Berputiknya cinta di Madinah (Umrah Part 2)

Assalammualaikum w.b.t
Perjalanan dari Jeddah ke Madinah mengambil masa 6 jam, menyusuri jalan raya yang luas di mana kiri kanan jalan hanyalah gunung-ganang dan padang pasir yang tandus. Sekali sekala akan terlihat kelibat beberapa ekor kambing sedang berteduh di bawah pohon kurma yang rendang. Mata aku susah nak terlelap. Aku terlalu diulit dengan lukisan Allah yang maha cantik itu. Segala-galanya adalah batu-batuan dan pasir. Sepanjang perjalanan, hanya sekali sekala baru ternampak beberapa kedai atau petrol station yang setiap satu berbatu-batu jaraknya. Kehangatan cuaca panas mula terasa hingga ke dalam bas. Dalam tidak sedar, aku terlelap untuk beberapa jam sehinggalah kami memasuki kota Madinah.



Pemandangan dari dalam bas

Dalam keadaan masih mengantuk, aku terjaga bila mutawif kami mengumumkan bahawa kami bakal memasuki tanah suci Madinah. Aku terkejut bila nampak bangunan canggih penuh kiri kanan. Dari sebuah lembah yang tandus, tiba-tiba wujud pembangunan yang begitu pesat buat aku rasa terkagum. Bila menyusuri bangunan-bangunan hotel, tiba-tiba aku ternampak payung masjid Nabawi. Dari celah-celah bangunan, aku dapat lihat keindahan Nabawi dari dalam bas. Aku rasa begitu teruja. Walau belum jejakkan lagi kaki ke sana, aku sudah nampak keindahannya dari jauh. Aku seperti mahu menangis. Sejak di Jeddah, aku masih belum percaya yang aku sudah berada di rantau orang. Bila sahaja terlihat Nabawi, baru aku percaya. Ye, aku sudah di Kota Madinah. Ya Allah, semalamnya aku masih lagi di rumah menanda kertas soalan. Hari ini aku sudah berada di kota kecintaan Rasulullah SAW. Subhanallah!

Kami terus check in di Hotel Sofraa al Huda. Waktu tu lebih kurang pukul 6 petang kalau ikut waktu di Madinah. Kalau di Malaysia sudah pukul 11 malam. Aku dan Kak Una sebilik dan kami juga mendapat 2 rakan sebilik yang lain; Kak Su dan anak perempuannya, Sabiha atau aku panggil Biha sahaja. Tah macam mana, biras Kak Su pun sebilik dengan kami. Tapi itu tak menjadi satu masalah besar sebab kami berlima seperti satu keluarga. Kami sangat akrab dan mesra sehingga ke hari ini. Hari pertama di Madinah aku habiskan dengan tidur sahaja kerana tidak boleh solat sampai makan malam pun aku terbabas.

Esoknya aku terjaga pukul 2.30 pagi. Aku terus telefon Kak Mahari, isteri mutawif kami merangkap ex-schoolmate aku dulu. Aku yakin aku telah suci hari tu. Aku minta Kak Mahari tunggu aku untuk ke Masjid Nabawi bagi menunaikan solat subuh. Aku tinggalkan handphone dan kamera di bilik kerana aku dengar, di masjid Nabawi kawalan tersangat ketat.
Jarak hotel dan masjid cuma 50 meter. Hati aku berdebar. Rasa tak sabar nak melangkah ke sana. Bila sahaja aku melihat ribuan tiang di Nabawi, aku terpana. Bukannya aku tak pernah melihat bangunan secantik itu, tapi keindahan Nabawi memang sukar digambar. Barangkali aku sudah jatuh cinta pada Nabawi!
Waktu fajr di sana masuk pada pukul 4.12 pagi. Walaupun kami tiba awal, namun masjid sudah dipenuhi ribuan manusia. Aku terus menyusul Kak Mahari menuju ke ruang solat wanita. Setibanya di pintu, kelihatan beberapa wanita arab yang lengkap berpakaian abaya memeriksa setiap beg jemaah wanita. Setiap beg diperiksa satu persatu. Sesiapa yang membawa handphone dan kamera akan dirampas atau dilarang dari memasuki masjid. Uniknya mereka berkomunikasi dalam bahasa Indonesia. Bila sahaja jemaah yang bertelekung putih meluru masuk tanpa melalui pemeriksaan, pasti pegawai wanita arab itu akan menjerit, “Sabar ibu! Sabar ibu! Sini ibu, sini!”. Aku sekadar menghormati peraturan yang diberikan. Tidak mahu mengambil risiko walau aku tahu ada cara untuk melepasi sekatan itu dengan membawa handphone atau kamera. Bagaimana? Anda tahu jawapannya :).
Bila sahaja sudah memasuki Nabawi, kami terus menuju ke deretan tong air zamzam. Aku terus mengambil cawan plastik pakai buang yang tersedia dan minum. Subhanallah, sedapnya! Hakikat rasa air zamzam yang sebenar memang sedap. Lebih sedap dari rasa susu segar. Barangkali kerana di tanah suci, keenakan rasanya terpelihara. Aku segera menunaikan solat tahiyatul masjid. Acapkali aku terlupa untuk segera bertahiyatul apabila aku terus sahaja melabuhkan punggung. Banyak hal ibadat sunat aku pelajari dari Kak Mahari terutama solat sunat mua’kad yang jarang sekali aku amalkan. Tidak lupa juga solat sunat jenazah yang kami laksanakan setiap waktu di sana kerana pasti ada sahaja jenazah yang akan disolatkan di masjid Nabawi.
Sabda Rasulullah SAW,
“Barangsiapa yang mengerjakan solat jenazah akan mendapat pahala sebesar bukit Uhud dan sesiapa yang mngiringi jenazah akan mendapat pahala sebesar dua bukit Uhud.” 
Sementara menanti subuh, buat pertama kalinya aku bertahajud di masjid yang telah Allah SWT janjikan ganjaran pahala setiap ibadat sebanyak 1000 darjat. Terasa betapa hina dan rendahnya diri mengenangkan aku hamba yang banyak dosa. Dan terasa sayu bila dapat menunaikan subuh yang pertama di masjid Nabawi secara berjemaah.
Usai solat subuh, kami bergegas pulang. Bila sahaja melewati pintu keluar masjid, dari jauh aku sudah melihat betapa ribuan manusia berkerumun di luar. Aku kaget. Terus aku tanya Kak Mahari. Spontan Kak Mahari menjawab, “Jom cuci mata”. Rupa-rupanya penjaja jalanan sedang melelong jubah, selendang, tudung, kopiah dan bermacam lagi. Mungkin kerana aku terlalu berhati-hati, aku jadi sangsi untuk membeli dengan penjaja jalanan yang rata-rata adalah warga Afrika. Kerana setahu aku, mereka tiada lesen dan bila sahaja polis Madinah meronda, mereka akan bertempiaran lari. Tapi menurut Kak Mahari, kalau nak membeli dengan mereka, pastikan sedia wang kecil secukupnya sebab ditakuti kalau ada polis, mereka terus lari dengan duit-duit kita sekali. Ambil barang dulu baru bayar duit. Begitulah caranya kalau mahu selamat. Selepas aku tahu caranya, aku ada juga beli selendang pashmina, kopiah, jubah lelaki, stoking, dan sejadah dari mereka. Aku tidak membeli-belah sangat di Madinah walau sudah diwar-war Kota Madinah sebagai syurga membeli-belah. Mungkin kerana aku sendiri di sana, tiada Edy. Jadi bekalan duit perlu diguna sebaiknya. Apa yang aku beli kebanyakkannya adalah sebagai hadiah untuk keluarga tercinta.

Purdah yang aku pakai untuk mengelakkan debu halus dan cuaca panas. Harga purdah ini ialah SR5. Di belakang aku adalah sebahagian penjaja jalanan. Gambar ini diambil lebih kurang pukul 11 pagi waktu Madinah.
Hari kedua di Madinah, kami telah menziarahi 3 buah masjid iaitu Masjid Quba’, Masjid Qiblatain, dan Masjid Tujuh. Masjid pertama yang kami kunjungi ialah Masjid Quba’.

Sabda Rasulullah SAW,

“Barangsiapa yang berwudhuk dari rumahnya, kemudian mengerjakan solat sunat dua rakaat di Masjid Quba’, maka dia beroleh pahala satu umrah.”

Maka, sebelum melakukan ziarah, kami telah berwudhuk sedari hotel untuk mendapatkan fadhilat yang dijanjikan itu. Insya-Allah.

Selepas itu, tanpa berlengah kami terus mengunjungi Masjid Qiblatain. Qiblatain bermaksud dua kiblat. Pada awal permulaan Islam, Masjid Al-Aqsa di Baitulmaqdis adalah kiblat bagi orang Islam. Orang-orang Yahudi sangat gembira dengan tindakan Rasulullah SAW dan orang Islam berkiblatkan Baitulmaqdis. Mereka akan menyindir baginda dengan berkata, “Muhammad menentang ajaran kita, tapi solat ikut kiblat kita.” Namun jauh di sudut hati baginda sangat berharap agar suatu hari nanti Allah akan menurunkan perintah supaya arah kiblat ditukar ke Kaabah. Akhirnya selepas 16 bulan, Allah menurunkan ayat 144 surah Al-Baqarah yang memerintahkan supaya arah kiblat ditukarkan ke Makkah. Salah seorang sahabat yang menjadi saksi kepada peristiwa bersejarah ini adalah Barra Bin Aziz r.a. Kejadian itu berlaku sewaktu Rasulullah dan para sahabat sedang bersolat asar. Setelah turun ayat tersebut, beliau menghentikan sementara solatnya kemudian berpusing 180 darjah dan meneruskan solat dengan memindahkan kiblat ke arah kaabah. Makmum yang lain turut mengikut tingkah laku Rasulullah SAW berpindah arah kiblat.

Seterusnya kami telah berkunjung ke bukit Uhud di mana satu peristiwa penting dalam sejarah Islam telah berlaku. Iaitu peperangan dahsyat di antara pasukan Islam yang dipimpin Rasulullah SAW  dengan pasukan kafir Quraisy Makkah yang dipimpin oleh Abu Sufyan. Kawasan di hadapan bukit Uhud itu telah menyaksikan pasukan Islam yang hanya berjumlah 700 orang itu bertempur habis-habisan dengan pasukan kafir Quraisy yang berjumlah 3000 orang. Seramai 70 orang pasukan Islam telah gugur syahid. Antaranya, Hamzah bin Abdul Muttalib, bapa saudara Rasulullah.

Sabda Rasulullah SAW,

“Jabal Uhud ini adalah satu bukit daripada bukit-bukit syurga.”

Aku seperti tak percaya aku sudah berada di bekas tapak peperangan itu. Kami terus mendoakan 70 para syuhada di kawasan perkuburan Uhud.

Kawasan perkuburan Uhud.
Di belakang adalah Jabal Uhud (Bukit Uhud).

Selepas itu, kami sekadar melewati Masjid Tujuh. Dahulunya masjid tujuh ini merupakan tujuh pusat kawalan tentera Islam sewaktu perang Ahzab. Sewaktu tentera Islam berkawal, mereka bersolat di tempat kawalan masing-masing.

Bas yang membawa kami kemudiannya terus ke ladang kurma. Pada awalnya aku banyak menghabiskan duit berbelanja di sini. Tapi rupanya, ladang kurma ini merupakan tempat jualan yang agak mahal berbanding Pasar Kurma yang berada di utara Masjid Nabawi. Jadi sesiapa yang ingin memborong kurma, usahlah beli di ladang kurma. Pergilah ke Pasar Kurma kerana di situ harganya 2 kali lebih murah berbanding ladang kurma.

Di ladang kurma

Paling aku tak boleh lupakan ialah pengalaman di Raudhah. Raudhah merupakan tempat di mana Rasulullah SAW dan dua sahabat baginda Sayidina Abu Bakar r.a. dan Sayidina Umar r.a. dimakamkan. 



Raudhah
Source: Google
Sabda Rasulullah SAW, 
“Ruang di antara rumahku dan mimbarku adalah satu taman daripada taman-taman syurga.” 
Tidak hairanlah jika umat Islam dari segala pelusuk dunia sanggup berebut-rebut untuk beribadah di Raudhah. Tidak ketinggalan aku yang masih tidak dapat membayangkan keadaan Raudhah pada awalnya. Kali pertama aku ingin ke Raudhah, adalah pada hari ketiga di Madinah iaitu selepas waktu subuh, lebih kurang pukul 7 pagi. Selepas bersarapan di hotel dan berwudhuk, kami mengunjungi semula Masjid Nabawi. Jemaah wanita dikumpulkan mengikut kelompok bahasa yang hampir sama; Arab, Indonesia, Pakistan, India. Kami jemaah Malaysia dikumpulkan bersama-sama warga Indonesia, Singapura, dan Brunei. Sementara menanti giliran, seorang ustazah Indonesia memberikan tazkirah ringkas tentang Raudhah. Setelah beberapa lama menunggu dan mengikut giliran, kelompok jemaah mula bergerak ke Raudhah. Sampai sahaja di ruang hadapan Raudhah, aku jadi terpaku dengan gelagat jemaah kelompok lain yang begitu riuh sewaktu melangkaui ruang Raudhah. Keadaan seolah-olah jadi tak terkawal. Kelompok jemaah kami adalah giliran ketiga yang memasuki ruang Raudhah. Waktu itu baru aku faham kenapa suasana begitu riuh sebentar tadi. Ruang Raudhah yang tidak terlalu besar itu menjadi rebutan ribuan jemaah. Ruang jemaah wanita telah dipisahkan dari jemaah lelaki menjadikan ruang kawasan Raudhah menjadi semakin kecil. Sangat mendukacitakan apabila keharmonian dan peradaban di antara jemaah yang semakin hilang pertimbangan mencemarkan kesucian Raudhah. Kelompok jemaah sebelumnya yang tidak mahu berganjak keluar menjadikan ruang di Raudhah semakin sesak. Jemaah berasak-asak menolak di antara satu sama lain. Aku maju ke hadapan tanpa berjalan sendiri kerana dari awal aku sudah diasak. Apa yang mampu aku lakukan hanyalah berdoa pada Allah SWT agar diberi kesempatann dan ruang untuk beribadah. Sambil itu, aku sempat membantu jemaah Malaysia yang hampir terjatuh ditolak dan nyaris dipijak oleh jemaah lain. Selepas beberapa ketika, tiba-tiba aku sudah berada di barisan hadapan Raudhah, di mana ruang itu benar-benar berada di antara makam Rasulullah SAW dan mimbarnya. Aku segera menunaikan solat hajat 2 rakaat. Solat dan doaku tidak lama kerana ramai yang sudah menunggu di belakang. Aku segera keluar usai solat dan mencari ruang solat di bawah mimbar nabi pula. Di ruang inilah baru aku dapat menunaikan solat sunat dengan tenang. Masa di Raudhah aku manfaatkan sepenuhnya dengan berdoa dan bersolat sunat. Tidak lupa juga aku mengirimkan salam kepada Rasulullah SAW dan para sahabat dari rakan-rakan dan ahli keluarga. Kebanyakan jemaah terus berteleku di ruang lain yang ada sehinggalah semua jemaah diarahkan keluar. Aku berpeluang melaksanakan ibadat di Raudhah sebanyak dua kali. Ada jemaah yang mendapat lebih dari itu. Semoga Allah SWT memakbulkan doa-doa kami dan mengampunkan segala dosa kami.
Banyak perkara yang baru bagi aku sewaktu di Raudhah, antaranya aku sempat memerhatikan sekelompok jemaah yang begitu taksub bergantungan di pagar makam Rasulullah SAW. Sambil itu, ada yang meraung-raung di makam baginda. Ada juga yang nekad menulis nama di tabir putih keliling Raudhah dengan harapan mereka dapat berkunjung semula ke situ. Apa yang mereka lakukan itu semua hanyalah bida’ah. Menurut mutawif kami, kerajaan Arab Saudi sebolehnya cuba menghapuskan kesan-kesan sejarah terdahulu kerana masyarakat Arab terlalu taksub dan mempercayai tempat suci tersebut akan membawa keberkatan dalam hidup mereka jika dipuja atau diambil sebahagian tanah dan pasirnya. Banyak monumen sejarah yang telah diganti dengan bangunan baharu. Hinggakan pagar tinggi terpaksa dipasang di makam Rasulullah SAW dan sahabat baginda untuk mengelakkan perkara-perkara sebegini.
Hari terakhir di Madinah merupakan saat yang paling sayu buat aku. Sejak semalamnya aku sudah siap mengemas luggage bag kerana ingin menumpukan sepenuhnya pada ibadat sebelum meninggalkan Nabawi. Sewaktu berkunjung ke Raudhah, aku menyampaikan salam kepada Rasulullah dan sahabat baginda. Aku juga turut berdoa agar diberi kesempatan lain untuk datang lagi ke Madinah sebagai tetamu Allah SWT. Kami terus bersiap-siap dan mandi sunat ihram sebelum meninggalkan Madinah. Luggagge bag telah diturunkan oleh pekerja hotel. Kami sempat merakamkan gambar bersama kumpulan jemaah kami sebelum meninggalkan hotel. Banyak keindahan dan kecantikan Kota Madinah yang masih tersemat segar dalam memori aku sehingga kini. Bila sahaja bas berlalu pergi, tiba-tiba sahaja air mata aku keluar laju sewaktu melihat masjid Nabawi dari jauh. Entah kenapa, aku bercita-cita tinggi untuk berkunjung lagi dan mati di sana. Kerana telah disarankan oleh Rasulullah SAW agar setiap umat baginda yang berkunjung ke sana supaya bercita-cita untuk mati di Madinah.
Sabda Rasulullah SAW,
“Sesiapa yang mampu untuk mati di Madinah, maka lakukanlah. Sesungguhnya aku akan memberi syafaat di akhirat untuk mereka yang mati di Madinah.”
Destinasi perjalanan kami seterusnya adalah menuju ke Bir ‘Ali bagi berniat ihram di sana sebelum memasuki Kota Mekah kerana salah satu syarat wajib sebelum memasuki Makkah Al-Mukarramah adalah dalam keadaan berihram. Jarak Bir ‘Ali dari Kota Madinah lebih kurang 20 minit. Terdapat sebuah masjid yang besar untuk para jemaah menunaikan solat sunat ihram sebelum berniat ihram. Apabila telah berniat ihram, maka terjatuhlah ke atas kami 13 perkara yang haram dilakukan sehinggalah kami selesai bertahallul nanti. Sebelum menyambung perjalanan, kesemua jemaah wanita bersalaman memohon maaf atas segala kesilapan yang barangkali tidak disedari selama kami berkenalan sejak 4 hari lalu. Perjalanan ke Kota Mekah mengambil masa lebih kuran 6 jam lamanya. Kami terus bertalbiah sehinggalah masing-masing terlelap kerana keletihan. Aku terus dalam debaran untuk menunaikan umrah wajib yang pertama dalam hidup ini. Bayangan Kaabah terus datang bertalu-talu. Dalam waktu aku berfikir-fikir itu, tanpa sedar aku juga hanyut dalam mimpi.
Insya-Allah sampai sini dahulu catatan pengalaman perjalanan aku di Madinah. Banyak sangat yang ingin diceritakan tapi rasanya biarlah aku tutup di sini dahulu. Insya-Allah akan ada entry berikutnya tentang pengalaman menunaikan ibadat dan umrah di Makkah al-Mukarramah pula. Semoga perjalanan penulisan ini diberkati-Nya. Minta maaf atas segala kekhilafan ilmu dalam catatan ini. Aku tinggalkan entry ini dengan beberapa lagi gambar di Madinah.

Di dataran berhadapan Masjid Nabawi.

Kak Una, Kak Mahari dan aku.

Solat jamak zohor dan asar terakhir sebelum meninggalkan Madinah.
Di belakang ialah pintu masuk ruang solat wanita di masjid Nabawi.

 Sebahagian kumpulan jemaah kami di lobby hotel.



This Post Has 4 Comments

  1. mummycda

    Alhamdullilah rezki ummi dapat p tanah suci….terasa nikmat kan….bila la ida dapat pi…harap2 ada la rezki nanti 🙂

  2. Feed by Ummi Najla

    Alhamdulillah ida. Mungkin sudah sampai waktu untuk saya. InsyaAllah bila kita bercita-cita ke sana, Allah akan makbulkan jua 🙂

  3. FaaFalina

    AS-salam ummi,
    Ummi!! seronoknya dapat berkunjung ke rumah Allah! Ini pertama kali untuk ummi ke? Bila baca tulisan ummi, rasa macam tengah baca novel Habiburrahman El-Shirazy pulak. Hehehe. Fa pulak rasa macam nak ke sana bila baca catatan ummi. Tapi maklumlah, simpanan ke sana belum cukup dan banyak lagi tanggunjawab-tanggungjawab yang perlu dibereskan.

    Tak sabar nak tunggu entry seterusnya. 🙂

  4. Feed by Ummi Najla

    Wassalam Fa. Haah, ini kali pertama saya ke tanah suci. Tak sangka ye Fa kita meminati penulis novel yang sama. Saya pun suka sangat baca novel-novel Habiburrahman. Tapi jauh sekali lah Fa penulisan saya dengan hasil dia. Macam langit dengan bumi. Saya masih amatur, merangkak-rangkak lagi nak menulis. Hihi.

    Saya pun tak sangka Fa dapat ke tanah suci sebab memang tak menyimpan langsung. Tapi tulah orang bilang, sudah dijemput Allah. Bila sudah sampai masa, tak ada siapa boleh menghalang. Tak salah bercita-cita untuk ke sana lagi, kan :).

    Insya-Allah ada idea nanti, adalah entry baru tentang pengalaman umrah saya. Thanks Fa sudi membaca 🙂

Comments are closed.