Persiapan Raya?


Assalammualaikum w.b.t


Dalam tak sedar, Ramadhan bakal menjelma dalam tempoh kurang 2 minggu. Aku pula masih gigih mengganti puasa yang berbaki 9 hari lagi. Banyaknya 9 hari?! Tahun lalu, aku cuma berpuasa 2 hari. Hari ketiga, puasa aku dibatalkan dengan pemeriksaan VE. Jadi, secara keseluruhannya, aku perlu mengganti puasa 28 hari. Tempoh 19 hari yang telah aku ganti itu buat aku rasa 9 hari bukanlah satu tempoh yang lama. Saat-saat akhir yang kritikal dengan kerja yang bertubi-tubi ini aku penuhkan dengan berpuasa hampir setiap hari kecuali weekend. Mungkin aku sempat berehat sehari sebelum 1 Ramadhan menjelma. Harapan dan doa aku, semoga Allah SWT berikan kesihatan yang baik pada aku untuk melunaskan puasa qada’ ini.


Percaya atau tak, aku sudah mula membeli-belah untuk persiapan Aidilfitri yang bakal menjelang kurang 2 bulan. Dua pasang baju kurung sudah siap aku beli. Tidak kurang juga sepasang baju Melayu untuk Edy dan adik lelaki aku. Kami memilih tema purple tahun ini. Insya-Allah, jika punya kelapangan sebelum Ramadhan, aku ingin bawa Edy dan adik lelaki aku membeli sepasang dua lagi baju kemeja atau pun T-shirt beserta seluar dan kasut di Jusco. Insya-Allah, bila semua urusan beli-belah sudah selesai, bulan Ramadhan nanti tidaklah aku memikirkan sangat tentang keperluan raya lagi. Tapi mampukah aku menahan godaan jualan sempena Hari Raya nanti? Haha. Kita tunggu dan lihat.


Mak mertua aku sangat menyokong semangat aku yang berkobar-kobar tahun ni. Tak kurang juga Edy. Aku sudah mula sibuk mencari bekas kuih raya, langsir, dan cadar. Setiap kali weekend, bila aku ikut Edy balik kampung, mesti aku akan meronda kedai-kedai sekitar Bukit Gambir untuk mencuci mata. Masa yang agak panjang aku gunakan sebaiknya untuk menilik satu persatu barang yang sangat murah di sana berbanding Kulai atau pun JB. Tak pernah aku seteliti dan seteruja ini. Mungkin kerana aku ingin meraih kembali suasana Aidilfitri setelah Aidilfitri 2011 mencatat memori duka yang tak mungkin dilupakan.


Jika diimbas kembali peristiwa aku dan Edy mencari baju raya tahun lalu, aku rasa macam nak menangis. Aku ingat lagi, setiap kali masuk ke kedai baju, mesti aku akan keluar semula sambil menangis. Aku akan masuk semula ke kereta sambil melalak. Seingat aku, radio tidak kami pasang. Aku jadi benci dengar lagu-lagu raya. Aku tak ada hati nak menyambut raya. Aku masih terasa kehilangan Najla yang baru beberapa hari. Entah berapa kali percubaan kami untuk membeli baju raya gagal bila aku mula rasa sebak ternampak baju kurung kanak-kanak. Bila sedih, aku ajak Edy balik ke rumah semula. Bila kami keluar lagi, aku akan menziarah kubur Najla dulu. Aku akan menatap sepuas-puasnya kubur Najla yang masih merah. Kegilaan aku waktu itu buat aku rasa nak gali kubur Najla semula dan peluk dia erat-erat. Mujurlah Edy sentiasa mewaraskan aku dan ingatkan aku pada Allah. Akhirnya kami berjaya membeli baju raya sehari sebelum 1 Syawal. Entah macam mana, aku dan Edy tanpa merancang telah mengambil sepasang baju yang sedondon warna, PUTIH! Mungkin kerana hati kami lebih memikirkan Najla yang cuma bersarungkan kain kafan putih buat aku dan Edy turut memilih tema yang sama. Bila kami gantung baju raya kami di bilik, mak mertua aku tergamam. Dengar perlahan rintihannya, “Alahai, kenapalah putih…” Jadi, aku dan Edy membeli sepasang lagi baju raya berwarna coklat gelap untuk meredakan kegusaran mak mertua aku.


Kerana itu, semua ahli keluarga dan rakan-rakan karib aku faham benar dengan keterujaan aku kali ini. Aku ingin mengubat semula luka ini. Aku yakin luka kehilangan ini telah lama sembuh seiring dengan aku mula merasa redha dan syukur dengan pemergian Najla. Aku tidak mahu memandang ke belakang lagi. Apa yang sudah berlaku itu semua adalah tulisan takdir-Nya sedari Luh Mahfudz. Aku ingin menjadi hamba-Nya yang solehah, membahagiakan Edy dan kedua ibu bapanya, menjadi seorang ibu yang kuat, dan menjadi Muslimah contoh kepada Muslimah lain. Insya-Allah. Apa yang berlaku ini pasti ada sejuta hikmah-Nya. Dalam tak sedar, hikmah itu meniti perlahan dan adakalanya drastik dalam hidup aku dan Edy. Walaupun aku sebenarnya sangat-sangat berharap dengan kehadiran pengganti Najla, namun aku perlu redha dengan segala ketentuan-Nya. Ketentuan-Nya sentiasa yang terbaik untuk kami. Cepat atau lambat, rezeki anak itu pasti berkunjung jua. Amin.

This Post Has 4 Comments

  1. MamaZaraa

    Insya Allah, cepat @ lmbt rezeki anak pasti akan tiba bt kalian berdua. Aaminn.
    Sy pn msh bbaki 14hr lg utk ganti puasa thn lps. tp thn ni doc dah sarankn agar sy xbpuasa utk kebaikkn anak dlm kandungan. mkin menimbun lah hutang ni ummi najla..:0..
    Sy kehilangan zaraa smggu sblm kita menyambut ramadhan pd thn lps. Persiapan raya mmg lnsg xde. kami smbut ala kadar. btl2 kosong rsnya. Rasa rindu pd zaraa sy simpan dlm lubuk hati sy yg plg dalam dan insya allah xkan mati smp bila2.
    Mudah2n Allah datangkn pelangi indah buat kita slps ini….Aminn Ya Rabbal alamin…

  2. Feed by Ummi Najla

    Tq mama zaraa. Tak putus2 doa mama zaraa untuk kami :). Tak sangka kita kehilangan anak pada tempoh kurang sebulan rasanya. Saya kehilangan Najla seminggu sebelum aidilfitri. Nama anak-anak kita pun lebih kurang sama, kan? Zaraa Batrisya dan Najla Batrisya. Nama-nama yang cukup indah. Kadangnya saya terfikir, anak-anak ini terlalu cantik dan indah untuk dipandang, seindah namanya. Mungkin juga boleh menjadi fitnah dunia. Dan sebaiknya untuk mereka adalah menjadi Bidadari Syurga selamanya. Alhamdulillah.

  3. Violet

    Salam Ramadhan buat Ummi dan suami.lama betul tak menjenguk blog ummi.saat ni,niesa rasa masih stabil lagi dalam mengawal emosi sebab belum jumpa orang ramai lagi except family members.naik kerja pun 14 Ogos nanti.apa yang niesa takutkan simpati orang.bila ke rumah saudara-mara nanti mesti orang bertanya,niesa takut tiba saat tu niesa x dpt control emosi.nanti naik kerja orang mesti akan tanya "Ok ke?".benci sangat nak dengar soalan tu.semalam pergi tailor amik baju kurung raya yang dah ditempah dari tahun lepas,tailor tanya dah bersalin?baby girl ke boy?niesa just jawb ape yang ditanya aje.taknak cerita lebih2.kalau ada topeng emosi happy nak beli,bila part nak emo je,pakai topeng tu.

  4. Feed by Ummi Najla

    Wassalam niesa. Rindu nak dengar perkembangan terbaru niesa. Saya faham perasaan niesa. Memang mengambil masa nak stabilkan semula emosi tu. Kadang-kadang rasa macam nak marah je kan bila orang lain salah tanya atau cakap. Perasaan itu pada saya normal untuk orang yang sangat-sangat kasih pada anak yang baru sahaja kehilangan. Saya rasa perkataan 'sabar' tu sudah jemu didengar sebagai nasihat. Apa yang boleh saya kata, niesa sibukkan diri dengan pelbagai aktiviti. Insya-Allah selepas naik kerja nanti, Niesa dah boleh lupakan sedikit sebanyak apa yang dah berlaku. Niesa dah boleh mulakan hidup baru dengan lebih semangat. Saya yakin niesa kuat orangnya walau mungkin niesa tak sedar kekuatan yang ada dalam diri niesa. Insya-Allah niesa. Masa akan mengubat segalanya. Keep in touch ye niesa. Kalau ada apa-apa, sharelah bersama. InsyaAllah saya sedia mendengar 🙂

Comments are closed.