat kesabaran baginda membuahkan hasil apabila semakin ramai umat yang memeluk agama Islam dan meneruskan perjuangan Rasulullah SAW hingga ke hari ini.

Aku sedar, aku bukanlah semaksum dan sesempurna peribadi Rasulullah SAW. Bukan mudah sebenarnya untuk menghayati erti  ‘sabar’, ‘redha’, dan ‘syukur’ apabila dugaan yang tak pernah dipinta datang tanpa henti. Apatah lagi hikmah yang dinanti tak kunjung tiba. Namun, cuba fikirkan kedatangan ujian ini dari sudut positif. Kita memang tidak pernah tahu hikmah di sebalik setiap ujian  yang telah direncanakan-Nya. Bukan mudah untuk menerima sesuatu kehilangan. Tidak kiralah kehilangan harta benda, pekerjaan, anak-anak, atau orang yang dicintai. Tapi percayalah, kemanisan hikmah itu pasti akan terasa apabila kita bersabar, redha, dan bersyukur dengan setiap dugaan yang hadir. Kerana segala yang ditentukan-Nya adalah terbaik untuk kita.

Sewaktu aku dalam trauma kehilangan Najla, aku menjadi hampir tidak waras. Walaupun tahu hukum hakam agama, aku seolah tidak redha walaupun berkali-kali aku sebut perkataan “aku redha dengan pemergiannya…”. Tapi hakikatnya aku sendiri tidak pernah faham apa maksud ‘redha’ itu. Namun aku bersyukur, sokongan padu yang diberikan ahli keluarga dan rakan-rakan supaya aku bersabar dan terima dengan redha takdir ini tidak pernah putus. Adik-beradik  tidak pernah berhenti menghubungi sewaktu aku berpantang di Muar. Kawan-kawan pula tidak pernah jemu menghantar sms, email, private message di facebook, malah sanggup melayan lama aku di telefon. Semuanya kerana mereka tidak mahu biar aku sendiri.

Dalam waktu itu, aku bersyukur kerana ramai menguatkan aku tanpa mempersoalkan takdir Allah yang telah berlaku. Namun adakalanya, iman aku digoyahkan oleh sebilangan kecil daripada mereka yang mempersoalkan takdir apabila mempersoalkan kematian Najla kerana sebab itu, kerana sebab ini, dan pelbagai persoalan yang membuatkan aku hampir gila memikirkannya. Aku hampir tidak redha, menyalahkan diri aku hari-hari, dan paling gila aku akan meraung dan terasa ingin memutar waktu itu agar aku dapat memperbetulkan keadaan semula. Namun syukurlah mereka ini hanyalah kelompok yang sangat-sangat kecil. Dan niat mereka mempersoalkan itu semua bukanlah kerana mereka ingin buat aku gila, tetapi kerana mereka sangat-sangat sayang akan aku. Mereka amat terasa akan kehilangan Najla. Mereka sangat-sangat sedih melihat aku sendiri. Niat mereka baik, cuma penyampaian itu kadangkalanya perlu diteliti supaya tidak disampaikan pada orang yang salah. Jika aku tidak kuat, entah apa yang aku lakukan agaknya kerana terlalu memikirkan kata-kata mereka itu. Mereka cuma insan biasa seperti aku yang penuh khilaf. Kerana aku juga pada saat itu hampir setiap hari sahaja mengeluh dan merintih, “Kenapa aku Ya Allah? Kenapa aku yang diuji sebegini?!! Kenapa aku?!!!”.

Masya-Allah. Ampunkan aku Ya Allah. Ampunkan segala kekhilafan aku selama ini. Aku tidak sengaja menuturkan semua itu dalam ilmu dan amalku yang tidak pernah cukup.

Dan alhamdulillah, hidayah itu hadir perlahan-lahan menitip jiwa aku. Permulaannya apabila aku mula berminat untuk membaca novel-novel dan buku-buku motivasi berunsur Islam. Itu pun setelah disyorkan berkali-kali oleh seorang sahabat. Nyata sahaja hati ini terbuka  untuk membaca kesemua buku itu sewaktu diuji hebat olehNya. Nah, jelas sekali manusia hanya akan dekat dengan PenciptaNya apabila diuji bukan?

Buku pertama yang aku miliki ialah Novel Stanza Cinta. Perisian  dan penceritaan oleh penulisnya,  Nurull Halawati, amat menenangkan jiwa. Novel ini juga telah diterbitkan dalam bentuk drama di TV3. Pada aku, perisian dalam novel ini jauh lebih baik berbanding drama Stanza Cinta itu. Novel ini juga telah membuka minat aku untuk membaca lebih banyak buku-buku seperti ini. Kerana aku  sangat ketandusan ilmu. Dan jiwa aku kosong. Maka, aku perlu isi segala kekosongan itu dengan segala kekuatan yang aku cedok dari semangat  dan pengalaman penulis-penulis seperti ini.

Selepas membaca sebuah novel, beralih pula kepada 2-3 novel, dan akhirnya aku telah punya hobi baru untuk membaca buku-buku berbentuk motivasi pula. Malah kini sudah punyai puluhan buku sebagai koleksi peribadi. Sebelum ini, memang tidak pernah terlintas untuk membaca buku-buku seperti itu apatah lagi untuk menjadikannya sebagai koleksi. Buku-buku yang dihadiahkan percuma juga biasanya hanya terperuk di rak. Dan aku selalunya tiada rasa bersalah walau sedikit pun bila tidak membaca buku-buku itu. Bila seorang sahabat menghulurkan beberapa buah buku, aku hanya akan menyelak beberapa helai muka, kemudian baca sekilas lalu, dan memulangkannya semula. Memang aku tiada hobi membaca. Aku hanya suka menonton filem. Namun, segalanya berubah dalam pencarian sebuah ketenangan. Dalam waktu aku ‘bercuti panjang’, aku gunakan kesempatan itu untuk membaca pelbagai jenis buku. Dan hobi  baru ini banyak memberi kesan positif dalam hidup aku. Insya-Allah, aku akan cuba kekalkan minat yang baik ini sampai bila-bila. Aku ingin anak-anakku juga punyai minat membaca seperti aku dewasa nanti.

Daripada pelbagai buku itu, buku yang paling memberi kesan dan mengubah hampir separuh dari hidup aku ialah buku Bila Allah Menduga Kita tulisan Syed Alwi Alatas.

Buku ini memberi impak yang cukup besar dalam hidup aku dan Edy. Dan buku ini  telah menjadi buku kesayangan aku. Wajiblah pada sesiapa yang sedang diuji untuk memiliki buku ini. Pasti akan merasa puas dan memiliki sebuah ketenangan selepas membacanya. Buku ini juga aku hadiahkan kepada 2 orang teman karib kerana kebetulan mereka juga sedang dilanda musibah yang latar ceritanya berbeza dari aku. Malangnya, buku ini sangat cepat habis di pasaran. Aku sampai terpaksa mencari di beberapa kedai buku yang berlainan. Impian untuk memiliki buku ini lebih dari satu sebagai hadiah istimewa kepada teman rapat tidak kesampaian kerana selalu sahaja penjual kedai buku memberitahu ‘already sold out’.

Selepas membaca buku-buku ini, alhamdulillah sedikit sebanyak telah mengubah cara pemikiran aku yang agak konservatif sebelum ini. Dan waktu itu, barulah kelihatan segala hikmah dan kebaikan di sebalik semua dugaan ini. Dan aku sedar setiap ujian itu hadir sebagai kifarah atas dosa-dosa yang dilakukan.

“Maka sesungguhnya bersama kesulitan ada kemudahan. Sesungguhnya bersama kesulitan ada kemudahan.”
Aku ingin berkongsi beberapa nikmat yang hadir dalam hidup aku dan Edy selepas pemergian arwah Najla. Sekadar membuktikan bahawa janji Allah itu adalah benar.
Hikmah pertama yang aku nampak, aku punyai lebih banyak masa bersama Edy. Jarak yang telah memisahkan kami sebelum ini telah merapatkan kami semula dan aku lebih belajar untuk menjadi seorang isteri yang lebih baik untuk Edy. Setelah dua tahun berkahwin, kami masih lagi merasa nikmat pengantin baru itu. Kami bebas ke mana sahaja berdua, dan mengenali hati budi masing-masing dengan  lebih tulus. Kami belajar menerima segala takdir dengan redha, dan berkongsi setiap susah dan senang bersama-sama.

Allah Maha Pengasih. Dia berikan pula nikmat kedua dalam kami sedang merasai nikmat pertama. Permohonan aku untuk bertukar tempat mengajar dari Johor Bahru ke Kulai telah berjaya. Syukur yang tidak terhingga kerana sebelum ini permohonan untuk aku bertukar daerah saban kali tidak berjaya. Dan kini, Dia berikan kegembiraan yang sangat dinanti-nanti itu. Sebelum keputusan secara rasmi dikeluarkan pada 10 November 2011 yang lalu, bermacam rintangan terpaksa aku lalui sewaktu melakukan permohonan tukar. Masalah online, borang tidak dapat disahkan, pembatalan permohonan sehingga tiga kali, dan bermacam-macam lagi. Malah, sebelum keputusan rasmi dikeluarkan, seorang rakan telah membantu untuk memeriksa keputusan tukar secara tidak rasmi. Mendukacitakan saat itu, aku dimaklumkan bahawa permohonan aku tidak berjaya. Tentu berita itu sangat mengecewakan kerana aku dan Edy sangat berharap untuk mulakan hidup baru di tempat baru.  Namun, kami selalu berdoa agar Allah kurniakan tempat yang terbaik untuk kami. Aku  rasionalkan semula fikiran dan terima dengan hati yang terbuka kerana aku yakin segala yang ditetapkanNya adalah terbaik untuk aku dan Edy. Dan jika ketetapanku di JB, aku redha. Tentulah sangat mengejutkan bila mana aku dapat tahu permohonan aku telah berjaya. Subhanallah. Terasa kemanisannya saat itu. Kesedihan bertukar kegembiraan. Paling gembira tentulah Edy dan ahli keluarga aku.
Dalam aku merai kesyukuran dengan pertukaran aku itu, dugaan muncul pula. Hidup ini tidak lengkap rasanya jika tidak diuji bukan. Ujian seterusnya tiba bila aku dan Edy perlu mencari rumah untuk disewa. Dua minggu lamanya aku dan Edy meronda sekitar Kulai untuk mencari rumah yang selesa dengan kadar yang berpatutan. Mencari rumah sewa di Kulai bukan suatu kerja mudah seperti mencari rumah sewa di JB. Kalau di JB dulu, aku hanya meronda 2 hari, kemudian membuat pencarian di mudah.my dan menghubungi nombor-nombor tertentu. Tup tup, rumah itu sudah boleh diduduki. Di Kulai, lain keadaannya. Aku cuba juga mencari secara online, tapi tidak temui banyak, malah yang ada pun sudah diduduki orang. Mencari rumah kosong pula, tiada nombor untuk dihubungi. Bila ditanya pada jiran-jiran, tuan rumah tidak dikenali. Aku dan Edy cukup penat. Hampir putus asa. Siang malam kami mencari. Terasa jemu. Terasa penat mulut untuk bertanya sana sini. Tapi kami tidak putus-putus berdoa semoga Allah berikan rumah yang terbaik untuk kami.
Selepas minggu kedua pencarian, kami dimaklumkan oleh seorang kawan Edy, ada sebuah rumah untuk disewa dengan kadar RM450 di salah sebuah taman di Kulai. Aku dan Edy segera ke rumah itu. Rumahnya  sederhana, punyai 3 billik, dan kelihatan masih baru. Cantik walaupun sedikit kecil. Parkirnya boleh memuatkan dua kereta walaupun agak sempit aku kira. Aku dah penat mencari sebelum ini. Jadi kami buat keputusan segera untuk dapatkan rumah itu sebelum orang lain menyewanya. Deposit disediakan dan temujanji dengan tuan rumah dibuat. Kami berjanji untuk bertemu esok harinya. Bila family aku dapat tahu, diorang tak setuju dengan kadar sewa rumah tu. Diorang kata, rate sewa rumah kat Kulai untuk 3 bilik sepatutnya paling mahal pun dalam RM350, dan kat taman tu pun memang rata-rata sewanya hanya pada kadar itu. Paling mahal pun dalam RM400 sahaja. Hati aku dan Edy mula rasa macam kurang senang bila dengar tentang rate sewa rumah ni. Bila fikirkan kondisi rumah itu, memang rasanya tak nak fikir panjang dah walaupun orang kata mahal. Memang nak grab je. Lagipun sewa rumah di JB lebih mahal. So, aku tak rasa perbezaan sangat. Tapi, aku ikutkan juga kehendak family aku supaya buat tawar-menawar dengan tuan rumah. Jadi, malam itu, Edy cuba mesej tuan rumah untuk minta dikurangkan harga sewa. Kalau dapat kurang RM50 pun sudah dikira syukur. Tuan rumah tidak membalas. Kami membuat andaian bahawa tuan rumah tidak setuju. Aku dan Edy nekad juga untuk terus menyewa rumah itu. Pukul 5 petang esoknya, seperti yang dijanjikan, aku dan Edy sudah bersiap untuk berjumpa tuan rumah. Mengejutkan, bila kami hubungi untuk berjumpa, tuan rumah bilang, rumah itu sudah disewakan kepada orang lain. Orang itu sudah membayar deposit pun. Kami terkejut, kerana tuan rumah itu sudah berjanji. Terbit juga rasa kesal dengan sikap tuan rumah itu. Caranya begitu angkuh. Tapi aku dan Edy percaya pasti Allah mahu beri kami rumah sewa yang lebih baik. Pasti ada hikmahNya yang tersembunyi.
Minggu berikutnya, aku dihubungi abang aku. Memaklumkan ada sebuah rumah di sebuah taman baru untuk disewa. Rumahnya 4 bilik, dan harga sewanya lebih murah, iaitu RM400. Aku dan Edy melawat rumah itu. Persekitarannya sangat selesa, rumah yang lebih besar, parkir dan halaman yang lebih luas, kawasan perumahan baru, penduduknya tidaklah sepadat kawasan rumah sewa yang kami tidak dapat miliki sebelum ini, dan kawasan ini lebih dekat dengan jalan utama dan kedai-kedai. Yang paling best ialah rumah ni dekat dengan rumah kakak aku. Alhamdulillah! Inilah hikmahNya yang tersembunyi sebelum ini. Rupanya Dia mahu beri rumah sewa yang lebih baik dan terjamin kepada kami. Jika kami tidak sabar, tentu sahaja kami hanya dapat rumah yang lebih kecil dengan harga sewa yang lebih mahal. Aku dan Edy memang mencari rumah yang lebih selesa untuk keluarga kami selalu singgah dan tidur di situ. Kot kot  lah nanti nak ziarah waktu aku berpantang anak-anak yang lain pula ke. Insya-Allah.
Dan seperti yang aku bilang sebelum ini, dugaan itu tidak pernah berhenti. Dalam aku sedang bergembira kerana telah mendapat rumah sewa yang baik, aku diuji lagi. Kali ni ujian itu datang dari Mrs Someone. Mrs Someone ni bukanlah teman akrab aku. Tapi aku pernah menghulurkan bantuan berbentuk sokongan dan nasihat sewaktu rumahtangganya dilanda badai, sewaktu hidupnya pincang. Dipendekkan cerita, pertolongan tulus itu akhirnya dibalas dengan pelbagai muslihat dan tipu daya yang akhirnya memburukkan nama aku. Terkilan juga rasa hati. Namun, aku yakin, Allah pasti akan tunjukkan hikmah di sebalik semua ini. Lega juga bila aku membaca entry Hannah Johary tentang Cara Untuk Menghadapi Kata-Kata Orang. Kadangkala, hanya disebabkan sikap segelintir manusia seperti ini, membuatkan orang lain berasa serik untuk membantu. Aku juga merasa perkara yang sama. Dan ini memberi pengajaran kepada aku supaya lebih berhati-hati dengan semua orang apatah lagi dengan mereka yang tidak begitu kita ‘kenali’. Bukan semuanya seperti ini, namun perlulah lebih berwaspada selepas ini agar kita tidak dibaling tahi pula selepas memberi emas kepada orang lain.
Dan nyata kegembiraan lain segera hadir sewaktu aku sedang gundah gulana. Pemenang Contest Mudah Aishah diumumkan. Dan mengejutkan sekali bila aku tahu pemenang itu adalah aku. Aku ke ni?! Dua tiga kali aku scroll ke atas ke bawah untuk baca siapa pemenang dan entry pemenang. Macam tak percaya aku lah orangnya. Mungkin pada orang lain, contest ini hanyalah sebuah contest biasa, malah tiada siapa pun tahu ganjaran apa yang akan diberikan. Tapi pada aku, contest ini lebih kepada contest penghargaan kepada seorang sahabat. Aku masuk dengan hati yang tulus kerana menghargai penulisnya yang telah memberi kata-kata semangat pada aku sewaktu aku hilang arah bila Najla telah tiada. Bila menjadi pemenang pilihan hati Aishah, aku sedar bahawa, hilangnya seorang kawan yang tidak menghargai bantuan kita selama ini, Allah hadiahkan kawan lain yang lebih menghargai siapa aku. :).

Syukur pada-Mu Ya Allah kerana tidak pernah jemu untuk menyayangi aku walau aku sedar aku penuh khilaf. Setiap kali aku merasa duka, hanya kepadaMu tempat aku memohon pertolongan dan mengadu akan segala hal. Kau Yang Maha Mendengar, memakbulkan setiap permintaan walaupun adakalanya lambat untuk aku terima. Kerana aku yakin, itulah yang terbaik untukku.

“Ya Allah, kami sangat rindu akan anak-anak kami. Kurniakanlah mereka kepada  kami untuk kami didik dan bimbing menjadi anak yang soleh dan solehah. Janganlah Engkau biarkan kami seorang diri, dan Engkaulah jua sebaik-baik yang mewarisi.”

Aku akan tetap setia dan sabar menanti pengganti Najla dari-Mu. Amin.