Bersedekahlah, Insya-Allah Rezeki Bertambah

Tentu semua pernah dengar tentang kelebihan bersedekah. Saya juga.

Suka saya untuk berkongsi tentang kisah seorang hamba Allah yang begitu dekat di hati saya. Tentu sekali cerita ini berkaitan dengan sedekah.

Amna (bukan nama sebenar), dan suaminya, bukanlah mereka yang tergolong dalam kumpulan yang berada. Pendapatan mereka suami isteri tiada beza pun dengan pendapatan suami isteri lain yang bekerja. Namun kehidupan mereka cukup bahagia. Cukup lengkap dan sentiasa berkecukupan. Tidak berlebih-lebihan. Malah dengan pendapatan tidak seberapa itu juga cukup untuk menyara keluarga kecil mereka malah mereka dapat membantu adik-beradik dan ibu bapa.

Dipendekkan cerita,suatu hari amna dan suaminya perlu melunaskan hutang sebanyak 10 ribu. Hasil pendapatan mereka berdua setelah ditolak segala perbelanjaan cuma berbaki 1 ribu sahaja. Manalah nak dicari baki 9 ribu itu. Mujur amna punyai barang kemas. Amna membuat pinjaman di Ar-Rahnu dengan memajak barang-barang kemas itu. Pinjaman yang diberi cuma 6 ribu. Bila dicampur dengan 1 ribu tadi, genaplah 7 ribu. Bermakna mereka kekurangan lagi 3 ribu. Amna dan suaminya mengambil keputusan untuk memohon agar dilanjutkan tempoh bayaran hutang itu sehingga bulan depan. Tanpa diduga, rezeki Allah itu datang tiba-tiba. Mereka suami isteri telah menerima bantuan pinjaman dari seorang hamba Allah sebanyak 3 ribu. Maka, cukupla duit mereka untuk melunaskan hutang tanpa perlu melanjutkan tempoh pembayaran.

Mereka suami isteri tidak mengambil masa yang lama untuk membayar kembali pinjaman Ar-Rahnu dan 3 ribu tadi. Setelah ditolak semua bayaran hutang, mereka ada lebihan 2 ribu. Amna dan suami sangat bersyukur. Sewaktu dia begitu kesempitan, Allah berikan bantuan. Kemudian, setelah dia melunaskan segala yang dipinjam, Allah tambahkan pula rezeki yang lain. Bukan semakin berkurang, malah bertambah duit mereka.

Bila ditanya tentang hal ini, mereka suami isteri yakin, inilah rezeki dan kebaikan yang Allah SWT balas atas sedekah yang mereka lakukan selama ini. Bantuan yang diberi dalam bentuk wang ringgit, pakaian, perkhidmatan, dan makanan kepada orang lain dianggap mereka sebagai suatu sedekah. Kerana kebaikan mereka itu terutamanya dalam melepaskan beban yang ditanggung oleh orang lain, kerap kali berbalas kebaikan oleh Allah. Dan yang memberi kebaikan kepada mereka bukan orang yang ditolong dahulu, tetapi orang lain pula. Kata Amna, “Ikhlaskanlah hati ketika membantu orang lain. Jangan harapkan sebarang balasan. Cukuplah Allah yang menilai semua itu. Insya-Allah, kebaikan itu kadangkala dibalas oleh orang lain yang tak pernah kita tolong. Kerana mereka telah digerakkan hati untuk membantu kita oleh Allah.”

Bukan sekali Amna mengalami situasi di atas. Acapkali. Rezeki amna dan suami tak pernah putus. Sentiasa ada. Malah mereka tak pernah meminta-minta. Mereka juga mampu memiliki rumah sendiri dalam usia yang begitu muda. Bila ditanya tentang berapa lama mereka kumpul deposit untuk dibayar, mereka jawab, “Tak tahulah. Tak pernah kumpul. Tapi Alhamdulillah rezeki sentiasa ada. Bayar sikit demi sikit sampailah cukup 15 ribu. Rezeki anak-anak.”

Saya berharap peribadi amna dan suami dapat saya contohi selalu. Teringat petikan suatu cerita dari sebuah buku yang saya baca:

“Jika kita ikhlas bekerja kerana Allah, walau kita tidak pernah dinaikkan pangkat dan tiada manusia yang menilai segala usaha kita, cukuplah kita ada Allah yang menjadi penilai Yang Maha Adil. Kebaikan itu tidak semestinya dibalas di tempat kerja juga. Kadangkala Allah kurniakan kebaikan yang lain seperti kebahagiaan rumah tangga, anak-anak yang berjaya, rezeki yang tidak pernah putus, dan sebagainya. Jadi, usahla gusar jika kebaikan kita tidak dihargai manusia kerana Dia sudah menghitung kesemuanya.”

Sent from my email