You are currently viewing PENYUSUAN SUSU IBU SEBAGAI PENCEGAH KEHAMILAN.

PENYUSUAN SUSU IBU SEBAGAI PENCEGAH KEHAMILAN.

Kaedah merancang kehamilan antara topik yang jarang dibicarakan secara terbuka kerana ia dianggap sensitif atau memalukan bagi sesetengah pihak.Namun merancang kehamilan adalah isu yang amat penting untuk sesebuah keluarga.

Mengapa perlu merancang kehamilan?

Merancang kehamilan adalah bermaksud menentukan bilakah waktu yang sesuai untuk menambah bilangan anak,jarak kehamilan antara setiap anak serta berapa bilangan anak yang diingini.Antara faedah merancang kehamilan,

  • Memastikan ibu dalam keadaan sihat sebelum hamil semula terutamanya bagi ibu yang berisiko tinggi.
  • Ibu sudah bersedia dari segi kesihatan tubuh badan,emosi dan juga mental.
  • Suami dapat merancang kewangan serta menyediakan kelengkapan dan kemudahan asas yang diperlukan oleh setiap ahli keluarga mengikut kemampuan fizikal,mental dan ekonomi keluarga.
  • Anak-anak mendapat kasih sayang,tumpuan dari ibu bapa,pemakanan yang sihat dan seimbang termasuk pemberian susu ibu sekurangnya 6bulan pertama atau sehingga berusia 2 tahun.

Perancang kehamilan.

Antara kaedah perancang ialah,

  • Menentukan waktu subur.
  • Suhu badan asas
  • Lendiran faraj
  • Teknik azal
  • Kondom
  • Pil hormon
  • Implan
  • Alat dalam rahim atau IUD(Intrauterine Device)
  • Suntikan
  • Penyusuan susu Ibu

Penyusuan susu ibu sebagai perancang kehamilan.

Penyusuan antara salah satu perancang kehamilan yang sangat efektif, selamat dan mudah bagi wanita yang menyusukan untuk mengelak dari hamil lagi.Ia dikenali sebagai Lactational Amenorrhea Method atau Teknik LAM.Dimana proses ovulasi wanita menjadi lambat atau ‘tidak subur’ selepas melahirkan.

Bagaimanapun, terdapat 3 KRITERIA WAJIB yang harus wanita yang ingin menggunakan LAM penuhi iaitu,

1.Tidak datang HAID selepas melahirkan bayi.

2.Bayi berusia 6 BULAN dan ke bawah.

3.Bayi menyusu sepenuhnya dengan kerap siang dan malam.(Tidak diberikan makan mahupun minuman lain)

Ketiga-tiga kriteria ini haruslah dipenuhi bagi seseorang wanita untuk menggunakan kaedah LAM ini sebagai perancang keluarga.

Menurut WABA, pada tahun 1996 satu kajian telah dilakukan di Filipina ke atas 485 wanita yang mengamalkan teknik LAM dan hanya 2 dari mereka telah hamil, dengan kadar kejayaan menunjukkan 99%.Ini adalah satu kelebihan penyusuan susu ibu yang perlu ibu-ibu manfaatkan.

Terdapat juga kajian yang dilakukan dikalangan wanita bekerjaya yang mengamalkan Teknik LAM serta memerah susu di tempat kerja dan masih membekalkan bayi sepenuhnya dengan susu ibu.Kajian mendapati 5.2% dari kalangan wanita ini hamil semula dalam tempoh 6 bulan pertama selepas melahirkan.Oleh itu wanita yang terpisah dengan bayinya dan mengamalkan Teknik LAM risiko untuk hamil semula adalah lebih tinggi.

Anda juga boleh mendapatkan pandangan dari Doktor di Klinik Kesihatan berdekatan untuk perancang kehamilan yang bersesuaian dengan anda.

Merancang kehamilan bukan saja penting dalam penyusuan supaya ibu dapat mengekalkan penghasilan susu ibu serta meneruskan penyusuan sehingga bayi berumur 2 tahun.Namun ia juga menyumbang pada keharmonian setiap ahli dalam sesebuah keluarga yang bahagia.