Dedikasi ini ditujukan kepada semua teman-teman akrab yang setia di sisi ketika aku terlalu bersedih atas kehilangan Najla.
1. Nur Hidayah Othman
Sahabat karib merangkap rakan sekerja yang bersama sedari awal kandungan Najla. Dayot nama timangan aku pada dia :).
Dua hari selepas Najla meninggal dunia, aku jadi semakin kusut. Hati aku terasa pedih. Teramat perit dan sesak rasa waktu itu. Jadi, aku mencari adik beradik dan kawan-kawan untuk mengadu air mata yang memang tak boleh dibendung lagi.
Kawan pertama yang aku cari ialah Dayot. Aku ingat lagi waktu aku call, Dayot sedang mengajar. Aku bercadang nak telefon semula. Tapi aku tahu Dayot takkan sampai hati biar aku sendiri. Dayot masih tetap berbual dan sanggup keluar dari kelas semata-mata untuk bercakap dengan aku. Aku kehilangan kata-kata. Yang aku tahu, menangis dan menangis. Spontan Dayot menangis juga. Masih terasa perit lagi. Manakan tidak bila Dayot antara yang menghadap Najla sewaktu Najla tenat dan menemani aku sehingga ke Muar. Yang melihat dan memujuk aku sewaktu aku pegang erat tubuh kaku Najla, tidak mahu lepas. Pasti kesedihan itu masih lekat di hati. Waktu aku peluk tubuh kaku Najla, Dayot duduk di hadapan aku, pujuk aku dengan sebuah cerita ringkas, “Nad, aku pernah dengar, bayi macam ni nanti dia akan tunggu depan pintu syurga. Bila Allah tanya kenapa mereka tak nak masuk, mereka jawab, mereka akan tunggu sampai mak ayah mereka masuk bersama”, terus Dayot teresak bila cerita itu disudahkan. Ada sedikit perasaan dalam diri aku yang sukar digambar bila dengar cerita itu. Terharu bercampur sebak. Dan berderaianlah air mata kami berdua tanpa henti.
Kata-kata Dayot yang tak boleh aku lupa waktu bercakap dengan aku di telefon, “Nad, kalau boleh diberi separuh kesedihan kau pada aku, aku nak Nad. Aku cemburu kau diuji hebat macam ni.”
Terima kasih Nur Hidayah Othman. Aku sayang dan akan rindu kau selalu. Terima kasih atas segala mesej, call, email, dan kata-kata semangat yang tak pernah putus. Dan terima kasih juga kerana telah mengenalkan aku pada cinta agung Yang Maha Esa. Alhamdulillah, aku bersyukur dengan apa yang aku perolehi sekarang 🙂
2. Siti Aisyah binti Tajudin
Kak Aisyah, seorang yang begitu telus sejak kali pertama aku dipostingkan ke situ. Setiap kali bekerja bersama, segala kerja menjadi mudah. Sama ada aku atau dia, kami mudah berbincang. Tapi selalunya lebih kepada hal kerja.
Bila Najla tiada, Kak Aisyah tak putus-putus bagi sokongan pada aku. Dan sejak 2 tahun berkenalan, kali ini kami jadi begitu akrab. Sampaikan Kak Aisyah sanggup jadikan Atiqah, anak perempuan dia sebagai anak angkat aku. Hari ketiga aku kehilangan Najla, aku dan Edy ke rumah keluarga Kak Aisyah, berkongsi rasa hati dan kesedihan yang sukar digambarkan waktu itu. Suasana jadi sangat pilu. Ahli keluarga Kak Aisyah cuba tabahkan kami sedayanya. Cuba buat agar aku mampu mengukir senyuman. Rasanya sejak hari tu hubungan kami jadi bertambah rapat. Bukan dengan Kak Aisyah je, tapi dengan mak ayahnya juga. Paling seronok bila aku digelar ‘ibu nad’ untuk Atiqah. Memang terubat luka dalam hati kami waktu. Alhamdulillah, semakin hari luka dalam hati kami semakin sembuh. Rindu dan trauma kehilangan Najla sudah mula berkurang. Kami bersyukur atas limpahan kasih sayang yang kami terima ini. Terima kasih Kak Aisyah dan keluarga 😉
3. Nurul Shuhadak binti Zaidun
Kawan seuniversiti yang aku kenal sejak 2005. Paling banyak kenal buruk baik aku dan tahu juga serba banyak tentang aku. Aku panggil sebagai Chak. Aku selalu bilang pada Chak, apa yang berlaku dalam hidup aku ni adalah kifarah atas dosa-dosa aku. Chak tak mampu nak cakap apa bila tahu berita pemergian Najla. Bila kami bercakap dalam telefon, kami sama-sama menangis. Memang terlalu sebak. Masing-masing teresak. Berminit-minit kami melayan perasaan sendiri. Aku seolah-olah baru tersedar dengan kesilapan sendiri. Dosa sendiri. Dan mungkin jugalah apa yang berlaku ini sebagai penebus dosa-dosa aku. Dan apa yang telah berlaku secara tidak langsung menyedarkan aku semula dengan semua nasihat Chak yang aku tak endah sebelum ini. Aku bersyukur dalam aku terasa sempit waktu tu, Chak setia di sisi. Setia menjadi sahabat aku walau setiap nasihat dan kata-katanya selama ini pada aku umpama mencurah air ke atas daun keladi. Terima kasih Chak atas segalanya! Aku sayang ang sangat! Aku hargai segala usaha ang untuk aku jadi lebih baik.
4. Norsapiah Che Omar
Housemate yang aku kenal pada September 2010 bila kali pertama orang yang aku gelar Kak Nor ini dipostingkan ke sekolah aku. Lebih kurang selepas 3 bulan Kak Nor menjadi housemate aku, aku disahkan hamil dan kemudian pertama kali aku ke klinik mengesahkan kehamilan aku bertemankan Kak Nor. Dari 4 minggu hinggalah 30 minggu kehamilan, dari perut aku flat hinggalah memboyot, Kak Norlah yang selalu melihat perkembangan kandungan aku.
Kak Nor pula rajin melayan aku nak makan itu ini. Kebetulan pula masa aku mengandung dulu aku tiba-tiba ada penyakit malas nak masak. Tengok ikan mentah boleh muntah. Masuk dapur sekejap je dah mula rasa pening-pening. Tak tahulah kalau memang mengada sangat aku masa tu.
Kak Nor juga setia ada waktu Najla sedang nazak. Hingga ke akhir nafas Najla. Kemudian temankan aku ke Muar untuk lihat sendiri Najla disemadikan. Kak Nor juga yang banyak menyokong dan memberi kekuatan kepada aku sewaktu aku kerapkali disalahkan kerana terlalu aktif sewaktu mengandungkan Najla. Kak Nor cukup marah bila dengar ada yang bercakap belakang kenapa anak aku meninggal dunia dengan mengaitkan itu dan ini. Pada Kak Nor semua tu tak perlu dipersoalkan lagi kerana ini semua telah ditakdirkan, ada sebab musababnya kenapa ia terjadi. Aku cukup lega kerana Kak Nor sentiasa memotivasikan aku supaya aku kuat untuk hadapi semua ni. Setahun Kak Nor bersama aku, begitu banyak pahit maung yang kami rasa bersama. Terima kasih Kak Nor atas kesetiaan di sisi Nad selama ini 🙂
5. Sarmila Marlini
Orang yang aku dah anggap macam kakak sendiri di sekolah aku dahulu. Kak Mila yang aku panggil ini memang ceria sentiasa orangnya. Antara kami begitu banyak rahsia. Biarlah kami berdua sahaja yang tahu. Sejujurnya aku banyak bercerita pada Kak Mila dan begitulah sebaliknya.
Waktu Najla di NICU kritikal, Kak Mila datang melawat. Kak Mila tak sanggup barangkali hendak melihat Najla sedemikian rupa. Tapi sempat lagi Kak Mila cuba meriahkan suasana sedih itu dengan berbuat lawak. Aku macam biasa dengan Kak Mila pasti tak kering gusi.
Bila Najla tiada, Kak Mila tak pernah berhenti mengingati aku.
Antara SMS dari Kak Mila yang buat aku terharu,
“Innalilh, takziah.. Kmi smua pun sdh dpt brita ni.. Allah lg mnyayangi najla.. Syukur, nad d bri ksmptn utk m’jga najla w’pun sketika.. Mgkn e2lh hikmah najla cpt lhir, dia smpt rs ksh syg ibu n ayh.. Syurgalh tmptnya.. Alfthah..”
“Alhmdlh nad n suami msh mampu mngwal emosi, nad jg dri baik2, dlm pntng bhya, jgn pnyakt lain plak dtg.. Nad n suami jer yg thu n rs tknan n kperitn.. Kmi smua simpti.. Kl akak pun x mmpu rsnya nk hdpi dugaan sbesr ni.. hti sorg ibu hnya tuhan jer yg thu kl khlngn insan t’syg.. Org lain sng ckp n nsht, tp hnya nad n suami jer thu btpa sdh n pilu, k lh nad, taip2 msg ni pun akak dh rs sebak..”
Pagi raya pun aku dapat mesej yang begitu mengharukan dari Kak Mila.
“Slm, slmt ari ry..hr gmbra utk org lain, tp hr b’duka plak utk nad n fmly.. Tbhkn ati.. Akak mtk maaf zhr n btin slh slp, gurau snda n t’ksr bhsa slma kta b’2gas.. dr mlm td tringt kt nad jer..k lh, jgn smpi x lalu mkn plak eh.. Mkn ckit br ada tnga.. K lh bye”.
Paling buat aku terharu bila Kak Mila yang juga guru majalah sekolah sanggup penuhi impian aku untuk letakkan gambar Najla dalam majalah tahunan sekolah kami supaya kenangan pemergian Najla akan diingati sampai bila-bila.
“Blh sgt2, mmg dh ltak pun gmbr najla n dh antar bumi restu sblm dia mnggal, nnti naik sek ni, bumi restu akn bg bt smakn smula, ms 2 akak akn tmbhkn p’mtaan nad k.. InsyaAllah x mnjdi mslh, lgpun smua org syg najla n simpati ngn nad n suami..”
Terima kasih Kak Mila. Dan Allah SWT itu Maha Adil. Penantian Kak Mila selama 6 tahun untuk menimang cahaya mata kedua diperkenan-Nya. Barangkali inilah rezeki atas kebaikan Kak Mila pada semua orang selama ini. Muhammad Azri Haziq, putera kedua Kak Mila telah selamat dilahirkan pada 14 Januari 2012 yang lalu. Tahniah Kak Mila!
Terima kasih juga kepada semua rakan-rakan lain yang tidak saya sebutkan di atas yang telah bersungguh-sungguh mahu lihat saya gembira dan sembuh dari kedukaan ini. Hanya Allah SWT yang mampu membalas keikhlasan kalian.