You are currently viewing 5 TIPS MEMILIH PAM SUSU (BREASTPUMP).

5 TIPS MEMILIH PAM SUSU (BREASTPUMP).

Dengan lambakan pelbagai jenis pam susu pada masa kini serta pilihan kriteria yang lebih banyak, adakalanya membuatkan ramai ibu rasa keliru untuk memilih pam susu. Dengan perkongsian ringkas kami ini,anda akan dapat membuat senarai pendek kriteria pam susu yang menepati pilihan anda di akhir pembacaan nanti.

APA ITU PAM SUSU?
Pam susu adalah gajet penyusuan yang dapat membantu ibu memerah susu bagi meransang payudara apabila bayi berjauhan dari ibu. Seiring dengan permintaan serta teknologi terkini,terdapat banyak pilihan pam susu dengan kepelbagaian pilihan di pasaran yang mampu memenuhi keperluan setiap ibu.

SIAPA PERLUKAN PAM SUSU?

  • Ibu yang bayinya tidak boleh menyusu terus pada payudara ibu-sama ada bayi mempunyai masalah kesihatan selepas dilahirkan atau bayi mengalami keliru puting(Nipple Confused).
  • Ibu dalam proses Relaktasi atau Cetusan Laktasi(Induced Lactation).
  • Ibu yang perlu mula bekerja selepas cuti melahirkan.

TIPS MEMILIH PAM.

1.Berapa kerap anda perlu memerah dalam sehari?

Jika anda hanya menggunakan pam 1-2 kali dalam sehari,pam susu light duty sudah memadai.
Namun jika anda perlu memerah 4-6 kali, pam susu medium duty lebih sesuai untuk anda.
Seandainya anda perlu memerah sekerap 6-8 kali dalam sehari, pam susu jenis heavy duty menawarkan keupayaan yang lebih tahan lasak untuk keperluan anda.

Pam susu Heavy Duty mempunyai lebih dari satu motor pam malahan memberikan lebih hayat bateri pam susu apabila dicaj penuh berbanding pam susu light dan medium duty.

2.Seberapa cepat anda mahu akhiri sesi memerah?

Setiap sesi memerah biasanya mengambil masa 10-30 minit bagi satu payudara.

Jika ibu mempunyai waktu yang fleksibel dan boleh memerah pada bila-bila masa pun semasa bekerja, pam susu jenis single yang berupaya mengeluarkan susu pada satu payudara dalam satu masa sudah mencukupi. Dianggarkan sekitar 20 minit ke 1 jam waktu memerah diperuntukkan bagi pam jenis ini.

Manakala bagi ibu yang mempunyai masa agak terhad,pam susu double yang mampu memerah kedua-dua payudara serentak sangat membantu ibu untuk menjimatkan masa.

3.Kesesuaian pam susu.

Setiap pam hadir dengan jenis dan saiz corong yang berbeza, pastikan anda mengukur terlebih dahulu saiz puting supaya dapat memilih saiz corong yang bersesuaian.

Material corong pam juga sangat memberi kesan pada pengguna,contohnya kebanyakan ibu sesuai menggunakan corong yang dibuat dari silikon. Manakala ada segelintir ibu mengelakkan corong jenis silikon ini kerana tidak sesuai dan boleh membuatkan mereka tidak selesa semasa proses memerah berlaku.

Begitu juga dengan mod memerah serta kekuatan jenis sedutan bagi setiap pam. Setiap pam mempunyai jenis mod dan tahap yang berbeza. Manakala jenis sedutan juga terdapat pam susu yang mempunyai daya sedutan lebih lembut ataupun lebih kuat.

Kriteria ini sangat penting supaya pam susu yang ibu pilih bertepatan dengan kesesuaian serta memberi pengalaman memerah yang lebih selesa dan efektif dalam mengeluarkan susu.

4.Tetapkan bajet anda.

Sudah tentu dalam memilih sesuatu barangan untuk dibeli, bajet pembelian adalah sesuatu yang sangat dititikberatkan. Tetapkan berapa bajet yang anda mahu laburkan dalam membeli pam susu yang dapat membantu anda untuk membekalkan susu buat si comel. Terdapat pelbagai harga pam susu dari puluhan ringgit hingga mencecah ribuan ringgit.

Tetapi anda harus tahu bahawa yang paling mahal bukanlah yang paling terbaik. Pam yang paling terbaik ialah apa yang paling sesuai dan menepati keperluan ibu.

5.Selepas pembelian.

Ini antara kriteria yang kurang popular namun pada kami ia sangat penting dan harus ibu ambil tahu sebelum membuat pembelian sesuatu pam. Iaitu bagaimana dengan servis yang ditawarkan selepas pembelian?

‘Selepas saya mendapat pam,bagaimana cara pemasangan dan penggunaan pam yang betul dan adakah saya akan dibantu jika mempunyai masalah pada pam susu?’
‘Selepas pembelian, adakah mudah untuk menuntut waranti dari pihak pengeluar pam susu?’
‘Jika pam susu saya memerlukan alat gantian,adakah ia mudah didapati di pasaran?’

Pastinya anda mahu pam susu yang dibeli dapat digunakan dalam tempoh yang lama, begitu juga dengan pengalaman selepas pembelian ia juga satu nilai yang sepatutnya hadir bersama pembelian anda.

Membuat pembacaan mengenai spesifikasi sesuatu pam serta mengambil kira pengalaman pengguna lain pastinya juga dapat membantu anda dalam membuat pilihan.

Demikianlah 5 tips memilih pam susu yang telah kami kongsikan, adakah anda sudah mendapat membuat satu senarai pendek kriteria pam susu yang anda mahukan?