You are currently viewing “Kisah seringgit dari arwah abah”

“Kisah seringgit dari arwah abah”

Post ini dikarang dengan air mata. Betapa abah telah banyak mengajar saya tentang nilai kasih sayang yang tidak dapat dibeli dengan duit.

Didikan abah kepada saya masih dirasakan sehingga kini. 

Walaupun abah telah tiada, abah ‘masih mendidik’ kami dengan nilai kasih sayang yang ditinggalkan.

Dulu abah seorang guru agama. Selepas abah bersara, abah mula berniaga kecil. Dalam masa yang sama, abah bertugas juga sebagai seorang imam di Masjid Kulai.

Saya nampak abah seperti orang tua yang lain. Rambutnya sudah penuh uban, janggutnya yang nipis sudah mula putih seluruhnya, kulit abah juga berkedut sama dengan usianya yang semakin lanjut. 

Pada pandangan mata saya, dalam usia abah itu abah hanya meneruskan kehidupan selepas bersara tanpa mahu susahkan anak-anak dan menghabiskan masa dengan mendekatkan diri kepada Allah sebaiknya.

Teguran abah juga selalu berhikmah. Pernah sekali saya ikut abah ke sebuah kampung dan tiba masa untuk solat asar. Malangnya di surau tersebut tiada satu telekung pun dan masa tu saya pakai baju lengan tiga suku.

Saya tanya abah macam mana nak solat?

Sambil abah beri kain pelikatnya yang dibawa kepada saya untuk tutup aurat, abah pesan dengan nada lembut, “baju ni dah cantik dah. Tapi kalau lengannya dilabuhkan sikit, dah boleh bawa solat…”

Sebaik-baik pakaian kata abah, bukan dari segi materialnya. Tapi sebaik-baik pakaian adalah pakaian yang terus boleh dibawa solat.

Abah juga ada sebuah kedai runcit di Pasar Besar Kulai. Orang tahu kedai abah ada jual kelengkapan ORANG MATI juga iaitu kain kapan. 

Abah selalu bagi kami anak-anak & cucu-cucunya minum air kotak yang dijual secara percuma.

Abah juga selalu memberi diskaun yang banyak kepada orang yang membeli mengikut taraf hidup orang itu.

Pernah seorang kawan saya kata begini, “kalau macam ni cara bapa ko berniaga, macam mana nak maju? Tengok macam orang cina, kalau anak nak ambil air kotak pun kena bayar tau…”

Saya mula rasa serba salah pada abah. Patutlah dah beberapa tahun abah buka kedai, kedai abah masih biasa-biasa je. 

Paling banyak orang membeli di kedai abah pun bila ada KEMATIAN sebab di Kulai sangat susah nak beli kelengkapan kain kapan. 

Abah tak ambil keuntungan sangat dari jualan kain kapan itu. Abah cuma nak mudahkan urusan si mati sahaja.

Jiwa seorang budak agaknya, tersentap juga dengan kata-kata kawan saya. Jadi selepas tu bila saya nak ambil air kotak, saya bayar duit pada abah. 

Abah terkejut. Yelah, duit yang saya beri tu duit dari belanja sekolah RM3 yang abah beri juga. Abah tanya kenapa dan saya bagitahu kenapa.

“Tak apalah.. kalau kita fikir dunia, memanglah tak kaya. Tapi kalau fikir akhirat….”, dan ayat abah habis tergantung begitu sahaja. Suruh saya yang masih budak fikir jawapannya.

Ramai orang kenal arwah abah. Orang cina, melayu, india, bangla, pakistan, pemandu teksi, polis, doktor dan ramai lagi. Mungkin sebab abah bekas guru agama dan berkhidmat pula sebagai imam, tentulah ramai orang kenal.

Kalau saya pergi ke mana-mana & orang melihat nama hujung saya berbintikan siapa, mesti mereka terus cakap, “Anak Haji Masrom ya.. Saya kenal bapa awak..”

Sewaktu abah hidup, begitulah ayat yang saya selalu dengar bila ada yang tahu saya anak abah.

Kemudian kami kehilangan abah pada tahun 2004. Sebelum abah pergi meninggalkan kami, abah sempat menulis wasiat dengan bersaksikam dua orang iaitu sahabat abah & kakak saya.

Saya ingat lagi hari tu ialah hari Jumaat. Saya masih ingat setiap kenangan terakhir dengan arwah abah.

Selalunya abah akan mengimamkan solat Jumaat dan membaca khutbah di masjid. Tapi hari itu, abah hanya solat zuhur sahaja di kerusi hospital.

Saya masih ingat abah berjalan sambil memapah katil-katil hospital sehingga ke bilik air. Abah masih nak ambil wudhuk sendiri. 

Kemudian abah solat zuhur. Selepas memberi salam, abah minta disuapkan makanan. 

Sewaktu menjamah bubur yang disuapkan, abah cakap dekat saya, “abah nak jumpa mak. Sebab abah dah tak lama. Deria rasa abah dah ditarik. Abah dah tak rasa apa-apa…”

Saya peluk abah. Saya cium pipi abah. Saya cakap, “Abah…..”. Pengalaman abah menguruskan orang mati saban tahu pasti memberi kelebihan kepada abah mengetahui saat-saat akhir hayatnya hampir tiba.

Sejak dari pagi adik-beradik kami memang dah mula berkumpul. Cuma kami tak bagitahu keadaan sebenar abah pada mak sebab kebetulan mak tengah hypoglycemia. 

Doktor memang suruh mak berehat. Mak sangka abah cuma semput biasa bila dimasukkan ke hospital.

Jadi saya kuatkan diri untuk telefon mak lepas dengar permintaan abah. Saya masukkan duit syiling ke dalam mesin telefon dan hubungi telefon rumah. Mujur mak angkat. Suara mak agak lemah…

“Mak, abah teringin nak makan bubur mak. Mak datang ya,” bagi tahu saya sambil menahan esakan suara. 

Dada saya macam nak pecah masa tu. Tapi saya tak nak mak fikir yang bukan-bukan kalau dengar saya menangis. 

“Hah yelah nanti mak masak. Masa melawat nanti mak datang…”

Abah sempat solat asar. Lepas asar mak tiba dengan bawa bubur abah. Kemudian abah mula nazak. Mak terkejut dan terduduk.

Saya dan adik-beradik peluk abah. Kami mengucapkan kalimah syahadah di telinga abah.

Abah membuat isyarat tangan ingin bertemu seseorang. Orang itu ialah sahabat imam abah juga.

Tak lama dari itu, sahabat-sahabat abah tiba. Mereka berdiri di sisi abah sambil membacakan yassin tanpa melihat naskhah yassin pun.

Dalam masa yang sama, doktor dan nurse berusaha memberikan rawatan kecemasan terakhir pada abah.

Bacaan yassin terus berkumandang sehinggalah akhirnya suara abah melafazkan kuat, “ALLAH………!!!” dan abah terkujur kaku. 

Doktor mengesahkan abah telah tiada. Kami menangisi kerana terlalu sedih. Kami adik-beradik berpelukan kerana seperti tidak percaya abah telah tinggalkan kami. Mak apatah lagi, terduduk lama bila pasangan hidupnya telah pergi selamanya.

Abah dibawa pulang malam itu juga. Dan urusan pengkebumian dilakukan pada keesokan paginya. 

Sejak malam jenazah abah tiba, rumah kami dipenuhi pengunjung tak henti-henti.

Esok paginya, abah dimandikan oleh semua anak-anak lelaki. Dan satu perkara yang saya tak boleh lupa, rumah dan jalan raya sangat sesak kerana ratusan manusia datang menziarah.

Saya sendiri hanya dapat cium kali terakhir wajah abah beberapa saat. Saya sendiri terpaksa ‘berebut’ dengan lautan manusia yang saya tak kenal.

Mereka juga ingin menatap wajah abah buat kali terakhir. Mungkin mereka kenalan abah, bekas murid abah, pelanggan abah, atau mungkin jemaah masjid.

Bila abah nak dikebumikan, saya berdiri jauh dari kubur abah. Saya tak dapat tengok abah dimasukkan ke dalam liang lahad. Sebab ratusan manusia memenuhi kawasan perkuburan. Terlalu ramai !

Cuma satu perkara yang saya ingat sewaktu menunggu abah dimasukkan ke liang lahad, ada seorang kanak-kanak dalam lingkungan usia 7 tahun berdiri di sisi kakaknya yang hanya memakai selendang dan menampakkan sebahagian rambutnya. 

Kanak-kanak tersebut bertanya, “Kakak, ini ke pakcik yang bagi adik duit tu? Yang duit dia bau wangi tu?”. Kemudian kakak dia cuma menjawab “YA”. Saya pandang mereka dan saya langsung tak kenal mereka. 

Tapi yang saya nampak, wanita itu juga turut mengalirkan air mata.

Itulah setiap satu kenangan bersama abah yang saya ingat. Segala kos kematian abah waktu itu semua ditanggung oleh orang lain yang kami tidak kenal; kos van jenazah, kos liang lahad dan kos lain-lain. 

Bila abah dah tiada, sehingga sekarang kalau saya berjumpa dengan seseorang yang mengenali arwah abah, mereka pasti akan melayani saya dengan baik dan ada juga yang menangis.

Saya tak pasti apa yang abah buat sehingga orang masih ingat padanya.

Pernah sekali saya berjumpa dengan seseorang yang berjawatan di JPNJ, bila dia tahu saya anak abah, dia sebak dan beritahu saya, “setiap tahun kalau ada qurban di tempat kami, kami akan masukkan nama ayah awak juga dalam senarai…”.

Saya tak pasti siapa ‘kami’ atau ‘tempat kami’ yang dimaksudkan. Saya cuma diam sahaja sambil berfikir, apa jasa abah kepada mereka…

Abah tak kaya. Abah tak ada duit yang banyak. Abah cuma ada beberapa harta yang diwariskan kepada anak-anak. 

Tapi dari kata-kata orang lain tentang abah, abah banyak bantu mereka untuk teruskan kehidupan, abah ajar mereka mengenal Allah, dan abah ajar tentang nilai kasih sayang.

Itulah ‘harta’ paling MAHAL yang abah tinggalkan sebenarnya.

Kebaikan abah dikenang. Dan orang lain pula berbuat baik kepada anak-anak abah.

Duit seringgit ini abah tinggalkan dalam beg bimbit abah. Kakak saya jumpa pada tahun 2004 dan simpan sehingga sekarang.

Betapa duit itu tidak boleh dibawa mati…..



P/s: Saya menjadi yatim piatu pada tahun yang sama kerana mak pula meninggal dunia selepas 49 hari abah meninggalkan kami. Dan kubur mereka bersebelahan. 

Al-fatihah untuk arwah abah dan mak

Haji Masrom bin Haji Sardi
Hajah Rukimah binti Haji Yusof