You are currently viewing Cabaran Awal Penyusuan Sewaktu Berpantang

Cabaran Awal Penyusuan Sewaktu Berpantang

Pengalaman saya, cabaran awal penyusuan selain Khadijah kuat mengempeng ialah menghadapi persepsi orang tua yang percaya susu badan tidak cukup pada awal kelahiran.

Syukurlah saya ada sedikit knowledge dan perkongsian dari pengalaman kawan-kawan yang pernah give up bila menghadapi situasi yang sama.

“Baby tak dapat susu ni”, “Susu belum ada”, ayat yang biasa saya dengar pada minggu pertama kelahiran Nur Khadijah. Namun saya tetap yakin, kolostrum sudah pun terhasil dan mencukupi untuk perut Khadijah yang masih kecil. Saya cuba fokus kepada posisi penyusuan yang betul. Itu pun pada hari ke-6 barulah saya dapat ‘pick-up’ posisi yang betul untuk latching selepas puas melecet puting. Teori dan realiti memang perlu selari agar penyusuan susu ibu dapat dipraktiskan dengan betul.

Saat menghadapi kata-kata seperti ini, kekuatan mental dan keyakinan mestilah kuat. Nasihat saya, dengar dengan hormat dan jangan sekali-kali cuba melawan atau menyakiti hati mereka. Mereka tetap orang tua yang lebih berpengalaman dan telah banyak makan garam berbanding kita. Jangan sampai ‘ketulah’ bila kita cuba menidakkan pendapat mereka.

Selalunya saya akan senyum dan angguk kepala sahaja. Dalam hati selalu berdoa agar Allah tunjukkan kelebihan susu ibu kepada mereka ini. Suami pula selalu kenyit mata beri signal yang bermaksud “abaikan je” bila saya terpaksa berhadapan dengan kata-kata sebegitu.

Sewaktu Khadijah kena jaundice, alhamdulillah tiada seorang pun yang mencadangkan selain susu ibu kepada Khadijah. Ibu mertua saya jumpa seorang makcik di hospital. Makcik tu sungguh-sungguh cadangkan supaya minum susu ibu sahaja. Sama juga dengan nurse di hospital. Terus ibu mertua saya yakin supaya Khadijah hanya diberikan susu ibu sahaja.

Selepas 18 bulan, ibu mertua saya lebih yakin dengan kelebihan susu ibu. Bukan sehari dua untuk saya yakinkan mereka terutama ibu mertua saya. Banyak kelebihan yang Allah tunjukkan dengan hikmah kepada mereka.

Bila saya terlibat dengan bidang penyusuan ni, ibu mertua saya antara orang yang paling kuat memberi sokongan. Kata-katanya yang menjadi pembakar semangat saya selalu ialah, “Mesti selalu tolong orang. Jangan gelap mata dengan duit”.

Kuncinya di sini, kena bersabar, yakin dan banyakkan berdoa. Jangan biarkan minda kita dikawal oleh kata-kata manusia. Percaya dengan kuat yang kita akan berjaya lakukannya.

Semoga perkongsian ini bermakna untuk semua ibu yang membaca.
Salam penyusuan susu ibu dari saya,

Kak Nad (Admin Feed by Ummi Najla)