Dimana Hak Penunggang Basikal?

Rentetan cerita Motivasi Kurus #1, aku dan suami masih lagi meneruskan aktiviti riadah kami. Kami menunggang basikal dari rumah sewa ke rumah kakak aku melintasi jalan-jalan utama. Kali ni aku rasa lebih confident untuk tunggang basikal di jalan raya. Takut tu tetap ada tapi motivasi untuk kurus yang meninggi mengatasi segalanya. Chewah.
Sesampai je kami di rumah kakak aku, anak-anak buah aku terutama dua yang kecil tu terus excited nak ikut berbasikal sekali. Semua terus ready dengan basikal masing-masing. Baik kakak aku yang sudah 43 tahun itu pun mahu join sama. 
Kami mulakan berbasikal di kawasan taman. Jika anda yang membaca entry ini seorang pemandu kereta, mesti pernah merasa sedikit terganggu dengan penunggang jalanan ni. Dahla slow, pastu terhegeh-hegeh pulak tu. Lagi la pulak yang bawa basikal tu makcik-makcik macam aku ni (aku memang makcik ok sebab anak buah aku sahaja sudah 20 orang. Yang sulung pun dah 24 tahun). Memang rasa macam nak ‘ter’langgar pun ada kan? Sebab dulu aku pun pernah rasa macam tu masa memandu. Tapi aku tak delah nak marah cuma rasa takut tengok penunggang motosikal atau basikal atas jalan. Bila ada peluang, cepat-cepat aku ambik jalan sebelah kanan. Elak seawal yang boleh. Tak berani nak hon, bimbang yang menunggang tu terkejut dan terbalik.
Berbalik pada kisah kami anak-beranak berbasikal. Suami aku jadi leader ‘konvoi’ berbasikal kami petang tu. Aku pulak di bahagian belakang sekali, kononnya nak pastikan semua selamat dan dalam satu barisan supaya tak menganggu pengguna jalan raya yang lain. 
“Hati-hati kereta!”, “Ke kiri sikit!”, “Slow sikit!”, “Tengok kiri kanan dulu!”. Macam tulah gamaknya aku terjerit-jerit. Aku dah tak hirau orang sekeliling nak kata apa, yang penting semua orang selamat. Tapi dalam kami sentiasa berhati-hati itu, tiba-tiba, kami dihon sebuah kereta Vios yang pemandunya seorang perempuan Cina. Aku terkejut sampai terlencong basikal yang aku tunggang. Aku tak nampak salah kami di mana. Aku pandang muka perempuan Cina tu tanpa henti. Dia tak berani balas pandangan aku tapi dengan muka yang bengis dan mulut yang terkumat-kamit (mencaci barangkali), terus membelok dengan angkuh. Huh!
Sebenarnya kami berada dalam haluan yang yang berbeza dengan kereta itu. Aku tak tahu apa masalahnya dan tak kisah pun kalau hon itu sekadar beri peringatan tapi tak perlulah disertai dengan muka sebegitu. Kalau ikutkan hati memang aku nak berhenti depan kereta dia dan tanya apa masalah dia. Tapi mengenangkan dia adalah salah seorang anak kejiranan kakak aku yang memang tiada budi bahasa, aku malas nak ambil pusing. Kami teruskan aktiviti berbasikal sehingga jam 7 petang.
Kami berhenti berehat untuk mandi dan solat maghrib. Lebih kurang pukul 8 malam, kami sambung berbasikal semula. Lampu Dynamo pada basikal dihidupkan. 
Source : Google
Kali ni lebih mencabar sebab keadaan agak gelap dan anjing berkeliaran. Bila sampai sahaja di hadapan rumah yang anjing-anjingnya mengganas, kami memecut! Lepas tu, semua pecah perut ketawa. Aku seperti biasa di belakang sekali untuk pastikan semua dalam keadaan selamat. Tapi bila nampak sahaja ada anjing, semua aku tinggalkan di belakang. Hormon adrenaline yang melampau memaksa aku tinggalkan semua. Haha.
 Source : Google 
Dalam kami tengah berseronok berbasikal tu, tiba-tiba ada sebuah motosikal yang memecut cuba melanggar anak buah aku di barisan tengah. Nyaris terlanggar! Dan perbuatan tu memang disengajakan untuk menakutkan anak-anak buah aku itu. Aku cepat-cepat amati muka budak itu. Ye, baru aku sedar yang budak lelaki itu pelajar tingkatan 3 sekolah aku yang baru sahaja aku bela dari dibuang sekolah walaupun aku tak pernah mengajar dia. Puas hari tu dia beritahu aku yang dia sudah insaf (di sekolah je agaknya). Beria-ia aku menasihati dia. Aku pasti dia tak nampak aku yang sedang mengayuh di belakang. Aku memang akan jumpa pelajar itu nanti untuk beritahu yang perbuatan dia itu salah. Gurauan yang tidak kena cara boleh bawa maut! Selepas insiden itu, kami berhenti rehat seketika. Anak buah aku meluah rasa tak puas hati dengan kejadian tadi dan masih dalam keadaan terkejut.
Kami tidak berputus asa dengan segala cabaran yang kunjung tiba. Riadah malam diteruskan. Berpusing-pusinglah kami dalam taman tu untuk beberapa kali. Dalam tak sedar, jam sudah menunjukkan pukul 9.30 malam. Kami terus berhenti mengenangkan sejuk malam sudah mula mencengkam hingga ke tulang sumsum. Aku dan suami terus berbasikal balik ke rumah yang hanya berapa ratus meter sahaja.
Sesampai di rumah, tiba-tiba aku dan suami diserang ‘angin’. Mungkin kami dah lama tak beriadah, seluruh badan jadi tak kena dan berangin. Dua jam lamanya aku terkentut-kentut. Selagi angin dalam badan tak keluar, memang tak boleh nak tido rasanya. Unfortunately suami tak berjaya lagi nak mengeluarkan segala angin yang terperangkap dalam badan. Memang suami aku dari dulu ada masalah ini. So, aku terus capai Lotion Mustajab Super Hot, urut-urut perut and pinggang suami.
 Source : Google 
Lepas beberapa minit urut, barulah suami dapat lepaskan segala angin dalam badan. Lega rasanya! Then, terlenalah kami dengan selena-lenanya malam tu.
 Source : Google 
Habis cerita berbasikal, aku nak ulas satu perkara yang aku jadikan sebagai tajuk entry ini. Hak penunggang basikal. Banyak bahaya yang kami hadapi sewaktu berbasikal. Memang agak over kot kalau aku nak kerajaan berikan kami penunggang basikal satu laluan khas sedangkan nak jumpa laluan khas untuk motosikal pun susah. Tapi ini satu realiti kan? Masyarakat kita tak suka nak beriadah bukan semuanya kerana malas, tapi kerana bimbang keselamatan di jalan raya. Bukan semua tempat ada kemudahan riadah. Kadang-kadang memang tak ada choice selain berjogging atau berbasikal sekeliling taman. Tapi, timbul pula masalah lain bila kewujudan pelari dan penunggang jalanan ni tidak mendapat ihsan pemandu jalan raya. Teringat perjuangan sekumpulan pemuda yang berjaya mendapatkan dana dalam rancangan Sejuta Impian anjuran TV3 tahun lalu. Impian kumpulan pemuda itu adalah untuk membuat kempen sambil melakukan ekspedisi berbasikal ke seluruh negara untuk menyedarkan kepada pengguna jalan raya tentang kewujudan penunggang basikal. Aku memang sokong 200% usaha mereka ini. Tapi, cukup sedarkah kita dengan masalah ini sekarang?
Sistem jalan raya di Malaysia hakikatnya tidak mesra pengguna secara keseluruhan. Memang jauhlah kalau nak dibandingkan dengan negara tertentu yang mengkhususkan satu laluan khas untuk pejalan kaki dan penunggang basikal. Bukan tidak bersyukur dengan apa yang ada sekarang. Aku akui sistem jalan raya negara kita lebih baik berbanding beberapa negara lain di dunia. Tapi, alangkah baiknya jika jalan raya di Malaysia ini lebih mesra semua pengguna dan lebih 1 Malaysia (sudah cukupkah jati diri 1 Malaysia kita bila berada di jalan raya?). Jika di highway, kita selalu lihat penunggang motosikal akan melalui lorong kecemasan. Siapa bilang lorong kecemasan itu untuk penunggang motosikal? Tapi inilah yang sering kita lihat. Mereka tiada pilihan. Bila mereka berada di tengan jalan, tambahan motosikal yang ditunggang hanyalah beberapa cc, kebanyakan pemandu lain akan menghon dan bilang mereka tidak sedar diri untuk berada di tengah jalan kerana mereka tidak perlu membayar tol. Aku pernah lalui keadaan ini bila mana aku menunggang motosikal Honda Wave 100R di lorong kiri highway dari Kajang ke Tanjung Malim pada pertengahan 2007. Pantang ke tengah sikit, pasti aku dihon dan disuruh ke tepi. Lepas tu, setiap pemandu kereta yang memotong akan mencaci sambil menuding-nuding jari dan tangan kepada aku menyatakan tanda provokasi mereka ketika itu. Waktu itu, aku tiada pilihan selain berada di tengah jalan kerana permukaan jalan di lorong kecemasan tidak rata dan berlubang-lubang. Lagi pula aku selalu ingat pesan cikgu memandu aku supaya berada di atas jalan, bukan di tepi jalan dan jangan abaikan keselamatan sendiri. Aku biarkan sahaja kebanyakan mereka yang tidak tahu akan undang-undang ini kerana Allah itu Maha Adil bukan? Jika mereka sekarang selalu berkelakuan sebegini di atas jalan raya, berkira ruang yang sepatutnya dikongsi bersama, esok lusa bila mereka berada dalam kesusahan, hati mana yang akan dibukakan Allah untuk membantu mereka? Fikir-fikirkanlah. What you give, you get back. Teringat juga satu kata-kata, “Untuk mengetahui sikap sebenar seseorang, lihatlah sikapnya ketika dia sedang memandu”.
Jadi, sebagai pengguna jalan raya yang berhemah, fikirkanlah tentang orang lain yang juga menggunakan jalan raya tidak kiralah siapa mereka atau status mereka. Fikirkan hak bersama. Nasihat ini aku tujukan untuk diri sendiri juga kerana dalam kebanyakan waktu, aku adalah seorang pemandu kereta. Berfikirlah sebelum bertindak. Mulakanlah hari-hari bekerja anda dengan senyuman tanpa keluh kesah di pagi hari dan yang paling penting, berhati-hatilah ketika memandu. Ingat mereka yang tersayang 🙂

This Post Has 2 Comments

  1. Anonymous

    Salam Pn, tumpang tanya, mana nak beli basikal yang ada 3 seat tu?..TQ 🙂

  2. Feed by Ummi Najla

    Beli di kedai basikal. Kami beli yang terpakai 🙂

Comments are closed.