Aku tak pernah lupa… (Umrah Part 3)

Aku tak pernah lupa,
Saat pertama kali bas kami melangkaui batu sempadan tanah halal dan haram. Aku sangat lena dalam mimpi sedari perhentian 2 jam tadi. Aku bingung. Tiba-tiba, dada berombak. Aku rasa berdebar. Sudah sampaikah di Makkah al-Mukarramah? Aku bingung melihat begitu banyak construction. Aku canggung melihat begitu banyak bangunan lama? Begitu berbeza Kota Mekah dan Madinah. Benarkah aku sudah tiba di kota kecintaan Rasulullah SAW ini?
Aku tak pernah lupa,
Malam pertama aku menunaikan umrah wajib. Perjalanan yang begitu panjang dari Madinah buat aku benar-benar rasa letih. Namun keterujaan untuk memasuki Masjidil Haram dan melihat kiblat utama umat Islam meluputkan seketika segala penat lelah itu. Setelah memunggah segala luggage naik ke hotel dan mengalas perut, kami berkumpul semula di hadapan hotel. Kami berjalan berkumpulan diiringi mutawif hinggalah tiba di pintu marwah. Malam yang selalunya sejuk terasa begitu bahang. Aku diam. Tak berani untuk mengeluh walau sekadar berkata ‘panas’. Teringat pesanan Kak Mahari agar menjaga kata. Jutaan manusia mulai kelihatan. Aku tambah gentar. Apakah Allah menerima aku yang hina ini?
Aku tak pernah lupa,
Kali pertama aku dapat melihat kaabah. Sejak di Madinah aku sudah mula membayangkan bagaimana besarnya saiz kaabah ini. Aku seperti dalam percaya dan tidak. Cuma kenapa tiada sebarang air mata yang mengalir? Apakah aku benar-benar hina hingga tidak merasa sedih seperti jemaah lain saat terpandang kaabah. Aku menjadi semakin takut. Takut pada Allah SWT. Apakah ini sebahagian balasan atas dosa-dosa aku? Aku tertunduk malu. Aku terasa benar-benar hina di hadapan Allah. Aku merasa malu kerana setelah begitu banyak dosa yang aku lakukan, Allah masih menjemput aku menjadi tetamu-Nya.
Aku tak pernah lupa,
Saat dahi bersentuh lantai Masjidil Haram bila kali pertama aku melaksanakan solat sunat tahiyatul masjid. Tah bagaimana perasaan aku waktu itu. Mungkin terlalu bersyukur. Waktu itu sudah hampir 12 malam. Kami masih dalam ihram. Umrah perlu dilaksanakan. Aku tidak pernah lepas dari Kak Mahari dan Kak Una. Segalanya berlaku begitu pantas dari saat aku mula tawaf, bersae’i dan bertahallul. Aku tidak banyak bercakap sepanjang melaksanakn umrah yang pertama ini. Barangkali terlalu penat juga.
Aku tak pernah lupa,

Kali pertama aku berpeluang menunaikan solat subuh di dataran Kaabah. Aku tak tahu tempat itu menjadi rebutan semua jemaah. Mungkin sudah tertulis rezeki kami untuk bersolat berhadapan Kaabah, memandang Kaabah. Aku tidak tahu rupanya itulah kali pertama dan terakhir dalam tempoh umrah, aku berpeluang untuk menuanaikan solat fardu di dataran. Syukurlah aku berpeluang juga merasai saat itu. Walaupun aku dapat melihat jelas betapa kasarnya jemaah dari negara lain cuba berebut tempat itu hingga berlaku pergaduhan, aku masih bersyukur kerana barisan saf kami masih lagi aman hingga ke salam terakhir.
Solat subuh di dataran
Aku tak pernah lupa,
Bagaimana rasanya menghirup udara pagi di Makkah. Perasaan dan ketenangan itu buat aku rasa seperti tidak mahu pulang lagi ke Malaysia. Aku suka kehidupan di Makkah yang serba sederhana. Aku gembira dapat berjalan berulang-alik dari hotel yang cuma taraf budget itu ke Masjidil Haram saban waktu fardu. Aku gembira berjalan-jalan sekitar kedai yang menjual cenderamata walaupun aku tidak banyak membeli. Aku bahagia bila dapat makan roti Arab dan laban. Aku teruja bila dapat makan aiskrim berharga 2 Riyal dan kebab berharga 5 Riyal. Aku tersenyum bila dapat minum jus buah yang berharga 5 Riyal. Aku ingat pesan Kak Mahari supaya banyak minum air dan jus buah kerana badan kita terlalu kering dan untuk ‘membuang’ kadang-kadang sampai sembelit. Tapi, kenangan yang paling indah tentulah kemanisan beribadah di Masjidil Haram. Tiada kata dan harta di dunia yang dapat mengganti semua kemanisan itu.
Bersama Kak Mahari & Jus Buah
Aku tak pernah lupa,

Bila setiap kali aku resah, rasa kehilangan, terjebak dalam masalah, aku terus mengangkat tangan dan berdoa. Teringat bila aku melaksanakan umrah untuk arwah abah, aku terlepas dari Kak Una. Aku masih tak biasa lagi dengan Kota Mekah dan hiruk pikuk jutaan manusia di Masjidil Haram. Aku duduk di tangga berhampiran lampu hijau yang menjadi penanda aras Hajarul Aswad. Aku berdoa minta diketemukan semula dengan Kak Una. Secara logiknya, macam mustahil untuk berjumpa semula ditambah dengan Kak Una yang tak ada akses handphone waktu itu. Selepas kebergantungan sepenuhnya aku pada Allah Taala, dalam beberapa saat selepas itu, tiba-tiba Kak Una muncul dari celah-celah ribuan manusia yang sedang bertawaf. Subhanallah! Aku seperti mahu menangis. Benarlah, bila kita berdoa dengan begitu yakin, Allah akan segera memakbulkan doa kita apatah lagi di Tanah Haram. Kali kedua aku berdoa sebegitu bila aku, Kak Una, dan Kak Enon dari tiga tempat yang berlainan telah berjanji pada pagi sebelumnya untuk berjumpa di Bukit Marwah. Cuma aku seorang yang ada akses handphone kerana aku punya simcard Arab Saudi dan dua orang lagi tidak ada. Seperti yang dijanjikan, pada waktu kami patut habis menunaikan umrah sunat, masing-masing tak berjumpa dengan satu sama lain. Masjidil Haram tu bukannya kecil ditambah dengan jutaan jemaah. Kalau nak amati satu-persatu jemaah yang bertelekung putih, boleh berpinar mata. Jadi apa yang kami buat, ketiga-tiga diantara kami berdoa dan bertawakal. Selang beberapa minit, Kak Enon mucul dari pintu marwah. Tak lama selepas tu, Kak Una pula timbul dari celah-celah jutaan manusia yang sedang bersae’i. Bila kami tanya satu sama lain, memang benar ketiga-tiga dari kami berdoa yang sama. Kami terduduk, kagum dengan kebesaran Allah. Kadangkala bila difikir dengan kemudahan yang sentiasa bersama kita, kita tak pernah bersyukur dan sabar bila diuji dengan kelewatan dan masa. Tapi di sana, segala-galanya cukup berbeza hanya denga sekadar berdoa.

Kak Enon a.k.a mak angkat kami
Aku tak pernah lupa,

Betapa hebatnya kuasa doa bila Allah mendengar doa aku saat aku terkunci dalam tandas wanita yang besarnya hampir menyamai sepertiga padang bola sepak. Waktu itu kurang 30 minit masuk waktu zuhur. Sejak dari pagi aku sudah di Masjidil Haram, sendiri. Kemudian aku rasa ingin membuang air kecil. Ditambah dengan wudhuk aku yang sudah terbatal. Aku separa berlari ke tandas wanita berhampiran pintu marwah. Waktu tu, aku tak terfikir langsung kalau ada sebahagian bilik tandas (di dalamnya ada puluhan tandas-tandas kecil) ditutup setelah dibersihkan. Aku terus ke bilik yang ditutup itu. Memang tak ada orang langsung. Selalunya, susah nak jumpa tandas yang kosong walau ada beratus tandas di sana. Waktu aku sedang di dalam tandas, aku ada dengar panggilan dalam Bahasa Arab. Tapi aku tak faham. Tiba-tiba aku dengar pintu besar ditutup dan dikunci. Aku segera sudahkan dan cuba buka pintu besi yang besar itu. Kunci! Aku cuba ke pintu lain. Semua berkunci. Aku cuba ketuk-ketuk pintu itu dari dalam sambil menjerit dengan harapan ada jemaah atau cleaner di luar sana yang dengar, tapi hampa. Aku tengok jam, kurang 15 minit lagi masuk waktu zuhur. Aku berdoa dan bertawakal kepada Allah agar aku dapat keluar dari kawasan itu untuk menunaikan solat zuhur berjemaah. Aku cuba juga memeriksa satu-persatu pintu tandas. Tiba-tiba, pintu kelima yang aku cuba buka, tidak berkunci. Masya-Allah! Allah Maha Mendengar. Aku segera keluar. Waktu aku sedang berjalan keluar, aku terdengar seorang cleaner Indonesia yang sedang membersih bercakap sendiri, “Kenapa pintu yang satu ini tidak dikunci?”

Dalam Masjidil Haram
Aku tak pernah lupa,
Kenangan umrah Si Bidadari Syurga yang aku tunaikan. Aku buat untuk puteri tercinta, Najla Batrisya. Tak silap aku itu adalah hari kelima aku melaksanakan umrah. Syukur Kak Mahari sentiasa memberi sokongan untuk aku terus melaksanakan umrah sunat. Biasanya umrah-umrah sunat ini kami berniat ihram di Tana’im kecuali jika dibawa rombongan ke Ja’ranah dan Hudaibiyah. Tempoh satu umrah yang aku laksanakan lebih kurang 1 jam setengah hingga 2 jam.

Kak Una di Masjid Tana’im

Di Masjid Ja’ranah
Masjid Hudaibiyah

Pada hari kelima ini, aku bersiap awal untuk berniat ihram. Aku memilih baju yang paling cantik. Tah kenapa hari tu aku begitu gembira untuk menghadiahkan pahala umrah ini pada Najla. Aku tahu Najla memang akan masuk syurga. Tapi aku tetap ingin menumpahkan rasa kasih dan sayang buat Najla dari dunia lagi. Bukti betapa aku teramat cinta dan sayang padanya. Aku ingat lagi betapa sayunya aku sewaktu bersae’i. Aku teringat peristiwa Siti Hajar yang berlari dari Safa ke Marwah untuk mecari air buat Nabi Ismail a.s yang masih bayi dan sedang kelaparan. Siti Hajar terus berlari dari dua bukit itu dengan harapan dapat bertemu dengan para pedagang yang mungkin lalu di lembah tandus itu. Allah Maha Besar. Seraya dengan Nabi Ismail a.s menghentak-hentak kaki ke bumi sambil menangis, maka keluarkan air dari lembah tandus itu. Siti Hajar terus mengepung air itu dengan kedua tangannya sambil berkata “Zammi, Zammi” yang bermaksud ‘berkumpullah’. Sejak dari itu, lembah tandus itu akhirnya berkembang menjadi sebuah kota iaitu Kota Mekah di mana umat Islam dari seluruh dunia datang untuk mengabdikan diri kepada Allah SWT.

Bukit Safa
Bukit Marwah (pandangan dari groundfloor)
Mengenangkan peristiwa Siti Hajar, aku teringat akan kasih dan sayang aku pada Najla walaupun Najla sudah tiada di sisi. Aku ingin menjadi seperti Siti Hajar yang taat kepada suaminya, Nabi Ibrahim a.s untuk ditinggalkan di lembah tandus itu atas perintah Allah SWT bersama-sama anakandanya Ismail a.s. Aku dapat merasai betapa kasih dan sayangnya Siti Hajar pada Nabi Ismail a.s. Teringat saat Najla menghidap pneumonia dan berhenti bernafas. Waktu tu aku di atas katil sedang memangku Najla untuk disusui. Sedar tiba-tiba muka Najla membiru dan tidak bernafas, aku melompat dari katil yang agak tinggi dan terus berlari ke arah nurse. Aku terlupa keadaan diri sendiri yang masih sakit dan berpantang. Aku tak peduli rasa sakit jahitan episiotomi ketika melompat dan berlari. Aku tidak endahkan semua itu kerana begitu kasih pada Najla. Mengenangkan semua itu, aku bersyukur kerana dapat memberikan kasih sayang itu melalui umrah atas nama Najla Batrisya.

Sae’i
Aku tak pernah lupa,

Saat mendaki Jabal Rahmah di padang Arafah. Tempat pertemuan nabi adam a.s dan hawa yang terpisah setelah diturunkan dari syurga. Begitu banyak perkara khurafat yang dapat dilihat di atas sana. Seorang ustaz dari Indonesia yang mengikuti rombongan kami pada hari itu seringkali mengingatkan agar kami tidak terpengaruh dengan amalan sesetengah jemaah yang berdoa menghadap tiang dan tidak menghadap kiblat, menulis nama di atas batu dengan harapan dapat datang semula ke tanah suci dan sebagainya.

Di atas Jabal Rahmah, Arafah

Di kaki Jabal Rahmah
Pesanan Rasulullah SAW
Aku tak pernah lupa,

Segala kenangan manis di kota suci Mekah. Hingga ke saat aku menaip entry ini aku masih lagi terasa sebak dan rindu akan Kota Mekah. Aku berasa aman dan tenang di sana. Aku ingin memijakkan kaki lagi ke Masjidil Haram. Kalau boleh, aku ingin tinggal terus di sana dan merebut ganjaran 100 000 pahala yang Allah SWT janjikan itu. Doa aku, agar Allah SWT akan menjemput aku lagi menjadi tetamu-Nya pada tahun-tahun akan datang dan Insya-Allah pemergian aku yang seterusnya adalah bersama Edy dan anak-anak kami.
Di ladang unta sebelum menunaikan umrah buat Najla
Kak Mahari, aku dan Kak Una

Semoga kita akan dijemput lagi.


Aku tak pernah lupa… Insya-Allah…

This Post Has 14 Comments

  1. FaaFalina

    Sebak ummi… Ummi xnk buat novel ke? Saya la org prrtama akn beli..:-)

  2. Feed by Ummi Najla

    Faa… Rindunya nak baca entry terbaru fa. Lama dah tak baca cerita fa 🙂

    Novel? Tunggu bulan jatuh ke riba kot. Saya tak ada bakat ke arah tu fa. Kena berlatih ni..

  3. Aine Ainun

    salam…
    alhamdulillah, ummi Najla da sampai ke sana. Saya pun berniat, tapi belum ada rezeki…

    salam kenal jua,
    saya baru baca kisah Najla Batrisyia dalam kelab Ibu IUD..mengalir air mata…terasa dihati ni walopun saya belum cukup 9 bulan mengandungkan anugerah terindah..

    Pastinya…dia menanti diSyurga..=)
    pastinya ada hikmah yang berganda2 Allah berokan untuk dugaan ni..

  4. Anonymous

    Alhamdulilah kagumnya……semoga Allah permudahkan untuk ku menunaikan umrah

  5. Feed by Ummi Najla

    Syukran ainun. Slm perkenalan. Terima kasih mndoakan saya. Semoga ainun sentiasa dilindungiNya hingga selamat melahirkan mujahid yang dikandung.. Terima kasih lg ainun sudi singgah blog saya. Dah lama tak jenguk kelab ibu IUD…

  6. hani

    salam, umi semoga ALLAH melindungi kita semua.

  7. cikmie

    Assalamualaikum ummi,
    jika 5 bulan yang lalu sy kehilangan Aisy, 6 hari yang lalu abah sy pula meninggalkan kami sekeluarga. Pada 17/09/12 kami sekeluarga telah bersama2 menghantar abah di kelana jaya kerana menerima jemputan Allah untuk mengerjakan haji. Rupanya lambaian abah kepada kami adalah lambaian terakhir buat kami semua. Tiga hari beliau berada di madinah kami mendapat panggilan dari Tabung haji jam 4.20 pg waktu Malaysia memberitakan bahawa abah telah kembali ke rahmahtullah dan telah dikebumikan di Madinah. Saya diuji lagi Ummi.. ;_;

  8. Feed by Ummi Najla

    Subhanallah. Allahuakbar. Cik Mie. Redha ye. Ayah cik mie antara tetamu yang begitu istimewa dan dipilih Allah untuk menghembuskan nafas terakhir di sana, disolatkan jenazah oleh jutaan jemaah di Masjid Nabawi, diangkat oleh ribuan jemaah hingga ke liang lahad. Subhanallah cik mie. Saya juga ingin mati di sana. Itulah cita2 yang disarankan Rasulullah SAW. Allah, subhanallah. Sebak rasa hati saya.. Takziah cik mie. Ayah cik mie sudah dipilih olehNya untuk menjadi tetamu Agung. Bukan semua terpilih untuk mati di sana…

  9. cikmie

    Terima kasih ummi. Cepat benar ia berlaku sama seperti pemergian Aisy. Tiada kata yang dapat digambarkan keadaan saya ketika ini, pemergian Aisy masih diratapi dan kini pemergian abah tercinta perlu saya hadapi sekali lagi. Motivasi diri agar hati menjadi lebih kuat."Di akhirat kelak abah akan dibangkitkan bersama2 sahabat-sahabat nabi dan para syuhada penghuni Baqi". Membaca entry umrah ummi, membuatkan saya teringat2 akan abah. Al fatihah buat arwah abah Abu Hassan bin Saad 09/10/53 – 20/09/12. Semoga rohnya dicucuri rahmat dan bersama2 orang2 yang beriman..amin..amin YA RABB..

  10. Feed by Ummi Najla

    Subhanallah.. Cik Mie. Allah sudah aturkan yg terindah untuk kita. Perkuburan Baqi dikatakan perkuburan mulia di dunia. Sangat bertuah siapa yang dapat pengakhiran di sana. Al-fatihah buat ayah cik mie.

    Dugaan berganda yang cik mie hadapi buat saya muhasabah diri. InsyaAllah cik mie. Bukan semua orang yang Allah pilih untuk hadapi ujian ini. Semoga pemergian ini akan digantiNya dengan khabar gembira buat cik mie sekeluarga. Hanya Allah yg mengetahui. Wallahua'lam..

  11. cikmie

    Amin..amin..Ummi. Doakan semoga kami sekeluarga kuat menghadapinya. "ketentuanMU adalah yang terbaik" Amin..

  12. Feed by Ummi Najla

    Amin.. Saya takkan lupa doakan keluarga cik mie dan cik mie untuk kuat hadapi ujian ni. Aminnn

Comments are closed.