You are currently viewing FASA PENGHASILAN SUSU IBU.

FASA PENGHASILAN SUSU IBU.

Gambar menunjukkan perbezaan warna susu.

KOLOSTRUM.

Susu pertama yang dikeluarkan selepas ibu melahirkan dikenali sebagai KOLOSTRUM.Kolostrum merupakan makanan pertama yang terbaik untuk keperluan bayi yang baru dilahirkan.Kolostrum akan keluar diantara hari pertama hingga hari keempat bayi dilahirkan.

Kolostrum bukan saja berwarna kuning pekat,malahan boleh juga hadir dalam warna kuning cair,kuning-jingga,putih mahupun jernih.Ia bersifat pekat dan likat serta melekit apabila disentuh.Apabila diperah kolostrum akan meleleh dan bukannya memancut.Kolostrum akan membina satu lapisan di permukaan usus bayi yang bertindak untuk mencegah sebarang jangkitan.

Kolostrum kaya dengan antibodi seperti Immunoglobin terutamanya IgA.Antibodi ini mampu mencegah bayi dari mendapat jangkitan kuman.Kolostrum juga mempunyai Faktor Tumbesaran yang berfungsi untuk mematangkan usus dan mencegah alahan pada bayi.Kolostrum juga bersifat pelawas yang membantu bayi untuk mengeluarkan najis berwarna hitam(mekonium).Selain itu kolostrum juga mengandungi kandungan lemak dan karbohidrat yang rendah.

Walaupun kuantiti Kolostrum yang sedikit,ia masih mencukupi untuk keperluan bayi yang dilahirkan dengan perut hanya sebesar guli.Ibu disarankan untuk menyusukan bayi dengan kerap.

SUSU PERALIHAN.

Diantara hari ketiga hingga hari keempat belas,selepas fasa Kolostrum ialah fasa susu peralihan pula.Warna susu peralihan biasanya berwarna putih atau putih kekuningan.

Di fasa ini kuantiti susu akan meningkat dengan mendadak-atau ‘milks coming in’,biasanya di waktu ini ibu akan mula merasai sensasi pada payudara.Payudara mula terasa padat dengan susu atau penuh dan membengkak.Ibu juga akan mula mengalami susu keluar dari payudara dengan sendiri.Sentiasa menyusukan bayi dengan kerap amat membantu ibu melalui fasa ini terutamanya jika ibu merasai bengkak payudara.

SUSU MATANG.

Fasa susu matang akan bermula diantara hari ke sepuluh hingga hari ke empat belas.Kemudian fasa susu matang ini akan terus berlangsung hinggalah ke hari akhir ibu menyusukan bayinya.

Susu Matang mengandungi lemak yang merupakan sumber tenaga utama dalam susu ibu,ia membekalkan 50% daripada jumlah kalori untuk keperluan bayi.Sumber lemak dalam susu ibu dibekalkan daripada pemakanan ibu sendiri,,kandungan lemak tubuh ibu dan lemak yang dihasilkan sendiri dalam kelenjar payudara ibu.

Apabila ibu memulakan penyusuan,warna susu biasanya sedikit cair seakan warna putih jernih atau sedikit kebiruan.Ini kerana kandungan lemak yang lebih kurang didalam susu pada awal penyusuan.Terma bagi situasi susu ini ialah Susu Awalan atau Foremilk.Susu Awalan mempunyai lebih kandungan Laktosa(gula) di dalamnya

Manakala susu yang mengandungi lebih banyak kandungan lemak akan kelihatan lebih pekat,dikenali dengan terma Susu Akhiran atau Hindmilk,berbanding Susu Awalan tadi.

Kebanyakan lemak dalam susu ibu ialah daripada jenis Asid Lemak Tidak Tepu yang penting untuk pembentukan sistem saraf dan otak bayi.Asid Lemak Perlu juga terkandung dalam susu ibu, ia penting untuk membantu proses metabolisma tubuh bayi.Susu matang juga mengandungi kolestrol yang sama penting untuk membantu pertumbuhan otak bayi.Penyerapan lemak dalam susu ibu juga lebih mudah dengan kehadiran Enzim Lipase yang membantu penghadaman lemak tersebut.

Kerana itu ibu-ibu disarankan untuk susukan bayi dengan satu-satu payudara hingga ringan sebelum menukarnya ke payudara yang satu lagi serta menyusukan bayi dengan lekapan yang betul supaya bayi mendapat susu awalan dan susu akhiran.