You are currently viewing Apa Bakal  Ibu Ayah Perlu Tahu Sebelum Memulakan Penyusuan?

Apa Bakal  Ibu Ayah Perlu Tahu Sebelum Memulakan Penyusuan?

Menyusukan dengan susu ibu sendiri pastinya menjadi impian dan cita-cita setiap ibu ayah buat bayi yang dinanti-nantikan.Kali ini kami kongsikan 5 perkara yang bakal ibu ayah perlu tahu mengenai penyusuan susu ibu sebelum anda menghadapinya sendiri.

1.TUBUH ANDA MEMPERSIAPKAN DIRI ANDA UNTUK MELALUI PROSES PENYUSUAN.

Semasa hamil ibu akan merasai perubahan pada tubuh badan dari minggu awal kehamilan lagi.Perubahan ini akan berlaku secara berperingkat dari trimester pertama hingga trimester ketiga

Antara perubahan yang berlaku seperti ukuran payudara bertambah, tampuk hitam pada payudara semakin melebar dan lebih gelap serta payudara rasa berat atau penuh.Perubahan yang berlaku ini adalah kerana tindak balas hormon semasa hamil.Ini juga sebagai tanda yang sebenarnya tubuh anda sedang mempersiapkan diri anda untuk melalui proses penyusuan selepas melahirkan nanti.

2.SOKONGAN DARI ORANG YANG TEPAT.

Berita kehamilan pastinya seronok jika dikongsikan bersama keluarga serta sahabat handai.Anda juga pasti teruja untuk mengetahui lebih lagi mengenai penyusuan dari teman terdekat anda,lebih lagi jika mereka berpengalaman berjaya menyusukan bayi.Dapatkan sokongan yang tepat dari ahli keluarga serta rakan-rakan anda yang menyusukan bayi sepenuhnya dengan susu ibu.

Anda juga boleh sertai kumpulan penyusuan yang mendukung penyusuan susu ibu sama ada aktif mengadakan perjumpaan secara bersemuka atau perbincangan secara maya di atas talian.Sokongan dan tips dari kenalan dalam kumpulan sebegini pastinya tidak membiarkan ibu rasa keseorangan.

3.MANFAATKAN WAKTU HAMIL UNTUK PERSIAPKAN DIRI.

Sejurus lahir,bayi sudah perlu disusukan.Jadi semasa hamil adalah waktu yang tepat untuk anda mendalami dan memahami akan ilmu penyusuan.Penyusuan bukan sekadar ‘selak dan sua’.

‘Bagaimana untuk mengetahui bayi mendapat susu yang cukup?’

‘Bagaimana untuk atasi bengkak payudara?’

Ini antara contoh persoalan yang sentiasa menerjah ke fikiran ibu-ibu baru.Pelbagai teknik dan tips penyusuan anda boleh pelajari seawal mungkin.Pastinya dengan ilmu yang tepat ia sangat membantu anda untuk memulakan perjalanan penyusuan anda dengan lebih mudah.Sertai kelas/webinar/kursus penyusuan yang dianjurkan.

4.PENYUSUAN IALAH KEMAHIRAN YANG PERLUKAN BIMBINGAN.

Penyusuan adalah satu kemahiran yang perlukan praktis dan ia bukannya hadir secara natural.Untuk mahirkan diri,ibu mungkin akan melalui beberapa cabaran.

Baik ibu mahupun bayi,kedua-duanya memerlukan bimbingan antara satu sama lain untuk mendapatkan teknik penyusuan yang tepat.Walaupun ibu telah mengetahui beberapa teknik dan tips dari kelas penyusuan,namun adakalanya ibu masih memerlukan pendapat profesional seperti Kaunselor Laktasi.Jadi simpan satu nombor Kaunselor Laktasi berdekatan anda,mungkin anda memerlukannya nanti.

5.PERANAN SUAMI DALAM MENJAYAKAN PENYUSUAN.

Walaupun menyusukan bayi adalah tugas isteri,namun suami mempunyai peranan yang sangat besar dalam menjayakan perjalanan penyusuan.Luangkan masa untuk sama-sama mempelajari teknik dan tips penyusuan yang isteri sertai.Temani isteri jika pada waktu malam isteri perlu berjaga menyusukan bayi.Sentiasa beri ruang untuk anda sama-sama pelajari cara menguruskan bayi anda bersama.Pastinya isteri merasakan dia tidak keseorangan dalam memenuhi keperluan bayi.

Kelahiran dan penyusuan juga memberi impak yang sangat besar dalam kehidupan isteri,bukan saja perubahan bentuk tubuh,malahan rutin harian isteri anda juga.Sudah tentu hal ini adakalanya agak memenatkan buat isteri.Pinjamkan sebentar telinga dan bahu anda untuk mendengar segala luahan yang terbuku di benak sang isteri.Pastinya si dia akan lebih lega selepas itu.

Semoga 5 Perkara yang kami kongsikan ini dapat memberi sedikit gambaran untuk anda mempersiapkan diri bagi menempuhi perjalanan penyusuan yang bakal anda corakkan.