Wad Paedatrik

Dalam perjalanan pulang ke Muar, kami melalui Hospital Sultanah Aminah (HSA). Tiba-tiba tanpa sengaja, terpacul keluar dari mulut aku,

“Najla, ingat tak tempat ni? Tempat terakhir kita bersama. Ibu sayang Najla sangat-sangat. Ibu takkan lupakan Najla.”

Lepas tu segala kenangan di wad paedatrik datang bertalu-talu. Bukan setakat kenangan Najla, tapi aku dan Edy tak boleh nak lupakan beberapa kenangan dengan babies yang ada kat situ. Ada beberapa bayi yang aku tak bole nak lupakan cerita mereka.

Tempoh 22 hari di HSA memberikan aku pengalaman berharga. Pengalaman yang perlu aku tulis, perlu aku cerita, supaya setiap ibu atau bakal ibu yang membaca akan lebih menghargai kelahiran anak mereka. Oleh kerana setiap bayi ini hanya ditag dengan nama ibu mereka di baby cot masing-masing, jadi keupayan aku untuk mengingat nama-nama itu adalah zero. So, aku terpaksa menggunakan nama gantian di sini.

1. Bayi A

Ini bayi pertama yang aku kenal di wad paedatrik A3. Aku dah berkenalan pun dengan ibu dia. Tapi sekadar perkenalan tanpa nama. Sewaktu Najla dalam incubator, setiap kali aku melawat Najla, mesti aku akan terpandang bayi ini kerana kedudukan baby cot dia yang sebaris dengan Najla. Apa yang membuat pandangan mata kami bertumpu pada bayi A berbanding bayi lain adalah disebabkan bayi A bernafas menggunakan tong oksigen yang besar dan diletak dalam sebuah bilik khas.

Daripada pengamatan aku, bayi ini bernafas menggunakan bantuan oksigen tersebut sepenuhnya. Menurut perbualan kami dengan ibu bapa bayi tersebut, lebih kurang seminggu selepas bayi A dilahirkan, tiba-tiba bayi A kejang, membiru, dan tidak boleh bernafas. Menurut doktor, bayi A tiada keupayaan lagi untuk bernafas tanpa bantuan oksigen. Dan untuk menampung hidup bayi A, bantuan oksigen diperlukan sepanjang hayatnya!

Setiap hari, ibu bapa bayi A akan bergilir menjaganya sepanjang hari. Ibu bayi A tidur di wad ibu dan anak di wad A2. Manakala bapa bayi A tidur di surau HSA. Kedua mereka adalah Kelantanese. Keluarga yang jauh juga sanggup hadir untuk melihat keadaan cucu tersayang. Datuk bayi A, berkopiah putih, berjanggut ala Nik Aziz, dan neneknya yang bertudung labuh, meruntun hati aku bila melihat mereka begitu tabah dalam menghadapi keadaan cucu sulung mereka sebegitu rupa. Kesedihan yang jelas terpancar di muka cuba disembunyikan sedalam-dalamnya. Hanya sokongan yang tidak berbelah bahagi dapat diberi untuk anak dan menantu agar terus tabah, tanpa keluh kesah menjaga bayi A dengan sepenuh kasih sayang.

Minggu kedua, waktu aku dan Najla tinggal bersama di wad A2, aku dapat mengenali ibu bayi A dengan lebih dekat. Nyata dia seorang yang sangat ceria. Dia juga turut mencium dan membelai Najla. Dia seorang yang lucu juga. Menghiburkan kebanyakan ibu-ibu di wad A2. Aku sangat sukakan perwatakan ibu ini.

Seminggu kemudian, sewaktu Najla menghidapi pneumonia dan dimasukkan semula ke A3, dalam keadaan aku yang sedang teresak-esak menangis itu, aku sempat mencari ibu bayi A. Biasanya, waktu-waktu begini, akan kelihatan ibu tersebut menyusukan bayi A. Tapi kelibat dia tak kelihatan pagi itu. Aku bertanya pada seorang kakak yang sudah sebulan tinggal di hospital dengan anaknya yang down syndrome. Menurut kakak itu, bayi A sudah pulang. Aku yang teruja memintas kata-kata yang tidak sempat dihabiskan itu dengan berkata, “Wah, dah balik? Bestnya!”. Kemudian kakak itu menyambung kata-katanya dengan tenang, “Doktor cakap dengan dia, buat apa nak siksa anak dia lama-lama lagi. Anak dia memang tak boleh hidup tanpa bantuan oksigen. Berapa lama lagi dia sanggup nak biarkan anak dia tersiksa macam tu. Jadi doktor suruh dia balik. Doktor kata, lepaskanlah je dia pergi..” . Aku gumam. Lepaskan dia pergi? Ibu mana yang sanggup lihat anak dia mati hidup-hidup depan mata kepala sendiri? Ibu mana yang sanggup?! 

Aku tak boleh terima. Aku terus sambung bertanya, “Habis tu kak?”. Kemudian, kakak itu menyambung, “Dia tak balik lagi. Dia rasa doktor macam kejam bila cakap macam tu. Dia tunggu lagi 2-3 hari. Bila doktor tanya, kenapa awak tak balik lagi? Dia nangis teresak-esak. Kemudian bulatkan hati bawa anak dia pulang dan nantikan masa untuk anak dia pergi”. Air mata aku meleleh. Terus aku teringat wajah bayi A, ibu dan ayahnya, datuk dan neneknya. Aku betul-betul sebak. Ya Allah, kuatkan hati ibu bapa bayi A.

……….

Lamunan aku terhenti dengan kata-kata Edy, “Allah dah tulis takdir bayi A sebegitu”. Aku tak tahu kisah selanjutnya tentang bayi A selepas dibawa pulang. Apa masih hidup lagikah bayi A? Edy menyambung, “Bayangkan, hidup bayi A sepanjang hayat dengan bantuan oksigen. Selain kos yang besar, dan ketidakmampuan untuk membeli tong gas yang mencecah puluhan ribu ringgit untuk sebuah itu, jika bayi A dibiarkan terus menerus dalam keadaan macam tu, pasti bayi A akan lebih tersiksa. Hidup dan emosinya kelak sebagai kanak-kanak, remaja, dan seorang dewasa pasti akan terjejas dalam keadaannya sebegitu rupa. Jadi, lebih baik bayi A direlakan pemergiannya. Kerana sudah tentu bayi A dalam jagaan yang baik oleh Allah SWT. Allah sudah mengira setiap pengorbanan ibu bapa bayi A sepanjang sebulan lebih mereka menjaganya. Sudah tentu ibu bapa bayi A lebih teruji dengan dugaan sebegitu rupa. Allah Maha Mengetahui”.

2. Bayi B dan bayi C

Kedua-dua bayi ini aku kenal sewaktu di wad A2. Bayi B berkepala besar, manakala bayi C rambutnya gugur setiap hari. Aku ni ada hobi tak senonoh sikit. Aku selalu curi-curi baca rekod bayi-bayi kat situ. Segala istilah perubatan yang aku tak tahu, aku cepat-cepat google guna iPhone. Aku betul-betul tak ingat penyakit kedua-dua bayi tersebut. Apa yang aku faham, kedua-duanya ada masalah dari segi otak. Kecacatan kekal. Tapi tiada masalah serius yang lain.

Kenapa aku ingin berkongsi cerita tentang bayi B dan C ni adalah kerana kedua-duanya bakal dihantar ke Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). Mereka ini anak hasil perkahwinan yang sah, tetapi ibu bapa mereka tidak boleh menerima hakikat bahawa anak mereka cacat. Selepas dikendong selama sembilan bulan, selepas melahirkan, selepas melihat keadaan bayi tersebut, terus mereka bilang pada pihak hospital, mereka tak nak anak tersebut. Yang lucunya, ibu bayi C sempat berkira-kira dalam 2-3 hari sama ada nak bawa pulang atau tidak. Hari ni call kata nak bawa balik, hari esok bilang nanti mahu difikir semula, lusa pulak kata dah confirm tak nak ambik. Apa punya mak lah!

Daripada perbualan nurse-nurse di situ, memang tak disangka ada ibu yang sekejam itu. Orang zaman sekarang, susah payah nak anak. Mak diorang pulak sedap-sedap je bundle kan anak dia kat JKM. Malu katanya kalau orang tahu. Tunggulah kat akhirat nanti. Sebab korang tak jaga amanah yang diberi! Elok-elok boleh dapat pahala free jaga anak macam tu, free-free dapat dosa sepanjang hayat. Kalau alasan kewangan, tak mampu nak biaya rawatan dan jagaan seumur hidup, aku boleh terima. Ini hanya kerana malu! Hm. Tak tahu dah ibu berhati apa mereka ni. Cuma syukurnya, mereka tak campak bayi mereka kat longkang. Mungkin sebab anak halal. Biasanya, hanya bayi luar nikah diperlaku sebegitu.

3. Bayi D

Bayi D aku kenal masa Najla kena pneumonia. Bed Najla sebelah baby cot bayi D. Bayi D dah tinggal kat wad A3 dalam sebulan lebih. Menurut ibu bayi D, bayi D tak boleh menangis, kerana bila menangis, jantung bayi D akan menjadi lemah. Bayi D ada masalah jantung. Tak sure masalah sebenarnya apa. Bernafas berbantukan oksigen tapi tak seteruk bayi A.

Aku sempat berbual dengan ibu bayi D di bilik menyusu. Menurutnya, doktor bagi tahu, bayi D berkeadaan sebegitu kerana asap rokok. Aku tanya, suami hisap rokok depan dia ke masa mengandung? Dia bilang, tidak. Tetapi, dia menjadi mangsa sebagai second hand smoker di kedai makan tempat dia bekerja.

Kedai-kedai makan yang tidak ditulis ‘Dilarang Merokok’, kita boleh lihat, tanpa segan silu, kebanyakan perokok menutup sajian mereka dengan ‘pemanis mulut’ kegemaran mereka itu. Itulah yang berlaku juga di kedai makan tempat ibu bayi D bekerja sebagai pembantu. Ibu bayi D terpaksa berhadapan situasi itu selama 9 bulan! Tidak dikira tempoh sebelum dia mengandung. Bukan seorang perokok, tetapi berpuluh-puluh perokok. Kesudahannya, bayi D terpaksa menanggung akibatnya. Kasihan sungguh bila melihat seorang bayi yang sempurna sifatnya, cukup beratnya, tetapi jantungnya tidak sempurna kerana dosa yang dia tidak pernah lakukan tetapi sedari melihat dunia, bayi D mengalami rasa sakit yang tidak terperi hanya kerana menanggung akibat daripada perokok.

Bayi D dijangka akan menjalani pembedahan jantung di IJN bila bayi D telah mencapai berat 4 kg. Kos pembedahan mencecah 40k. Tapi umum maklum, separuh daripada pembiayaaakan pembedahan akan dibiayai kerajaan. Jadi ibu bapa bayi D akan berikhtiar mencari baki 20k untuk bayi yang amat dicintai. Sudahlah mereka bukan orang senang. Nak beli rokok sekotak pun tak mampu. Inikan pula perlu mencari 20k dalam masa singkat. Sudah sebulan, berat bayi D bukan makin bertambah, malah semakin susut pula hingga 2 kg dari 3 kg. Pesanan doktor, “Berdoalah semoga anak awak sempat jalani pembedahan itu.”

Ibu mana yang tidak menangis mendengar pesanan keramat seperti itu. Siang malam tanpa mengenal penat, ibu bayi D akan menyusukan bayi D agar berat bertambah. Manakala bapa bayi D bekerja siang malam, pagi petang, mencari duit tambahan, untuk kos pembiayaan jantung bayi sulung mereka. Ya Allah, semoga jalan untuk mereka dipermudahkan jika itu yang terbaik dari-Mu.

……….

Wad terakhir aku bersama Najla di HSA ialah NICU A4. Bayi-bayi di sini jumlahnya lebih kurang 20 orang, termasuk Najla ketika itu. Kerana ini wad kritikal, jumlah bayi-bayi di sini memang jauh lebih sedikit berbanding wad A3 di mana jumlah bayi di sana mencecah ratusan hingga terpaksa dikawal ketat keluar masuk ibu bapa di A3.

Wad ini juga merupakan tempat terakhir aku bersama Najla. Subhanallah. Tak dapat nak digambarkan perasaan itu. 6 hari di A4 membuatkan aku begitu trauma sehingga sekarang. Di situ, tiada langsung kedengaran suara bayi menangis. Wad itu sepi. Tanpa suara. Kerana bayi-bayi di situ hampir kesemuanya menggunakan ventilator. Ventilator ini menutup peti suara. Kita boleh lihat riak wajah bayi itu sedang menangis. Tanpa ventilator, pasti kuat sekali tangisan itu akan kedengaran.

Nurse-nurse dan doktor-doktor di situ pun sungguh luar biasa kebaikan mereka. Mungkin kerana chances setiap bayi di situ untuk hidup hanyalah 50-50, dan boleh dikatakan setiap hari, aku dapat melihat jenazah bayi diusung keluar dari A4, jadi mereka sangat mengutamakan perasaan ibu bapa bayi-bayi di sini. Apa sahaja pertanyaan ibu bapa akan dijawab sedetail yang boleh. Semangat dari mereka tak pernah putus untuk ibu bapa di situ. Kerana mereka percaya, jika ibu bapa yang hadir gembira, anak mereka juga akan turut gembira malah bertambah baik lagi keadaannya.

Aku tak tahu nak cerita apa tentang bayi-bayi di sini. Sebab aku masih tak boleh nak lupakan bunyi mesin yang bertalu-talu dan wayar-wayar yang berselirat di setiap tubuh kecil di situ. Kondisi bayi-bayi di sini kebanyakannya sangat kritikal. Ada yang pulih dan diturunkan semula ke wad A3. Ada yang terpaksa tinggal di situ berbulan-bulan lamanya. Ada yang berakhir dengan kematian. Seperti Najla.

Semoga bayi-bayi lain yang masih lagi berada di wad A4 akan lekas sembuh dan dapat menjadi penyejuk mata untuk ibu bapa mereka nanti. Semoga kelak mereka dapat hidup bersama dan menjadi anak yang soleh dan solehah untuk ibu bapa mereka. Amin.

This Post Has 27 Comments

  1. Anugerah

    Salam…mohon nak share pengalaman ummi najla kat fb min blh tak? Terutamanya bab cerita bayi D tu..sebab min geram betul bila tgk orang merokok di tempat terbuka tanpa mempedulikan orang lain, tmbhan pula tempat awam, tempat makan dan ada kanak2, bayi dan perempuan mengandung…

  2. Feed by Ummi Najla

    Boleh tak ada masalah. Diizinkan untuk kebaikan semua 🙂

  3. Anugerah

    TQ ummi najla… 🙂

  4. Violet

    AsSalam.saya juga baru kehilangan buah hati pertama pada 16 Mei 2012 yang lepas.tempat terakhir bersama puteri sulung juga di wad A4-NICU.ALLAH SWT beri kesempatan bersama satu hari sahaja bersama anak saya.hanya yang mengalami saja tahu bagaimana rasanya bila melalui tempat2 yang menjadi kenangan.sabar itu sungguh berat tapi saya dan suami tabahkan hati dalam mencari keredhaan Ilahi.

  5. Feed by Ummi Najla

    Waalaikumussalam. Allah, tak sampai sebulan lagi arwah tinggalkan violet. Saya yakin violet masih berpantang lagi. Takziah atas pemergian bayi tercinta violet. Kalau violet tak keberatan, boleh saya tahu anak violet sakit apa?

  6. Violet

    saya baca kisah ummi di ratuhati.com under thread Kelab Ibu IUD.saya ade post kisah saya di sana under niesa_chomel.anak saya disahkan menghidap Congenital Diaphragmatic Hernia semasa dalam kandungan minggu ke-23.doktor ada bagi cadangan untuk terminate pregnancy tapi saya buat keputusan untuk menyimpan kandungan hingga sampai minggu ke-36 saya melahirkan arwah Khaleedah.Kisah ummi dan rakan2 lain jadi perangsang untuk saya dan suami mengharungi ujian ALLAH SWT.

  7. Feed by Ummi Najla

    Niesa. So sorry. Saya baru lepas refer balik forum ratu hati and baca cerita niesa. Honestly, saya dapat bayangkan setiap cerita niesa. Saya sebak sangat. Masa niesa post cerita tu, saya sudah di Madinah. Saya betul2 tak tahu cerita niesa. Saya minta maaf. Takziah niesa. Sebak sangat. Saya tak tahu nak cakap apa. Saya sedar dugaan niesa lebih hebat dari saya. Saya wordless. Saya tahu niesa orang yang sangat kuat dan tabah. Niesa, satu sahaja kata-kata yang mampu saya beri, Allah telah memilih niesa dari beribu ibu di dunia. Ganjaran pahala untuk niesa memang tak terhitung dengan apa sahaja di dunia. InsyaAllah, arwah Khaleedah akan menanti di pintu syurga memimpin tangan ibu dan ayahnya masuk bersama.

    Niesa, kalau tak keberatan, boleh tak saya nak share cerita niesa dalamblog saya?

  8. Violet

    ummi,x perlu minta maaf.ummi xde buat kesalahan pun dgn saya.saya patut berterima kasih pd ummi krn semangat dan kesabaran ummi jd pendorong pd saya n suami utk mnjadi lebih cekal dan tabah.saya percaya ummi,ALLAH Maha Kuasa dan DIA sebaik-baik perancang.ade nikmat lain untuk saya dan suami.saya percaya dan yakin dengan janji ALLAH SWT.terima kasih ummi atas kata2 dorongan.1st few days arwah pergi meninggalkan kami,ayat yg saya tak boleh terima dan dgr dari kebanyakan family members dan kawan2 adalah,jangan menangis.you were not in my shoes.u people wouldn't understand the pain I'm going thru.mereka silap.dengan menangislah saya rasa lebih lega ummi.sampai skrg pun saya masih menangis dan bersedih tapi saya tetap redha dgn ape yg terjadi.

    ummi share lah kisah saya.moga kisah2 ibu yang kematian anak ni jd pengubat duka bagi yang senasib dgn kita.terima kasih ummi kerana sudi berkongsi kesedihan walaupun saya baru kenal ummi.

  9. Feed by Ummi Najla

    Ye niesa. Hanya ibu-ibu yang pernah kehilangan anak akan faham apa yang kita rasa. Bukan mudah untuk buat orang faham kesedihan kita.

    Sejujurnya niesa, saya akui saya tak sekuat niesa. Dugaan yang niesa hadapi sangat-sangat hebat. Saya kagum dengan kekuatan niesa dan suami niesa. Pasti Allah SWT akan memberi rezeki yang lebih baik atas kesabaran dan pengorbanan niesa. InsyaAllah.

    Niesa, andai niesa rasa kerinduan pada arwah anak, kami ada di sisi niesa untuk sama-sama bagi sokongan. Allah sebaik-baik tempat mengadu dan kami insyaAllah akan jadi sahabat maya yang setia untuk sentiasa menyokong niesa dan suami :).

    Bertabah ye niesa :")

  10. Faa Falina

    as-salam ummi najla.

    terus terang saya katakan saya sangat menyukai cara ummi menulis. mungkin terdapat pelbagai kisah bayi pramatang dipaparkan dalam blog-blog ibu yang lain, tapi blog ummi meruntun jiwa saya kerana ummi menulis dengan hati, setiap bait kata hati ummi dilangsungkan dalam penulisan yg cukup sempurna.

    saya juga mempunyai baby pramatang. dan situasi saya tidak jauh beza dengan pengalaman ummi semasa bersama arwah. saya cukup faham dengan perasaan ummi, sakitnya menjadi seorang ibu yang kehilangan, saya cukup faham semua itu. tidak perlu saya ungkapkan dengan kata-kata, saya akui perasaan itu sukar untuk dirungkaikan kepada umum. hanya kita yang mengerti.

    teruskan menulis, dan kuatkan semangat anda.

  11. Feed by Ummi Najla

    Waalaikumussalam falina. Terima kasih atas kesudian falina membaca blog saya yang tidak seberapa ini. Penulisan falina yang ringkas di comment ini juga buat saya rasa tertarik. Penulisan saya biasa je falina. Mungkin adakalanya terlebih dramatik sikit sebab saya teremosi :).

    Falina, maaf bertanya. Maksud falina tentang bayi pramatang falina tu, adakah dia masih ada lagi? Maaf sekali lagi jika saya tersalah tanya.

  12. Faa Falina

    oh, takpe..baby saya, alhamdulillah setakat ini masih diberikan Allah kesempatan untuk bersama saya. Baby saya lahir 32 minggu, 1.42kg. Komplikasi PPROM sama seperti apa yang ummi alami. Bahkan saya lebih diuji. PPROM sejak kandungan 16 minggu. Bayangkan bagaimana setiap hari amniotic fluid keluar sedikit demi sedikit. Melemahkan semangat saya untu meneruskan kandungan. Selama itu juga saya seperti mayat bernyawa. Langsung tak dapat bergerak kerana takut pergerakan tersebut menyebabkan amniotic fluid saya semakin kurang. Sampaikan buang air pun perlu menggunakan beg pan. Bayangkan. Setiap hari. Doc juga tidak mempunyai keyakinan terhadap kandungan ini. Tetapi kuasa Allah, kita tak tau perancanganNya.
    Saya melahirkan melalui cara pembedahan. Saya langsung tidak dapat melihat, memegang anak saya. Tangisan bayi yang hanya saya dengar di sebalik tirai kain begitu lemah dan semacam tersedak-sedak untuk bernafas.Walaupun menerima suntikan Dexa (matangkan paru-paru) sebanyak 12 kali (3 courses), tak cukup untuk memamtangkan paru-paru anak saya. Anak saya diserang pneumonia dan seperti yang kita ketahui, kewujudan pneumonia dalam kalangan bayi pramatang memang sangat ditakuti. Begitu juga anak saya. Bergantung sepenuhnya dengan mesin ventilator yang diubah ke volume maksimum. Anak saya tak dapat bernafas sendiri di samping mempunyai pendarahan dalam otak dan anemia. Bayangkan perasaan saya sewaktu doktor mengulas kondisi anak saya. Saya seperti ummi, bukan senang untuk memperoleh seorang anak. Banyak juga cara yang saya praktikkan, dan apabila saya diberikan kesempatan untuk mengandung, inilah ujian yang saya harus tempuh. Dari saat mengandung, sehingga ke saat melahirkan, dan ke saat melihat si anak bertarung nyawa untuk terus hidup. saya cukup faham dengan apa yang ummi lalui.
    Kini anak saya berada dalam jagaan saya, saya juga guru seperti anda. Saya terpaksa mengambil cuti tanpa gaji semata-mata untuk memastikan anak saya berada dalam keadaan yang baik. Anak saya perlu menghadiri satu siri appointment dengan doktor untuk melihat perkembangannya, susulan dari pendarahan otak yang pernah dialami olehnya. Alhamdulillah, pendarahan itu telah tiada, tapi meninggalkan kesan cyst dalam otak anak saya. Periventricular cyst. Sehingga kini saya sangat takut dengan pelbagai kemungkinan yang boleh terjadi. Saya jadi seorang yang paranoid pada semua perkara yang berlaku pada anak saya. Pasti ada fikiran negatif yang singgah dalam minda saya. Saya rasa ummi faham apa yang saya rasa.
    Orang sekeliling mengatakan saya kuat dan tabah, tapi hanya Allah yang tahu betapa lemahnya saya ketika itu dan sehingga kini saya masih lagi trauma. Trauma segala-galanya berkaitan dengan anak. Trauma mendengar bunyi ventilator, mesin CPAP, bunyi mesin pengesan oksigen spO2, trauma melihat inkubator, trauma melihat bayi pramatang dan bayi-bayi yang mempunyai masalah kesihatan yang lain.
    Anyway, saya doakan ummi terus kuat dalam melayari hari-hari mendatang. Salam perkenalan dari saya 🙂

  13. Feed by Ummi Najla

    Ya Allah, tergamam saya baca reply falina. Ye betul, falina memang kuat dan tabah. Dari ayat pertama hingga ayat terakhir, hati saya asyik berkata kuatnya falina. Sampaikan bila saya cerita pada suami, dia juga bilang falina sangat kuat. Kerana kesabaran dan pengorbanan falina, bayi falina semakin pulih. Syukur alhamdulillah bayi falina sihat membesar. InsyaAllah falina. Sentiasa berdoa untuk kesihatan dan kebaikan bayi falina. Allah SWT sudah mengira setiap pengorbanan falina. Pasti Allah akan memberi ganjaran yang terbaik untuk falina terutama dalam kesihatan bayi falina, InsyaAllah. Saya akan mendoakan kesihatan bayi falina selalu dan saya berharap falina terus kuat dan berfikiran positif kerana aura positif falina dapat dirasai bayi falina. InsyaAllah bayi falina akan kuat seperti ibunya untuk terus membesar menjadi anak yang soleh/solehah dan menjadi penyejuk mata buat falina dan suami. InsyaAllah falina 🙂

  14. Faa Falina

    InsyaAllah, terima kasih banyak umnmi. Saya juga yakin ummi pasti diberi kesempatan sekali lagi untk merasai nikmat untuk mengandung dan melahirkan. InsyaAllah, kali ini pasti rezeki milik ummi. Saya tak sekuat ummi. Saya cuba belajar untuk menerima keadaan yang telah ditentukanNya. Itu membuatkan saya terus meniti hari-hari seterusnya. 🙂 teruskan menulis.saya suka baca hasil tulisan ummi.

  15. Feed by Ummi Najla

    Amin. Terima kasih falina. Terima kasih juga sebab sudi berkongsi cerita dengan saya. InsyaAllah, kalau falina tak keberatan, saya ingin kongsikan cerita falina ini. Boleh saya tahu nama anak falina?

    InsyaAllah falina. Saya akan terus menulis untuk berkongsi rasa dengan ibu-ibu yang merasai pengalaman seserupa saya walau pengalaman kita semua mungkin berbeza-beza. Terima kasih sekali lagi falina sebab menghargai penulisan saya yang tak seberapa ini. Semoga Allah terus memakbulkan doa falina. Amin.

  16. Faa Falina

    Boleh, tak ada masalah, ummi. Saya sebenarnya nak tulis semua pengalaman saya dalam blog saya, Lollypoppy Sugarplum. Tapi saya tak memiliki kekuatan itu lagi. Menulis mengenai pengalaman meletakkan saya dalam situasi tersebut buat kali kedua. Itu sangat menyakitkan walaupun hanya dalam penulisan. InsyaAllah, selepas melihat ketabahan ummi, saya akan cuba kuatkan diri untuk menulis. InsyaAllah. Nama anak saya, Faiq Aqwa bin Faizol. Kalau ummi sudi, bolehlah berkunjung ke blog saya. Tapi dah lama tak update, entry pun tak sampai 10 lagi. Saya akan follow blog ummi ni. :)InsyaAllah.

  17. Feed by Ummi Najla

    Saya dah agak falina pasti ada blog sebab falina pandai menulis. Setiap baris ayat falina buat saya ingin baca lagi dan lagi. InsyaAllah saya akan selalu berkunjung blog falina. Selagi falina belum kuat, tak mengapa dulu untuk falina tak menulis. Apa yang penting, baby Faiq sihat selalu. InsyaAllah, baby Faiq anak yang kuat dan soleh. Bakal jadi imam yang baik nanti. Amin.

  18. Feed by Ummi Najla

    Fa, saya dah jenguk blog fa. Hebatnya penulisan fa. Fa ni cikgu BI ke? Hebat fa berbahasa inggeris. Saya memang failed la kalau part nak tulis essay ni. Anyway, saya suka baca (sambil refer kamus) blog fa. Boleh belajar juga term2 baru :).

  19. FaaFalina

    Ummi, saya bukan cikgu BI..saya cikgu Maths. Ummi mengajar subjek apa? Oh, entry tu lama juga saya ambil masa nak mengarang..saya pun tak pandai sangat berbahasa Inggeris. Saya dalam proses belajar. Saya kalau nak menulis dengan sepenuh hati kena guna BM jugak. 🙂 Ok, thanks sudi jenguk blog saya. InsyaAllah, keep in touch ya! As for Faiq, ya, kita doakan yang terbaik untuknya. Dan doa saya tetap untuk ummi agar dapat menimang seorang cahaya mata, pengubat rindu arwah Najla. InsyaAllah. Tapi saya yakin, walaupun ummi dah ada anak nanti, ummi pasti rindukan Najla, kerana dia merupakan pengalaman pertama ummi bergelar ibu.Dia juga mengubah ummi sedikit demi sedikit menjadi seorang ummi najla yang tabah kini,kerana dia juga hubungan umi dan suami semakin utuh, semua kerana Najla. Saya pasti Najla mempunyai tempat yang sangat istimewa di hati ummi. Kerana setiap cinta pertama itu sangat sukar untuk dilupakan. Seperti juga Najla, cinta hati ummi yang pertama. 🙂

  20. Feed by Ummi Najla

    Saya mengajar Science dan Chemistry Fa. Tapi BI failed la. Setakat mengajar dwibahasa bolehlah sikit-sikit. Hihi. Bolehlah saya belajar dengan Fa lepas ni :).

    Fa, thanks again untuk doa Fa buat saya. Saya sentiasa akan rindukan Najla walaupun sudah punya adik-adik dia nanti. Memang kenangan bersama Najla dan pengalaman kehilangan dia telah menjadikan diri saya sekarang diri yang baharu. Entah kenapa ye, baru semalam kita berkenalan tapi rasa macam kita dah cukup kenal. Tq ye Fa sudi baca cerita-cerita saya. Cepat betul Fa kenal saya melalui entry-entry saya yang tak seberapa ni. Hihi.

    Jangan berhenti menulis juga ye Fa. Always update perkembangan Faiq ok :). Insya-Allah, Faiq akan membesar dengan sihat. Amin.

  21. FaaFalina

    Haa..belajar BI dengan Fa alamatnya hancurla..hehe..tak pandai ummi, saya lebih selesa berbahasa Melayu je.. Anyway saya memang perlu belajar lebih mendalam untuk kuasai BI.

    Ya betul tu.. Fa pun rasa macam rapat sangat dengan ummi walaupun kita tak pernah jumpa.. Mungkin situasi keadaan kita yang hampir sama menyebabkan kita lebih memahami antara satu sama lain.

    InsyaAllah, Fa akan terus menulis. Selagi boleh. Ummi la inspirasi Fa. Hehe. InsyaAllah, Faiq pun mesti akan suka dengan Umminya yang seorang ini. InsyaAllah, Fa akan cuba besarkan Faiq dengan segala daya dan hayat yang ada. InsyaAllah. Thank ummi sebab terus beri semangat pada Fa.

    🙂

  22. Feed by Ummi Najla

    Alahai. Terharu betul baca comment Fa. Tersenyum lebar saya. Hihi. Syukur medan blog ni telah memperukhuwahkan kita. Rasa senang bila dapat bercerita dengan Fa tentang pengalaman yang hampir sama. Kita sama-sama memberi inspirasi tanpa disedari, kot? Hihi. Fa mesti sentiasa bersemangat untuk terus beri aura positif pada Faiq tau. Insya-Allah Faiq sentiasa dapat cas-cas positif tu dari SuperMak dia. Hehe 🙂

  23. hani

    salam violet, kita senasib.bb saya pun meninggal pd bln yg sama dgn anak violet.betul sampai sekarang ni saya masih menangis.dengan cara tu je, saya blh redakan segala masalah saya.

  24. Anonymous

    Salam kenal,dalam mengodek2 hp mlm2 ni saja cari info pasal prematured baby saya sampai ke blog ummi.Bila baca kisah diatas terus terimbau kenangan semasa anak perempuan saya yang berada 31hari di NICU
    Pelbagai ragam manusia saya jumpe kat situ & byk pengalaman saya timba semasa disana.Semuanya membuatkan saya lebih matang dalam menjalani kehidupan sebagai seorang ibu.Alhamdulillah anak saya yang doktor2 di NICU Hospital Melaka gelarkan "miracle baby" pada masa itu kini membesar dengan sihat.Miracle baby sebabnya dia satu2nya baby yang tidak menggunakan alat bantuan pernafasan pada masa itu.Lahir dengan berat 1.4kg dan sesuatu yg agak luar biasa.Tapi kuasa Allah mengatasi segalanya.Hampir 6thn berlalu kenangan melahirkan dia pada 34minggu membuatkan saya takut untuk mengandung lagi..tapi jika Allah kurniakan kami rezeki lagi,saya terima dengan hati terbuka.Saya doakan semoga Ummi juga sentiasa berada dalam rahmat Allah sentiasa dan diluaskan segala pintu rezeki ye..insyallah

  25. Anonymous

    Assalamualaikum, rasa sedih baca blog Ummie. Kenangan 2 tahun melahirkan bayi pramatang pada usia 25W1D menjelma. PPROM pada usia kandungan 24 minggu, berat baby masa tu tak sampai pun sekilo hanya 765 gram saja. Tabah sungguh hati ummie menghadapi ujian Allah. Semoga keluarga umie dirahmati dan dilindungi Allah selalu..

  26. hidayahmohamed

    Salam, sy banyak baca blog ummi dan falina berkaitan baby pramatang dn kehilangan najla… sejak saya tiba2 terpaksa melahirkan putera sy secara czer pada minggu ke 25. Semuanya jadi seperti tsunami… dtg tiba2 hilang pun tiba2… alhamdilillah allah pinjamkn sy rehan untik 27 hari.. walaupun sekadar dpt menyentuh dan berckp dgn nya dari kotak incubator, sy syukur sy berpeluang merasai perasaan seorg ibu. Seperti ummi sy juga terasa amat berat merelakan pemergian rehan… namun sy sedar sy x mampu melawan takdir, melihat dia bergantung hidup dengan mesin penafasan yg mengepam paru2nya setiap saat sy terasa seperti sy seorg ibu yg pentingkn diri sendiri… memaksa anak sy hidup utk sy.. walaupun sy tau kesakitanya. Sampai ke satu hari bila rehan memerlukan mesin oksigen yg sangat kuat tekananya… sy tahu sy harus melepaskn dia… sy hanya mampu katakn pada dia yg sy dah bersedia, sy x nak dia rasa sakit, sy x sanggup seksa dia.. hanya allah yg tau betapa sakitnya hati sy sewaktu lafazkn semua tu. Dia pulang kepadaNya kerana jangkitan kuman dlm darah atau sepsis. Semoga kita ibu2 terus tabah dn kuat hadapi dugaan hidup kita, pasti ada hikmanya in shaa allah.

Comments are closed.