Menyusukan bayi pastinya menjadi dambaan setiap bakal ibu,namun menjelang kandungan mencecah trimester ketiga apabila susu badan masih tidak keluar,hal ini membuatkan ibu baru ini mulai panik.Demi memastikan bayi yang bakal lahir mendapat sumber makanan yang mencukupi, ibu hamil ini mula mencari-cari gantian bagi susu ibu kerana dibimbangi susunya tidak keluar juga sejurus bayi dilahirkan.
Boleh diandaikan ini adalah kebimbangan dan dilema yang menghantui hampir semua ibu-ibu hamil.Sedar akan kepentingan serta kebaikan dalam susu ibu namun kerisauan ini memerangkap mereka.Ini juga dipengaruhi oleh kurangnya pengetahuan dalam penyusuan susu ibu.Disamping dikelilingi oleh persekitaran yang tidak mesra dengan pemberian susu ibu pada bayi.Masih dipenuhi dengan silap faham dan mitos-mitos penyusuan yang mampu menggoncang keyakinan ibu baru ini.
Tahukah anda bila payudara mula menghasilkan susu?
Semasa atau selepas bayi dilahirkan?
Mari fikirkan sejenak,pilih satu jawapan anda dan simpan kemas-kemas.Tunggu sehingga akhir artikel ini.
Penyusuan susu ibu sangat berkait rapat dengan hormon dalam tubuh wanita.Dua hormon penting dalam penyusuan ialah hormon Prolaktin serta Oksitosin.Secara ringkasnya tugas hormon Prolaktin ialah bagi penghasilan susu manakala Oksitosin bertindak untuk mengeluarkan susu.
Semasa hamil, paras Prolaktin dalam darah meningkat bagi meransang pertumbuhan dan perkembangan tisu payudara bagi persediaan untuk menghasilkan susu.Pada usia kehamilan ibu mencecah 12-16 minggu,payudara ibu sudah mula merembeskan Kolostrum.Kolostrum ialah susu pertama yang bayi akan dapat sejurus bayi dilahirkan.Susu ini sangat diperlukan buat bayi kerana kandungannya yang sangat berharga serta sesuai untuk bayi yang baru dilahirkan.
Pasti anda tertanya-tanya,jika seawal itu Kolostrum sudah dihasilkan dan paras Prolaktin juga tinggi,kenapa susu masih tidak keluar walhal fungsi Prolaktin adalah bagi penghasilan susu?
Ini kerana adanya hormon Estrogen dan Progesteron,hormon hamil,yang menghalang fungsi Prolaktin untuk menghasilkan susu pada waktu ini.Estrogen penting untuk mendukung perkembangan janin dalam rahim ibu selain berfungsi untuk memindahkan zat.Manakala Progesteron pula berfungsi untuk membantu pembesaran rahim serta mengelakkannya dari mengalami kontraksi sebelum sampai masanya.Penghasilan dua hormon hamil ini sangat berkait rapat dengan uri(plasenta).
Selepas melahirkan,penurunan mendadak 2 hormon ini membuatkan tiada lagi halangan untuk Prolaktin bertindak.Apabila bayi menghisap pada payudara ibu sejurus lahir,tindakan ini akan menggalakkan penghasilan hormon Prolaktin sekaligus proses penghasilan susu untuk sesi seterusnya juga berlaku.Ditambah dengan hisapan dari mulut kecil bayi akan membantu meransang hormon Oksitosin yang bertanggungjawab untuk mengeluarkan susu yang berada di dalam payudara ibu.
Kerana itu,ibu yang baru melahirkan digalak untuk segera menyusukan bayinya secepat mungkin.Bagi ibu atau bayi yang mungkin tidak dapat menyusukan bayi selepas lahir atas faktor kesihatan,ibu digalak untuk memerah payudara bagi menggantikan hisapan bayi bagi memastikan penghasilan susu berterusan.
Jika ibu hamil masih berada dalam keadaan risau,tidak yakin,sebaiknya sertailah kelas-kelas penyusuan atau dapatkan bimbingan terus dari Pembimbing Laktasi sebelum melahirkan lagi supaya ibu mendapat kefahaman yang jelas serta tiada salah faham.Dengan adanya ilmu penyusuan dari awal serta bimbingan,pastinya keyakinan ibu akan makin bertambah sekaligus meningkatkan peluangnya untuk menyusukan bayi dengan susu ibu.
Bagaimana sekarang,adakah jawapan milik anda di awal artikel ini masih sama?