Menjadi Isteri Yang Baik

Semalam dan kelmarin, aku ke rumah kawan aku. Biar aku namakan dia sebagai A. A seorang isteri dan kini sedang hamil anak pertama. Aku kenal A sejak tahun pertama di universiti. Kami terpisah dek jarak negeri selepas tamat belajar. Kemudian, aku dan A sudah jarang berhubung kerana kekangan masa dan sibuk dengan pekerjaan masing-masing. Alhamdulillah A kini sudah dekat dengan aku kerana A bertukar ke JB atas sebab mengikut suami. Inilah peluang keemasan untuk kami bersua. Kebetulan waktu aku datang, suami A bekerja. Edy pula ada urusan yang perlu diselesaikan. Jadi, peluang itu kami gunakan untuk bertemu.

Sebenarnya, sudah lama hajat aku dan A nak melepak sama-sama macam ni. Tapi atas beberapa faktor yang tak mengizinkan, aku dan A terpaksa tangguhkan hasrat kami. Bila A berkesempatan, dia akan datang ke rumah aku. Kali ni, aku tak nak menghampakan A, aku temankan A di rumahnya. Teman A masak, dan kami habiskan masa makan dan berbual bersama. Seronoknya dapat spend masa dengan A dalam tempoh tu. Setiap kali bersama A, aku rasa tenang. Sejak dulu. A pula memang seorang yang tenang dan seorang yang berfikiran positif. Sangat positif hampir dalam semua perkara walaupun dalam situasi A sedang diperkata orang. Ya Allah, baiknya A!

Dan aku berasa tenang untuk berbincang segala hal dengan A. Aku bukan bercerita tentang hal yang buruk, tetapi aku suka berbincang mengenai bagaimana aku boleh memperbaiki diri untuk menjadi seorang isteri yang baik dan solehah.

A selalu mendidik hati aku untuk sentiasa menjadi seorang isteri yang baik, taat pada suami, hormati suami, an sentiasa  menggembirakan hati suami. Aku boleh layan cerita A hinggai 4-5 jam. Sambil dengar, sambil tu dalam hati aku berdetik-detik, kenapalah aku tak boleh jadi sebaik A. Aku rasa, dibandingkan dengan A untuk kategori isteri mithali, aku memang jauh panggang dari api.

Aku suka mendengar cerita yang begitu positif dari A merangkap seorang teman, isteri dan bakal ibu. Selain arwah mak dan kakak-kakak aku yang menjadi inspirasi, aku selalu jadikan A sebagai idola aku dalam contoh menjadi isteri yang baik.

A tak pernah kecewa kalau aku tolak sebarang pelawaan dia, kerana A ingin aku taati suami dan jangan sampai menjadi derhaka kerana ingin menjaga hati seorang kawan. Lagi pula Edy dan aku jarang berjumpa. Tentulah bila Edy balik, kami nak habiskan masa bersama. Dia cinta hati aku. Dan yang penting, dia suami aku. Orang yang terutama dalam hidup aku kini.

Selain itu, aku sangat mengkagumi dalam hal A menangani permasalahan dengan ibu mertuanya. Kasihan A, dia bukan sahaja tidak pernah bersua muka dengan ibu mertuanya, malah dia tidak diterima sebagai menantu! Sebaik-baik manusia seperti A diuji dengan ibu mertua sebegitu. Syukurlah keluarga mertua A yang lain termasuk bapa mertuanya terima dan menyayangi dia sebagai orang baru dalam keluarga mereka. Tabahnya A. Benarlah orang selalu bilang, orang yang baik-baik selalu diuji dengan dugaan. Diuji dengan kenikmatan selalunya menyebabkan manusia selalu alpa. Jadi, sebagai hamba-Nya, bersyukurlah kita bila diuji dengan ujian dan dugaan. Kerana itu lebih mendekatkan kita kepada Dia. Insya-Allah.

A begitu istimewa di mata aku. Selain cantik, bijak, A juga seorang yang beragama. Dia seorang anak yang baik juga. Aku sangat sayangkan A sebagai seorang sahabat. Semoga, jarak yang memisahkan kita nanti tidak akan menghalang perhubungan ini.

Semoga suatu hari nanti, aku dapat menjadi seperti A. Dapat menjadi seorang isteri yang solehah, ibu yang penyayang, dan seorang teman yang baik. Malah, sabar untuk melalui setiap ujian mendatang.

Insya-Allah.