Bismillahirrahmanirrahim.
Niat asal nak buka blog yang sekian bulan menjadi diari hati awal tahun baru 2012 hari tu. Tapi atas tuntutan tugas di tempat baru, ditambah pula dengan urusan pindah rumah bagai, dan segala usaha untuk menyesuaikan diri dengan tugas sebagai guru di sekolah disamping jawatan-jawatan lain yang menjadi sampingan lumrah, tugas sebagai seorang isteri untuk menunaikan segala tanggung jawab dengan baik (Insya-Allah), dan juga tugas sebagai seorang kakak, adik, makcik, ipar kepada sanak saudaraku di sini. Maklumlah sudah menetap di Kulai, kampung kelahiran, ‘tuntutan’ hidup akan menjadi lebih banyak terhadap keluarga besar tetapi keseronokkan itu sangat pasti berbanding kehidupan di JB sebelum ini. Walaupun penat pulang dari sekolah, kepenatan tu hilang bila dapat berjumpa dengan keluarga sendiri. Lega!
Niat asal aku wujudkan blog ini kerana satu, INGIN BERKONGSI SEGALA PENGALAMAN KEHILANGAN SEORANG ANAK. Itu niat asal. Niat utama. Tapi waktu aku giat menulis sebelum ni, aku masih lagi privasikan segalanya. Seolah diari personal. Setelah ‘terbuka’ sebegini, segala cerita di sini adalah yang telah diedit semula untuk memastikan tiada kata atau sensitiviti yang menyentuh hati mana-mana pihak.
Banyak entry yang telah di’draft’ namun belum di’publish’. Waktu aku sedang mengarang entry ini, aku baru sahaja menghabiskan segala house chores dan sedikit tugas sekolah. Tugas sekolah biasanya akan aku sudahkan selepas menghabiskan segala tugas-tugas di rumah. Itu kewajipan utama. Alhamdulillah, aku lebih gembira dengan ke’sibuk’an sekarang. Aku memenuhkan segala masa dalam sehari. Menjadi pendidik di pagi hari hinggga ke petang, pulang sebagai seorang isteri dan kakak kepada adik yang tinggal bersama kami. Barangkali akan datang akan pulang sebagai seorang ibu kepada anak-anak kami. Insya-Allah. Aku mengharapkan keberkatan dalam hidup aku dan suami dan semoga barakah itu segera hadir dalam bentuk pengganti puteri kami. Cepat atau lambat, kami redha. Kerana pasti segalanya berhikmah. Hijrah ini juga banyak hikmahNya. Apa yang kami mampu tuturkan, hanyalah Alhamdulillah!
Blog baru, tahun baru, hidup baru. Ya, aku masih belum punya pembaca apatah lagi followers! Tidak mengapa. Kerana aku sekadar ingin berkongsi segala cerita yang dapat membantu mana-mana yang boleh kepada insan-insan di luar sana. Siapakah yang bakal menjadi pembaca pertama? Hihi.
Semoga perjalanan penulisan ini diredhai-Nya. Amin.
Selamat membaca!!!