Mencari Ketenangan Abadi

Sudah tiba masanya untuk aku benar-benar mencari ketenangan abadi. Kenapa sekarang? Apa tidak tenangkah aku selama ini? Statement ni keluar sebab cik P datang ke?

Tak.. Tak..

Memang sudah tiba masanya untuk aku mencari ketenangan hakiki. Cinta yang amat aku dambakan dari Dia.

(Kronologi)
20 Februari 2004. Saat yang aku tak boleh nak lupakan bila abah kata masanya sudah tiba. Aku cium pipi abah berulang kali. Aku tahu abah nak pergi.  Bila sahaja aku suapkan bubur yang mak buat, abah menangis. Tiba-tiba abah kata, “Deria rasa abah dah kena tarik. Masa abah dah tak lama”. Aku peluk abah erat-erat sambil menangis. Pesakit-pesakit lain mungkin agak pelik dengan situasi itu. Mereka hanya menatapi pelukan hiba kami anak-beranak. Adik-beradik lain cuba sembunyikan air mata. Aku memang tak dapat nak bendung lagi kesedihan. Kenapa abah begitu yakin abah dah nak pergi? Mungkin inilah kelebihan yang Allah beri pada abah selaku hafiz dan imam. Mungkin pengalaman abah bertahun-tahun menguruskan jenazah dan mentalkinkan si mati memberi abah banyak pengalaman tentang kematian. Abah juga sempat menulis wasiat untuk kami dengan bersaksikan kakak aku dan kawan baik abah. Abah sempat selesaikan solat asar. Abah masih lagi boleh berjalan sendiri ke bilik air untuk mengambil wuduk. Aku tengok solat terakhir abah dengan air mata. Usai sahaja solat asar, abah nazak. Bersaksikan mak dan kami adik-beradik. Mak terduduk. Aku peluk erat abah dan ajarkan kalimah shahadah. Hinggalah abah keluarkan satu ayat terakhir, “Allahhhhhhh!” dan berakhirlah hayat abah. Sedu-sedan kami menangis tapi kami ingat pesanan terakhir abah, “Jangan meratapi kematian abah nanti”.
9 April 2004. Sudah 49 hari abah tinggalkan kami. Semalamnya mak sakit perut. Diarrhea. Bila mak masuk hospital, tak seperti selalu, mak banyak tidur. 3 hari sebelum tu aku ingat lagi betapa gembiranya mak bila mak jumpa beg kesayangan abah tersorok atas almari. Mungkin abah yang letak atas sana sebelum abah masuk hospital. Mak kata, mak selalu mimpi abah datang cari beg tu tapi tak ketemui. Lepas mak jumpa beg abah, mak kata mak jumpa abah dalam mimpi. Abah gembira dan pegang beg tu. Mak gembira sangat cerita pada aku. Mungkin aku masih mentah masa tu. Aku sekadar endah tak endah sahaja dengar cerita mak. Aku masih 17 tahun. Aku mungkin tak mengerti kasih dan cinta seorang isteri kepada suami yang telah bersamanya lebih 40 tahun. Sehari selepas tu terus mak kena diarrhea. Aku jaga mak di hospital berbaringkan kerusi malas yang sedia ada. Seingat aku pukul 3 pagi, mak kejut aku dan beritahu sesuatu yang di luar fikiran aku waktu itu. Mak bilang, roh mak dah nak keluar sambil mak tunjukkan pada jari kaki. Aku bangun, sekadar selimutkan kaki mak, baringkan mak yang terbangun, dan tidur semula selepas mak menyambung tidur. Aku tak tahu jika itu petanda terakhir sebelum mak pergi. Aku hanya menganggap mak sekadar mengigau. Sebelum tu lagi aku sudah dapat petanda bila mana waktu aku kemaskan baju-baju dan kain batik mak, yang aku temui hanya kain batik lepas. Tak ada satu pun kain batik yang sudah berjahit. Sampai naik hairan aku. Tapi kebetulan sahaja abah baru meninggal, jadi pada fikiran aku, itu semua hanyalah kebetulan kerana memang kain-kain batik lepas itu baru sahaja mak guna untuk selimutkan jenazah abah. Selepas asar Jumaat, 9 April 2004, mak mula tenat. Mak sempat minta kakak aku bacakan Yassin. Mak cuba ikut bait-bait bacaan itu. Sehingga ayat ketiga, tiba-tiba mak kaku. Kakak aku menjerit memanggil doktor. Setelah diperiksa, doktor sahkan mak telah pergi selamanya. Doktor bilang,  mungkin mak terlalu rindu pada abah. Kami merelakan mak pergi. Pergi untuk bertemu abah tercinta di syurga Insya-Allah. 
24 Ogos 2011. Hari terakhir aku dan Edy bersama Najla. Rasanya sudah tidak mampu aku nak coretkan segala kenangan itu lagi. Sudah banyak kenangan yang aku luahkan di sini sebagai kenang-kenangan aku dan Edy bersama Najla. Banyak keputusan drastik aku dan Edy ambil selepas pemergian Najla. Mungkin kerana itu anak sulung kami, darah daging kami, dan kehilangan itu hanya dikongsi kami suami isteri, jadi banyak yang telah kami lakukan untuk lupakan kesedihan atas kehilangan Najla. Antaranya ialah berhijrah dari Johor Bahru ke Kulai. Sebelum kami melakukan penghijrahan itu, aku dan Edy telah beristikharah, bersolat hajat, bertanya pendapat orang-orang yang arif sehingga satu keputusan rasmi dibuat, hijrah. Hijrah ini bukan sahaja berpindah tempat tinggal, tapi hijrah ini juga telah merangkumi jiwa kami. Walau pada mulanya banyak juga dugaan yang kami perlu lalui bersama, aku yakin ini adalah yang terbaik buat kami. Mungkin juga terbaik buat anak-anak kami nanti.
*****
Maaf jika entry ini terlalu beremosi. Banyak sekali perkara yang menganggu fikiran aku akhir-akhir ini. Tapi aku yakin dan percaya ini semua dugaan dari-Nya. Kerana kasih dan sayang-Nya, Dia telah kirimkan kami tanda kasih itu dalam bentuk UJIAN. Alhamdulillah.
Sekian.