You are currently viewing KAPASITI PAYUDARA.

KAPASITI PAYUDARA.

Pernah anda dengar mengenai Kapasiti Payudara? Terdapat banyak persoalan yang berlegar mengenai Kapasiti Payudara begitu juga silap faham mengenainya. Antara persoalan yang kerap dikaitkan dengan Kapasiti Payudara ialah kaitan saiz payudara dengan kapasiti payudara dan teknik memerah yang boleh membesarkan kapasiti payudara.

Kali ini kami akan kongsikan apa itu Kapasiti Payudara dan fakta mengenainya.

APA ITU KAPASITI PAYUDARA?
Kapasiti payudara bermaksud berapa amaun maksimum yang payudara mampu tampung dalam satu masa apabila payudara wanita penuh. Dua kajian mendapati purata kapasiti simpanan susu dikalangan ibu-ibu ialah sekitar 2.6-20.5oz. Kapasiti payudara mempengaruhi berapa lama tempoh yang diperlukan hingga payudara wanita penuh.

Contohnya, bagi ibu yang mempunyai kapasiti payudara lebih kecil apabila kapasiti sudah mencapai 2.5oz ibu sudah mula berasa payudaranya penuh. Berbeza bagi ibu yang mempunyai kapasiti besar, 2.5oz belum mencapai penuh dan ibu tidak rasa apa-apa.

Bagaimanapun, harus jelas walaupun seseorang wanita itu mempunyai kapasiti payudara yang lebih besar itu tidak bermaksud penghasilan susu mereka tidak akan terjejas jika payudara dibiarkan penuh dalam tempoh yang lama. Kunci untuk mengekalkan penghasilan susu yang optimum ialah kekerapan ransangan yang diberikan pada payudara.

Ibu yang perlu memerah dan mempunyai kapasiti payudara kecil masih boleh mencukupkan amaun yang bayinya perlukan serta menyusukan bayinya dengan susu ibu sepenuhnya. Namun ibu mungkin perlu memerah dengan lebih kerap berbanding ibu yang mempunyai kapasiti lebih besar bagi mencukupkan amaun tersebut.

Begitu juga jika ibu menyusukan terus pada payudara, ibu yang mempunyai kapasiti kecil bayinya akan menyusu dengan lebih kerap bagi mencukupkan keperluannya berbanding ibu yang mempunyai kapasiti yang lebih besar. Satu kajian mendapati kesemua ibu yang mempunyai kapasiti payudara kecil, bayi mereka masih naik berat dalam julat yang sihat. Walaupun ibu mempunyai kapasiti kecil, ia tidak membataskan kemampuan ibu untuk menyusukan bayinya.


SAIZ PAYUDARA VS KAPASITI PAYUDARA.
Saiz payudara tidak berkaitan dengan kapasiti payudara. Wanita yang mempunyai saiz payudara lebih kecil boleh mempunyai kapasiti payudara yang besar,begitu juga jika wanita yang mempunyai saiz payudara besar boleh mempunyai kapasiti payudara yang lebih kecil. Saiz payudara dipengaruhi oleh Tisu Lemak, manakala kapasiti payudara pula bergantung kepada jumlah Tisu Kelenjar yang terdapat dalam payudara wanita.

Kapasiti payudara juga boleh berbeza-beza bagi kedua-dua payudara. Payudara kanan boleh mempunyai kapasiti payudara yang lebih besar berbanding kiri, begitu juga sebaliknya.

TEKNIK UNTUK MEBESARKAN KAPASITI PAYUDARA.
Tiada kajian yang membuktikan terdapat makanan mahupun teknik mengepam yang mampu membesarkan kapasiti payudara. Namun ibu masih boleh meningkatkan penghasilan susunya dengan memberi ransangan pada payudara dengan lebih kerap. Kapasiti payudara yang kecil tidak membataskan kemampuan seseorang ibu untuk menyusukan bayinya sendiri.

SARANAN.
Sebelum menyatakan anda seorang yang mempunyai Kapasiti Kecil, terdapat pelbagai faktor dalam penyusuan yang perlu diteliti terlebih dahulu. Terus dapatkan bimbingan dari Pembimbing dan Kaunselor Laktasi yang bertauliah bagi mengenalpasti isu bagi masalah anda jika mempunyai isu dalam penyusuan serta saranan yang lebih bersesuaian.