You are currently viewing PENYUSUAN SUSU IBU DAN BAYI PRAMATANG.

PENYUSUAN SUSU IBU DAN BAYI PRAMATANG.

Melahirkan bayi pramatang pastinya sesuatu yang sangat mencabar apabila semuanya berlaku secara tiba-tiba dan ibu belum membuat apa-apa persediaan lagi.Tarikh jangkaan melahirkan yang mungkin dijangka berminggu-minggu atau berbulan-bulan lagi,namun semuanya berlaku secara tiba-tiba apabila ibu sudah atau terpaksa melahirkan sebelum sampai waktunya.

APA ITU BAYI PRAMATANG?

Bayi pramatang ialah bayi yang dilahirkan sebelum kandungan kehamilan berusia 37 minggu.Dianggarkan 8% dari kelahiran di Malaysia adalah bayi pramatang.Antara penyebab kelahiran bayi pramatang ialah sejarah kelahiran pramatang pada kandungan yang lalu,kandungan kembar dengan 2 bayi atau lebih,kedudukan uri di bawah(placenta previa),kelahiran bersalin tidak cukup bulan,pengambilan alkohol semasa hamil dan lain-lain lagi.Lebih awal bayi dilahirkan dari waktu sepatutnya,lebih tinggi risiko komplikasi kesihatan buat bayi.

SUSU IBU UNTUK BAYI PRAMATANG.

Selain cara penjagan bayi pramatang,bagaimana untuk memulakan penyusuan susu ibu juga pasti termasuk dalam kotak teka-teki anda,bukan?

Tahukah anda bayi pramatang sangat memerlukan susu dari ibunya sendiri?

  • Ibu yang melahirkan bayi pramatang akan menghasilkan susu yang berlainan kandungan nutrisinya berbanding ibu yang melahirkan bayi matang atau cukup bulan.Ini kerana keperluan bayi pramatang yang berbeza,terutamanya bayi yang dilahirkan pada trimester kedua kehamilan,bayi belum mendapat nutrien seperti Kalsium,Zat Besi dan Immunoglobulin-yang membantu melindungi bayi dari jangkitan.Biasanya kandungan nutrient ini dipindahkan dari ibu ke bayi semasa trimester ketiga kehamilan.
  • Kandungan Kolostrum bagi bayi pramatang mengandungi lebih banyak Protein,yang membantu untuk pertumbuhannya.Selain mengandungi lebih banyak kandungan Enzim Lisozim yang akan menyerang dan membantu melindungi bayi anda dari jangkitan tertentu.
  • Susu ibu bayi pramatang juga mengandungi lebih banyak Lemak dan kurang Laktosa,kerana Laktosa sukar untuk dihadam oleh bayi pramatang.Sekaligus ia membantu memudahkan penghadaman dan tidak membebankan usus bayi yang tidak cukup bulan.
  • Pemberian susu ibu pada bayi pramatang juga merendahkan risiko bayi untuk mendapat Necrotizing Enterocolitis(NEC) iaitu jangkitan pada usus bayi yang membuatkan usus bayi menjadi mati.Kajian menunjukkan bayi yang diberi minum susu rumusan 6-10 kali lebih kerap untuk mendapat NEC berbanding dengan bayi yang diberikan susu ibu.

CABARAN MENYUSUKAN BAYI PRAMATANG.

Bayi pramatang biasanya dilahirkan dengan saiz yang lebih kecil,keadaan badan bayi yang kurang lemak serta mempunyai tangisan yang halus dan mengalami kesukaran bernafas adakalanya menimbulkan rasa kekok dan panik dikalangan ibu bapa baru untuk mendakapnya sekaligus menjadikan penyusuan di awal kelahiran sangat mencabar.Tidak kurang juga jika bayi perlu diberikan rawatan khusus dan perlu diletakkan dalam inkubator serta keadaan tiub dan wayar yang berselirat pastinya membataskan ibu untuk menyusukan bayinya secara terus pada payudara.

Walaupun anda tidak boleh bersama dan menyusukan bayi secara terus kerana keadaan bayi yang perlu ditahan di wad,itu bukan penghalang untuk anda memberikan susu ibu pada bayi.

  • Anda boleh memerah susu setiap 2-3jam sejurus melahirkan bayi serta membekalkan susu perahan pada pihak hospital.Sentiasa berbincang dengan Doktor dan Jururawat yang merawat dan menjaga bayi anda berapa amaun yang bayi anda perlukan setiap kali bayi minum susu.Isikan susu perahan dalam bekas yang bersesuaian dan bekalkan pada pihak hospital.Dengan cara ini ia bagaikan satu terapi buat anda danmembantu meningkatkan keyakinan serta penglibatan anda dalam penjagaan bayi walaupun perlu berjauhan dari bayi.
  • Jika keadaan bayi sudah semakin stabil dan membolehkan anda untuk mendukungnya,ambil peluang ini untuk melakukan Kangaroo Care.Sentuhan kulit ke kulit semasa Kangaroo Care dijalankan mempunyai banyak manfaat baik buat bayi,ibu mahupun bapa dari segi emosi dan kesihatan juga.
  • Memerah susu dengan konsisten walaupun belum dapat bersama bayi bukan saja membolehkan anda untuk membekalkan susu pada bayi,malahan ia membantu untuk tubuh anda mengekalkan penghasilan susu ibu.
  • Dapatkan sokongan serta bimbingan dari Kaunselor Laktasi apabila bayi sudah boleh disusukan secara terus kelak.Posisi yang bersesuaian serta beberapa teknik dan tips pasti amat membantu untuk menyusukan bayi pramatang anda.

Keajaiban melahirkan bayi pramatang sentiasa dikaburi oleh pelbagai faktor dan masalah kesihatan bayi.Namun dengan sokongan yang tepat pastinya membantu untuk anda menghadapi cabaran dan ujian ini.Semoga perkongsian ini memberi semangat untuk anda terus membekalkan atau menyusukan bayi anda dengan titisan penuh berharga iaitu susu ibu.