You are currently viewing APA ANDA PERLU TAHU MENGENAI ‘TONGUE TIE’?

APA ANDA PERLU TAHU MENGENAI ‘TONGUE TIE’?

Secara umumnya kita mengetahui yang penyusuan susu ibu sangat berkait rapat dengan pelekapan bayi pada payudara dengan tepat.Tapi tahukah anda terdapat satu keadaan dimana keadaan dalam mulut bayi boleh mengganggu bayi untuk mendapatkan pelekapan sekaligus boleh mengganggu proses penyusuan susu ibu.

 Ya,kami bakal kongsikan mengenai TONGUE TIE kali ini!Tongue Tie atau lebih sinonim dengan istilah lidah pendek bagi masyarakat Malaysia sebenarnya adalah keadaan dimana tisu,lingual frenulum, yang terdapat pada bawah lidah bayi agak tebal,pendek atau terlalu rapat dengan bawah mulut bayi.Keadaan tisu tersebut membuatkan lidah bayi sukar untuk mendapatkan lekapan yang betul,ia membuatkan penyusuan adakala sangat mencabar buat ibu mahupun bayi.

Tanda-tanda.

Tanda pada lidah bayi,

  • Lidah bayi terbatas untuk bergerak ke kiri dan ke kanan.
  • Bayi tidak boleh menjulurkan lidahnya keluar.
  • Hujung lidah bayi berbentuk hati(heart shape) semasa dijelir keluar.
Hujung lidah berbentuk hati.

Tongue Tie biasanya dikategorikan dari sederhana hingga teruk atau ada yang  menggunakan istilah Type 1-4(jenis 1-4) mengikut Penilaian Kotlow(Kotlow Diagnostic Criteria).Seawal selepas dilahirkan lagi bayi anda boleh dikenalpasti sama ada mempunyai Tongue Tie atau tidak.Antara tanda Tongue Tie yang mungkin anda atau bayi alami semasa penyusuan ialah,

Tanda pada bayi.

  • Bayi menolak untuk disusukan.
  • Bayi tidak melekap dengan betul.
  • Bayi menyusu dengan sangat kerap.
  • Bayi menyusu dalam tempoh yang agak lama dan masih mahukan susu apabila dilepaskan seakan tidak kenyang.
  • Turun atau kenaikan berat yang sangat perlahan.
  • Bayi kerap kembung.
  • Susu meleleh keluar dari tepi bibir apabila menyusu pada payudara,juga boleh berlaku pada bayi yang minum melalui botol.
  • Bayi mengeluarkan bunyi ‘click’ semasa menyusu.

Tanda pada ibu.

  • Berasa tidak selesa atau sakit semasa menyusukan bayi.
  • Trauma untuk menyusukan bayi kerana berasa sakit.
  • Luka,melecet atau lepuh pada payudara.
  • Kerap mengalami sumbatan pada payudara.
  • Susu semakin berkurangan-kesan dari bayi yang tidak dapat mengeluarkan susu dengan efektif kerana lekapan yang tidak tepat disebabkan adanya Tongue Tie.

Tidak semua bayi dan ibu yang bayinya mempunyai Tongue Tie mengalami kesukaran semasa proses menyusukan,ada yang tidak merasai kesukaran.Bayi dapat melekap dengan baik,susu dapat dikeluarkan dengan efisien dan berat bayi naik dengan baik.

Prosedur pemotongan pada Lingual Frenulum.

Jika anda khuatir bayi anda mempunyai Tongue Tie,dapatkan pandangan dari Kaunselor Laktasi,beberapa posisi atau teknik penyusuan mungkin dapat dikongsikan bersama anda bagi terus menyusukan bayi.Atau dapatkan pandangan dari Doktor yang menawarkan prosedur pemotongan tisu lingual frenulum tersebut, jika perlu Doktor akan menyarankan bayi anda melakukan prosedur pemotongan tersebut secepat mungkin bagi membantu bayi untuk melekap  pada payudara dengan lebih baik.Kajian menunjukkan bayi yang mempunyai Tongue Tie lebih mudah dan berjaya disusukan selepas melakukan prosedur ini berbanding yang sebaliknya.

Tongue Tie bukan saja juga boleh mengganggu penyusuan malahan boleh mengganggu pertuturan anak anda di masa depan.Dapatkan pandangan dari Doktor dengan segera.