Salam Ma’al Hijrah.
Sekadar ingin berkongsi tentang salah sebuah drama yang disajikan di TV3 semalam, bersempena Ma’al Hijrah bertajuk ‘Aku Bukan Halimatus Sa’adiah’.
Sinopsis: Berkisar tentang Halimah yang dilakonkan oleh Eija sebagai ibu susuan kepada anak asuhannya, Rayyan iaitu anak kepada seorang wanita muda yang bekerjaya, Maria. Maria enggan menyusukan anak lelakinya Rayyan dan sanggup mengambil ubat untuk memberhentikan susu. Hinggalah ayah dan suami Maria berpakat untuk mengupah Halimah sebagai pembantu rumah merangkap ibu susuan Rayyan tanpa diketahui Maria. Apabila Maria mengetahui akan hal itu, Maria telah menghalau keluar Halimah dan anak perempuannya. Bagai sudah jatuh ditimpa tangga, Halimah yang baru kematian suami dan bayinya kini hilang punca pekerjaan dan merasa rindu akan anak susuannya, Rayyan. Sehinggalah musibah menimpa Maria, akhirnya Maria sedar akan kekhilafannya kerana tidak menunaikan hak Rayyan untuk disusukan dengan susu ibu.
Tersentuh hati saya menonton cerita ini, cerita tentang perjuangan seorang ibu susuan dan kisah tentang penyusuan susu ibu. Digarap berdasarkan kisah ibu susuan kepada junjungan besar Rasulullah SAW, Halimatus Sa’adiah.
Rupanya bukan mudah seorang ibu membenarkan anaknya berkongsi susu dengan orang lain. Seperti Maria dalam cerita tersebut yang tidak boleh menerima kenyataan apabila mengetahui anaknya disusukan oleh pembantu rumahnya, Halimah.
Penyusuan susu ibu (PSI) akhir-akhir ini dilihat seperti suatu konflik. Bermula dengan kisah seorang blogger yang menganggap perbuatan ibu-ibu yang berkongsi kisah tentang PSI secara terbuka sebagai perbuatan lucah dan tidak bermoral. Kemudian timbul pula perdebatan hangat di laman sosial apabila seorang ustazah yang mungkin telah khilaf dalam mengulas isu DNA susu lembu dan kemudian dihentam hebat oleh golongan ibu-ibu yang tidak berpuas hati akan hal itu.
Kerana semua isu ini, sejujurnya saya berasa bimbang untuk menulis jurnal penyusuan Nur Khadijah seperti dalam entry yang lepas kerana saya sedar, masih ada segelintir golongan yang belum begitu terbuka dengan PSI dan isu-isu yang berkaitan dengannya. Dan saya nekad, saya hanya akan berkongsi perjalanan penyusuan saya dengan rakan-rakan saya sekiranya ada yang bertanya, dan selebihnya biarlah saya kongsikan dalam blog ini, berkongsi dengan mereka yang tidak mengenali saya.
Isu tentang PSI ini pernah terjadi kepada diri saya sendiri. Pernah saya ditegur oleh seorang rakan saya ketika menyusukan Khadijah di khalayak. Kata rakan saya itu, dia malu untuk menyusukan anaknya seperti yang saya lakukan. Dia hanya akan menyusukan anaknya di rumah dan bila di luar, dia akan menyusukan anaknya menggunakan botol susu.
Sewaktu ditegur, saya hanya mendiamkan diri, tidak membantah, tiada kecil hati, dan tidak berasa malu. Saya kira saat itu saya perlu menghormati pandangannya. Mungkin benar, PSI di khalayak dikatakan sebagai perbuatan yang menjengkelkan bagi sesetengah pihak. Tapi bukan suatu masalah bagi saya kerana setiap kali menyusukan Khadijah, saya sentiasa mendapat restu suami, memakai baju yang mempunyai akses penyusuan dan yang paling penting menutup aurat. Masa kali pertama saya menyusukan Khadijah di khalayak, saya banyak bergantung kepada nursing cover. Hinggalah saya telah mahir untuk menyusukan Khadijah, barulah saya tidak perlu bergantung kepada nursing cover lagi dan menggunakan tudung saya sahaja untuk meng’cover’ proses penyusuan itu.
Saya akui, masih ada mata-mata yang memandang sinis perbuatan saya menyusukan Khadijah di khalayak itu. Paling aneh, yang memandang saya berkali-kali itu adalah kaum wanita yang juga seorang ibu. Untuk mengatasi rasa tidak senang ini, sekiranya perlu, saya akan menyusukan Khadijah di bilik penyusuan (jika ada). Tapi dalam kebanyakan waktu, saya akan menyusukan Khadijah bila mana Khadijah perlu tanpa mempedulikan pandangan manusia itu. Kerana seperti yang pernah saya janjikan sebelum ini, demi menebus kesilapan yang lalu, saya nekad ingin menyusukan Khadijah dan menunaikan haknya di mana pun jua dan pada bila-bila masa. Biarlah seribu aral melintang patah, saya tidak mahu mengalah.
Selain isu menyusukan Khadijah di khalayak, saya juga pernah dilanda isu lain. Isu berkaitan ‘Ibu Susuan’. Gara-gara mengalami ‘over supply’ selepas habis pantang, saya bingung bila freezer mula penuh dengan stock EBM. Dan untuk mengatasi masalah itu awalnya, saya pernah menawarkan diri untuk menjadi ibu susuan kepada anak seorang hamba Allah ini. Dan tanpa diduga, ibu tersebut terus menolak permintaan saya dengan alasan bahawa perbuatan memberikan anaknya untuk disusukan saya adalah perbuatan menggelikan. Paling mengguris hati apabila dia mengatakan dia lebih sanggup memberi anaknya direct susu dengan lembu dari disusukan saya. Sungguh saya rasa tersentap dan berasa malu saat itu.
Sejak hari itu, saya tidak berani lagi menawarkan diri untuk menjadi ibu susuan kepada anak sesiapa pun melainkan anak saudara dan anak sahabat saya yang meminta dengan saya sendiri. Dan Edy juga minta saya lebih berhati-hati untuk berkongsi atau bercerita tentang PSI dengan orang lain kerana bukan semua orang bisa menerimanya, kerana mungkin mereka lebih tahu mana yang baik untuk anak mereka sendiri. Pernah sekali saya menziarahi anak seorang hamba Allah yang baru lahir, saya lihat sendiri bagaimana ibu tersebut salah dalam mengendalikan EBMnya. Tapi tah kenapa, saat itu mulut saya terkunci, takut untuk berkata apa-apa. Saya hanya membisukan diri dan hanya akan memberi pendapat sekiranya ditanya sahaja. Saya tahu perbuatan saya itu salah, tapi saya tidak mahu terguris lagi dan mengambil keputusan untuk mendiamkan diri. Saya akui saya bukanlah seorang pejuang PSI sejati. Cukuplah sekadar saya mempertahankan hak menyusukan Nur Khadijah dan menjadi pejuang PSI buat anak yang dicintai.
Jurnal Penyusuan Nur Khadijah akan terus saya karang buat tatapan anakanda dan diri saya sendiri sekiranya ada hari-hari yang saya perlu kembalikan memori terhadap apa yang telah saya usahakan untuk menyusukan Nur Khadijah dengan izin Allah SWT. Pernah saya mengalami kemeruduman bila Allah menarik sedikit nikmat sihat dan saya diuji dengan batuk yang teruk sewaktu musim jerebu. Jika selalunya saya membawa pulang 3 botol (3 x 5oz) sehari, sewaktu saya tidak sihat, saya hanya mampu membawa pulang 2 botol (2 x 4oz) untuk 3 kali sesi perahan dan paling dahsyat saya pernah membawa pulang hanya 1 botol (3oz) sahaja. Namun saya masih bersyukur, masih ada lagi nikmat rezeki susu buat Nur Khadijah walaupun sedikit. Syukur saat saya mengalami kemeruduman teruk itu, stock frozen EBM sejak bulan 7 masih belum digunakan (saya simpan dalam deep freezer). Kerana bekalan stock EBM itulah saya terus kembali bersemangat dan saya tahu usaha perlu diteruskan tanpa putus asa seperti mana yang saya pernah lakukan sewaktu cuti bersalin. Maka, saya berikhtiar untuk melakukan power pumping, menjaga kesihatan, dan paling penting pemakanan dan minuman saya. Alhamdulillah, berkat usaha power pumping setiap hari, stock fresh EBM kembali ada dan kesihatan saya semakin pulih.
Saya akur sekiranya tidak semua orang dapat menerima penulisan saya tentang PSI ini. Dan seperti yang saya katakan, Jurnal Penyusuan Nur Khadijah akan diteruskan juga untuk diri saya sendiri dan rakan-rakan yang memerlukan. Selain usaha saya berTTC sebelum ini, inilah satu usaha lain yang sentiasa membara dalam jiwa seorang ex-TTCian untuk melakukan yang terbaik buat anak yang dinanti-nantikan sekian lama. Tidak perlu mengeluh, hanya kenang segala yang telah kita lalui selama ini. Pasti ada ganjaran dari-Nya nanti.
Berjumpa di entry lain. In shaa Allah.
Wassalammualaikum w.b.t
Perkenalkan, saya dari tim kumpulbagi. Saya ingin tau, apakah kiranya anda berencana untuk mengoleksi files menggunakan hosting yang baru?
Jika ya, silahkan kunjungi website ini http://www.kumpulbagi.com untuk info selengkapnya.
Di sana anda bisa dengan bebas share dan mendowload foto-foto keluarga dan trip, music, video, filem dll dalam jumlah dan waktu yang tidak terbatas, setelah registrasi terlebih dahulu. Gratis 🙂
Aku faham sangat apa yg ko rasa.. Dulu masa awal2 mmg aku sgt vocal psl bf, especially kat facebook. Tapi bila ada yang terasa sampai dia sound kat fb dia pulak, aku start sedar x semua orang boleh terima. Dulu memang sungguh2 nak tolong org lain bf, tp skrg aku dah terima hakikat org tu cuma boleh berjaya bf kalau dia sendiri ada will or niat utk bf. Kalau kesedaran tu dia xde, kita nasihat lah mcm mane pun, ajarlah mcm mane pun, bagi lah segala tools yang ada pun, dia x akan berjaya dlm bf.
Sebab tu skrg ni, aku cuma akan bg ilmu bf tu kat sape yg bertanya je.