You are currently viewing Kelebihan Penyusuan Susu Ibu Buat Ibu dan Bayi.

Kelebihan Penyusuan Susu Ibu Buat Ibu dan Bayi.

Penyusuan susu ibu menawarkan banyak kelebihan dari segi kesihatan,baik buat ibu mahupun bayi.Susu ibu bukan saja menawarkan nutrisi yang ideal untuk menyokong tumbesaran dan perkembangan bayi,malahan susu ibu juga membantu melindungi ibu dan bayi untuk melawan dan mencegah risiko mendapat penyakit di masa akan datang serta menggalakkan hubungan kasih sayang yang erat antara keduanya.

KELEBIHAN PENYUSUAN SUSU IBU PADA BAYI.

  • Susu ibu akan berubah serta memberikan nutrisi yang sesuai mengikut keperluan dan usia bayi kerana itu ia dijadikan rujukan dan menjadi GOLD STANDARD.
  • Bayi akan mendapat antibodi dari ibu yang dipindahkan melalui susu ibu,sekaligus mengurangkan risiko jangkitan atau melindungi bayi dari dijangkiti.Ia membantu bayi untuk ‘membina’ sistem imunisasi yang lebih kuat untuk melindungi dirinya.
  • Pelbagai kajian telah menunjukkan bayi berusia setahun dan ke bawah yang minum susu ibu mendapat kurang separuh dari risiko mendapat jangkitan cirit-birit berbanding bayi yang tidak diberi susu ibu.
  • Bayi yang diberi susu ibu juga lebih rendah mendapat risiko jangkitan dalam telinga(Otitis Media) serta akan sembuh lebih cepat jika dijangkiti.
  •  Selain itu risiko untuk mendapat jangkitan saluran pernafasan dan saluran kencing juga lebih rendah.
  • Untuk jangka masa panjang juga terdapat kebaikan penyusuan susu ibu untuk bayi yang diberi susu ibu secara eklusif,iaitu lebih rendah risiko untuk mendapat Diabetis Jenis 1 serta mendapat Obesiti semasa kanak-kanak dan remaja.
  • Bayi yang minum susu ibu juga didapati mempunyai tekanan darah dan paras kolestrol dalam darah yang lebih rendah apabila dewasa berbanding yang tidak diberikan susu ibu.
  • Bayi yang minum secara terus pada payudara juga lebih rendah risiko mendapat jangkitan dan cirit-birit.Penggunaan botol yang tidak dicuci dengan bersih mendedahkan risiko ini pada bayi.
  • Tambahan,bagi bayi yang dilahirkan pramatang juga terdapat banyak kelebihan penyusuan susu ibu untuknya.Seperti susu ibu membekalkan Immunoglobin bagi membantu memberi perlindungan pada bayi dari jangkitan serta mengurangkan risiko kejadian penyakit Necrotizing Enterocolitis(Jangkitan yang menyebabkan usus bayi mati) yang boleh menyebabkan kematian yang sering berlaku pada bayi pramatang.

KELEBIHAN PENYUSUAN SUSU IBU PADA IBU.

  • Semasa ibu menyusui bayi,badan ibu akan merembeskan hormon Prolaktin dan Oksitosin.Kedua hormon ini penting untuk memastikan penghasilan dan pengeluaran susu ibu.
  • Kesan rembesan hormon ini mampu memberi rasa tenang pada ibu.Apabila ibu lebih tenang,ia membantu ibu untuk lebih bersedia menyusukan bayinya.
  • Rembesan hormon Oksitosin membantu untuk mempercepatkan proses pengecutan rahim selepas melahirkan sekaligus mengurangkan risiko tumpah darah.
  • Sentuhan kulit ke kulit dan eratnya bayi dipeluk semasa proses menyusukan meningkatkan pengeluaran kedua hormon penyusuan yang penting ini untuk penghasilan susu ibu.Ia juga membantu mengeratkan hubungan antara ibu dan bayi,pastinya saat manis ini akan menjadi memori indah buat ibu untuk dikenang.
  • Wanita yang menyusui bayi juga akan membakar lebih kalori berbanding wanita yang tidak menyusui bayi.Sekaligus ia membantu untuk wanita yang menyusui bayi mendapat berat ideal lebih cepat terutamanya yang menyusukan bayi secara eklusif pada 6 bulan pertama.
  • Penyusuan susu ibu juga boleh dijadikan sebagai perancang keluarga untuk ibu yang tidak datang haid semasa menyusukan bayi.Namun bagi melaksanakannya terdapat beberapa kriteria yang perlu ibu penuhi.Kaedah ini dikenali sebagai ‘Lactational Amenorrhea Method’.
  •  Bagi tempoh jangka masa panjang pula,penyusuan susu ibu membantu mengurangkan risiko mendapat Kanser Payudara,Kanser Ovari dan Kanser Rahim serta Osteoporosis(masalah Tulang Rapuh)
  • Lebih lama ibu menyusui bayi lebih rendah risiko untuk ibu mendapat penyakit jantung.

Pelbagai kelebihan penyusuan susu ibu yang dapat dimanfaatkan untuk ibu mahupun bayi.Kerana itu Perbadanan Kesihatan Sedunia(WHO) menyarakan untuk ibu menyusui bayinya secara eklusif sehingga umur bayi 6 bulan dan meneruskan penyusuan susu ibu bersama makanan pelengkap yang sesuai hingga umur 2 tahun atau lebih.